Ekonomi Malaysia 'lega' masih kekal dalam senarai pemerhatian FTSE | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia 'lega' masih kekal dalam senarai pemerhatian FTSE

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Walaupun risiko Malaysia disingkirkan daripada Indeks Kerajaan Bon Dunia (WGBI) FTSE Russell masih ada, namun berada di bawah senarai pemerhatian memberi kelegaan kepada pasaran modal dan ekonomi negara.

Ketua Penyelidik Kenanga Investment Bank Berhad Research (Kenanga Research), Koh Huat Soon berkata, berita itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pada tinjauan Mac lalu, FTSE Russell maklum akan langkah yang diambil Bank Negara Malaysia (BNM) adalah bertujuan meningkatkan kebolehcapaian pasaran bon negara kepada pelabur asing. 

 

Koh Huat Soon
Koh Huat Soon

 

“Terdapat aliran masuk positif ke dalam pasaran bon tempatan dengan peningkatan kecairan (liquidity) susulan inisiatif BNM dan lebih banyak Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) ditambah ke dalam Indeks Pasaran Sedang Membangun Bon Kerajaan JP Morgan (GBI-EM) walaupun fasa kemasukan China berlaku sejak Februari.

“Oleh itu, berita ini tidak mengejutkan dan mempunyai bacaan positif untuk pasaran ekuiti kerana ia menghilangkan risiko aliran keluar dana segera (dan dengan itu, memberi kesan negatif terhadap kecairan keseluruhan) dari dana yang mempunyai indeks pasif,” katanya dalam sebuah nota kajian. 

FTSE Russell mengumumkan Malaysia kekal dalam senarai pemerhatiannya setakat tinjauan September 2020, mungkin bakal mengubah klasifikasi daripada Kebolehcapaian Pasaran Tahap 2 kepada 1.

Sekiranya Malaysia diturunkan dari tahap 2 kepada 1,bon kerajaan akan disingkirkan dari WGBI dengan anggaran  aliran keluar AS$8 bilion (RM33.3 bilion).

“Ini akan memberi impak negatif ke atas kecairan dan meningkatkan hasil dengan kesan negatif terhadap ekonomi yang sudah tidak stabil,” tambah Huat Soon.

Kebolehcapaian tahap 2 diperlukan bagi pasaran yang dipertimbangkan layak untuk dimasukkan ke dalam WGBI FTSE.

Kebolehcapaian tahap 1 pula diperlukan bagai pasaran yang dipertimbangkan untuk masuk dalam Pasaran Indeks Bon Kerajaan Sedang Berkembang (EMGBI).

Kedua-dua tahap itu menentukan sama ada pasaran diubah ke klasifikasi lebih tinggi kerana penambahbaikan kebolehcapaian atau ke tahap lebih rendah kerana kemerosotan pelaburan, sekali gus dimasukkan ke dalam Senarai Pemerhatian. - DagangNews.com