KUALA LUMPUR 11 Feb - Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.6% pada suku keempat (Q4) apabila kegiatan ekonomi disambung semula berikutan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.
Berikutan pertumbuhan yang kembali kukuh pada suku berkenaan, menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 meningkat sebanyak 3.1% secara keseluruhan manakala kadar pengangguran menurun kepada 4.6%, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat berkata, kegiatan ekonomi yang kembali pulih dibantu oleh pemulihan pasaran pekerja serta sokongan dasar yang berterusan.
Selain itu, katanya, permintaan luar negeri yang kukuh berikutan kitaran teknologi global yang berterusan meningkatkan lagi pertumbuhan.
"Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan dalam pertumbuhan yang diterajui oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan.
"Sementara itu, dari segi perbelanjaan, pertumbuhan didorong terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perdagangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan peningkatan sebanyak 6.6% berbanding suku ketiga, -3.6%.
Ekonomi Malaysia menguncup 4.5% pada suku ketiga 2021 disebabkan pelaksanaan langkah pembendungan ketat terutama pada Julai di bawah Fasa 1 Pelan Pelan Pemulihan negara (PPN).
Pada suku pertama 2021, ekonomi Malaysia mencatat KDNK yang lebih kecil iaitu sebanyak 0.5% berbanding penguncupan 3.4 peratus pada suku keempat 2020.
Untuk suku kedua pula, ekonomi negara berkembang kukuh sebanyak 16.1% berikutan permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.
Menurut BNM, seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.2% pada suku keempat berbanding 2.2% pada suku ketiga.
Katanya, inflasi yang lebih tinggi pada suku keempat disebabkan terutamanya oleh harga elektrik yang kembali ke paras asal, susulan tamatnya pemberian diskaun bil elektrik selama 3 bulan yang dilaksanakan pada Julai 2021.
"Inflasi teras meningkat sedikit kepada 0.8% pada suku semasa apabila semakin banyak sektor dan kegiatan ekonomi dibuka semula.
"Pada 2021, purata inflasi keseluruhan adalah 2.5% manakala inflasi teras mencatatkan purata sebanyak 0.7%," jelasnya.
Perkembangan kadar pertukaran
BNM berkata, ringgit menambah nilai sebanyak 0.3% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku keempat 2021.
Penambahan nilai ini disokong oleh sentimen yang bertambah baik disebabkan oleh pelonggaran langkah-langkah sekatan berkaitan COVID-19 dan pemberian vaksin penggalak COVID-19 yang dipercepat.
"Bagaimanapun, sejak 3 Januari 2022, ringgit menyusut nilai sebanyak 0.3% berbanding dolar AS.
"Penyusutan nilai ini selaras dengan trend mata wang serantau lain berikutan jangkaan yang meningkat untuk keadaan mudah tunai global menjadi lebih ketat, termasuk dasar monetari yang diperketatkan pada kadar yang lebih cepat oleh Rizab Persekutuan AS," katanya.
Pada masa hadapan, jelasnya, disebabkan ketidaktentuan terhadap pelarasan mudah tunai global dan perkembangan berhubung dengan pandemik, pasaran kewangan domestik dijangka mengalami volatiliti yang berkala.
Keadaan pembiayaan
Pertumbuhan pembiayaan bersih sektor swasta meningkat kepada 4.7% berbanding 3.9% pada suku ketiga, didorong terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi apabila kegiatan ekonomi meningkat.
Menurut BNM, pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 4.2% dengan pertumbuhan yang lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman.
"Permohonan dan pengeluaran pinjaman menunjukkan peningkatan yang ketara, khususnya untuk pembelian rumah dan kereta penumpang, berikutan pelonggaran sekatan pergerakan.
"Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 4.8% dan terus didorong oleh pinjaman modal kerja yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com