Ekonomi Malaysia tidak ‘tersasar’ dari landasan pemulihan - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia tidak ‘tersasar’ dari landasan pemulihan - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Pelaksanaan semula ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini tidak akan menjejaskan landasan pemulihan ekonomi Malaysia. 

 

Setelah lebih setahun berada dalam situasi pandemik COVID-19, MIDF Research percaya rakyat dan perniagaan lebih bersedia berbanding pelaksanaan PKP 1.0 sekitar Mac hingga Jun tahun lalu. 

 

Malah, semua sektor ekonomi di Malaysia dari perkhidmatan hingga pembinaan, dijangka menyaksikan perkembangan pada tahun ini walaupun kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 diunjurkan lebih rendah daripada ramalan awal, menurut MIDF. 

 

“Sebagai contoh, penggunaan digitalisasi lebih tinggi dapat dilihat ketika ini di mana kebanyakan perniagaan dan pengguna semakin terbiasa dengan pasaran dan platform penghantaran dalam talian, seterusnya pelanggan dengan mudah mengubah suai dan beralih ke arah jualan dan perbelanjaan dalam talian. 

 

“Sektor tidak perlu seperti pakaian boleh terus beroperasi dalam talian dan mengurangkan kerugian yang mungkin dialami mereka akibat ‘lockdown’. Program imunisasi kebangsaan yang sedang berjalan semasa ini merupakan faktor penyokong tambahan yang akan menjadi penimbal kepada impak ekonomi, di mana tidak ada semasa PKP pertama,” jelas MIDF dalam laporan ramalan separuh kedua tahun 2021 (2H21), hari ini.

 

Walaupun kesan ‘lockdown’ penuh ini dijangka lebih besar berbanding PKP 2.0, namun firma itu optimis ia kurang teruk berbanding PKP pertama.

 

Firma itu bagaimanapun tidak menafikan bahawa gangguan pemulihan akibat pelaksanaan PKP penuh ketika ini akan lebih teruk seterusnya menyemak turun pertumbuhan KDNK 2021 kepada 4.6% daripada 6.2%.

 

Di peringkat sektor ekonomi, MIDF menjangkakan sektor pembinaan akan mencatatkan pertumbuhan tertinggi bagi tahun ini, pada kadar 9.6% berbanding sektor lain. 

 

Aktiviti sektor berkenaan dijangka meningkat terutamanya apabila terdapat pelbagai projek infrastruktur yang secara umumnya bakal mendatangkan kesan berganda kepada ekonomi, seperti mana ditekankan dalam Belanjawan 2021 dan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (Pemerkasa), kata MIDF lagi. 

 

“Pelaksanaan ‘lockdown’ penuh masih lagi menjejaskan pemulihan di dalam semua sektor termasuk pembinaan, namun  mungkin dapat dikurangkan memandangkan aktiviti pembinaan yang dilihat penting, dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat,” ujar MIDF lanjut. 

 

Dalam pada itu, pasaran buruh pula diunjurkan terus pulih pada tahun ini, dipacu oleh perbelanjaan pengguna dan perniagaan yang bertambah baik, selain permintaan luaran yang kian meningkat. 

 

Ini juga akan disokong oleh inisiatif kerajaan seperti MySTEP dan lanjutan Program Subsidi Upah (PSU). 

 

Bagaimanapun, MIDF melihat terdapat kelemahan dalam prospek pengambilan pekerjaan buat masa ini akibat PKP 3.0, terutamanya bagi sektor tidak perlu dan industri berkaitan pengguna seperti perdagangan runcit, penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B).

 

MIDF mengekalkan unjuran kadar pengangguran pada 4.3% bagi tahun 2021, peningkatan sedikit berbanding 4.5% yang dicatatkan pada tahun lalu. - DagangNews.com