Skip to main content

Ekonomi Malaysia terus berkembang dalam persekitaran tekanan kenaikan harga - MIDF Research

Kelonggaran sekatan COVID-19 termasuk pembukaan semula sempadan antarabangsa akan membolehkan aktiviti ekonomi domestik terus berkembang pada separuh akhir tahun ini

KUALA LUMPUR 2 Julai - Aktiviti ekonomi Malaysia terus berkembang dalam persekitaran tekanan harga yang meningkat, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu dalam tinjauan ekonomi bulannya mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada enam peratus berikutan pembukaan semula ekonomi dan tiada lagi sekatan perjalanan yang ketat.

 

“Melangkah ke fasa endemik, kelonggaran sekatan COVID-19 termasuk pembukaan semula sempadan antarabangsa akan membolehkan aktiviti ekonomi domestik terus berkembang pada separuh akhir tahun ini,” katanya.

 

MIDF berkata apabila permintaan domestik bertambah kukuh, inflasi teras melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, meningkat sebanyak +2.4 peratus tahun ke tahun, keuntungan terpantas sejak Ogos 2017.

 

"Aliran menaik berterusan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan tekanan harga asas daripada permintaan domestik yang meningkat, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang bertambah baik dan kesan pembukaan semula aktiviti ekonomi domestik," katanya, Bernama melaporkan.

 

Ia berkata indeks utama (LI) memberi petunjuk bahawa momentum pertumbuhan negara bertambah baik dengan penurunan lebih perlahan sebanyak -0.5 peratus tahun ke tahun pada April 2022 (Mac: -1.4 peratus tahun ke tahun).

 

“Penurunan yang lebih perlahan menunjukkan prospek pertumbuhan yang lebih baik untuk ekonomi Malaysia dalam tempoh terdekat.

 

“Apa yang lebih menarik perhatian adalah keadaan ekonomi semasa di Malaysia terus menunjukkan peningkatan dengan Indeks Serentak (IS) berkembang lebih pantas pada +5.3 peratus tahun ke tahun (Mac 2022: +3.1 peratus tahun ke tahun), pengembangan terpantas dalam tempoh 11 bulan,” katanya.

 

MIDF Research menjangkakan pembukaan semula ekonomi dan penyambungan semula operasi perniagaan akan menghasilkan peningkatan berterusan dalam aktiviti ekonomi domestik.

 

Sementara itu, MIDF berkata eksport meningkat lebih kukuh daripada jangkaan pada Mei 2022 pada +30.5 peratus tahun ke tahun pada Mei 2022, disokong oleh pertambahan penghantaran ke negara serantau dan eksport semula yang lebih kukuh (Mei 2022: +79.1 peratus tahun ke tahun; Apr 2022: + 16.8 peratus tahun ke tahun).

 

Pertumbuhan import meningkat lebih pantas pada +37.3 peratus tahun ke tahun pada Mei 2022 (Apr 2022: +22.1 peratus tahun ke tahun) berikutan peningkatan berterusan dalam aktiviti ekonomi domestik dan harga komoditi yang tinggi.

 

“Malaysia juga akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan luar untuk elektrik dan elektronik (E&E) dan komoditi khususnya minyak sawit dan produk petroleum,” katanya.

 

Bagaimanapun MIDF memberitahu ia masih berhati-hati dengan perkembangan luar yang boleh menjejaskan prospek ekonomi negara.

 

“Ini termasuk risiko penurunan seperti risiko inflasi global, kelembapan di China dan ekonomi global, gangguan berpanjangan dalam rantaian bekalan global, peperangan di Ukraine dan lebih banyak pendirian untuk menaikkan kadar faedah oleh bank pusat,” katanya. - DagangNews.com