Ekonomi negara boleh melonjak pantas - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Ekonomi negara boleh melonjak pantas - Tengku Zafrul

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Kerajaan yakin ekonomi negara dijangka melonjak semula dengan lebih pesat jika Malaysia berjaya mengawal pandemik COVID-19. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, ini berdasarkan antara lain, potensi pemulihan ekonomi yang pesat serta kedudukan fiskal dan kewangan negara yang stabil. 

 

Beliau juga memetik laporan berita sebuah syarikat media antarabangsa, yang meletakkan Malaysia di tempat kelima sebagai destinasi tumpuan pelaburan dan perniagaan utama dalam kalangan ekonomi membangun sedunia bagi  2021, mengatasi negara-negara seperti China, Filipina, India dan Indonesia. 

 

"Berdasarkan Indeks lockdown berkesan, sebuah perunding antarabangsa pula meramalkan Malaysia adalah antara 3 negara yang mempunyai ruang paling banyak untuk mengawal dan meredakan pandemik COVID-19 pada 2021. 

 

"Dalam kerajaan merangka perjalanan ekonomi negara pasca COVID-19 ini, semestinya sebarang keputusan perlu mengimbangi antara pengurusan sumber sedia ada, serta impak positif atau pengganda bagi jangka masa pendek dan panjang. 

 

"Pendekatan ini akan terus diamalkan oleh Kementerian Kewangan di dalam penggubalan setiap dasar," katanya dalam laporan Laksana ke-35 dan pertama tahun ini. 

 

Tengku Zafrul berkata, tempoh bagi pelbagai insentif cukai dan pelaburan melalui Penjana sudah dipanjangkan melalui Belanjawan 2021.

 

Ini termasuk kadar cukai istimewa kepada syarikat pengilang terpilih yang memindahkan lokasi perniagaan ke Malaysia dan membuat pelaburan baharu.

 

Selain itu, kerajaan turut menawarkan kadar cukai istimewa kepada syarikat pengilang terpilih yang memindahkan lokasi perniagaan ke Malaysia dan membuat pelaburan baharu (insentif dilanjutkan selama setahun lagi sehingga 31 Disember 2022).

 

Galakan cukai juga diberikan kepada syarikat dalam sektor perkhidmatan terpilih yang memberi kesan pengganda signifikan, dengan kadar cukai pendapatan 0 hingga 10% sahaja untuk tempoh 10 tahun.

 

"Saya juga ingin memetik sebuah laporan sebuah firma perunding antarabangsa baru-baru ini yang menyimpulkan bahawa Kuala Lumpur kekal menarik kepada komuniti perniagaan antarabangsa. 

 

"Ini mengambil kira faktor-faktor seperti kemudahan infrastruktur yang bersepadu, kepelbagaian dan mutu sumber manusia, serta kesediaan negara kita dalam mengadaptasi teknologi digital," katanya. 

 

Sementara itu, menerusi laporan berkenaan, sebanyak RM12.682 bilion telah diluluskan di bawah Program Subsidi Upah setakat 25 Disember 2020 yang telah memberi manfaat kepada 2.64 juta pekerja dan 322,177 majikan. 

 

Tengku Zafrul berkata, di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan pula, seramai 128,778 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan berbanding 122,126 pekerja pada minggu sebelumnya. 

 

"Jumlah ini merangkumi 102,623 orang di bawah umur 40 tahun, 17,394 individu berusia di antara 40 hingga 60 tahun, serta 7,417 perantis dan 1,344 orang kelainan upaya (OKU). 

 

"Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit," katanya. 

 

Di bawah insiatif Penjana: Merangsang Ekonomi pula, langkah pengecualian 100% duit eksport kepada sektor komoditi telah dimanfaatkan sebanyak RM426.9 juta berbanding RM373 setakat 11 Disember 2020.  

 

"Sehingga 25 Disember 2020, nilai pelepasan cukai jualan bagi kenderaan penumpang telah dimanfaatkan sebanyak RM197.57 juta berbanding RM192.7 juta pada minggu sebelumnya. 

 

"Seperti dimaklumkan minggu lalu, kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan insentif cukai ini sehingga 30 Jun 2021, sebagai langkah untuk terus merancakkan sektor automotif dan aktiviti ekonomi negara," katanya. - DagangNews.com