Ekonomi suku keempat dijangka terus menguncup | DagangNews Skip to main content

Ekonomi suku keempat dijangka terus menguncup

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Ekonomi Malaysia dijangka terus menguncup pada suku keempat tahun ini susulan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sejak 14 Oktober lalu. 

 

Pada suku ketiga, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup pada kadar yang kecil, 2.7% berbanding penguncupan 17.1% pada suku kedua, terendah sejak suku keempat 1998 (-11.2%). 

 

Ini memandangkan aktiviti ekonomi sudah kembali beroperasi pada suku berkenaan dan pelaksanaan PKPB yang tidak terlalu ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr. Anthony Dass berkata, sekiranya kes baharu semakin meningkat sepanjang bulan ini, terdapat kemungkinan PKPB akan dilanjutkan lagi, yang sepatutnya berakhir 6 Disember ini. 

 

Sekiranya ini berlaku, ekonomi pada suku seterusnya akan menguncup pada kadar yang lebih besar, memandangkan langkah sedemikian sememangnya memberi kesan kepada ekonomi domestik, seperti yang berlaku pada Oktober. 

 

"Berdasarkan kumpulan data semasa, unjuran awal menunjukkan ekonomi mungkin menguncup sekitar 3.0 hingga 3.5% pada suku keempat dan keseluruhan tahun pula, penguncupan sekitar 5.3 hingga 5.7% berbanding unjuran -3.6 hingga -5.6%," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Kerajaan melanjutkan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor manakala ia dilaksanakan semula di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu apabila jangkitan COVID-19 semakin meningkat. 

 

Jumaat lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, PKPB yang dilaksanakan ketika ini adalah lebih bersasar dan mempunyai mobiliti yang lebih baik berbanding sebelum ini pada Mei-Jun, justeru, impaknya tidak seteruk sebelum ini.

 

Dengan mengambil kira kemungkinan peningkatan semula virus dan pelaksanaan langkah-langkah untuk membendungnya, BNM menjangkakan prospek prestasi ekonomi untuk tahun ini kekal antara -5.5 hingga -3.5%, namun pertumbuhan dijangka pada angka paling rendah dalam julat berkenaan.

 

Malah, Shamsiah berkata, BNM tidak akan menyemak semula unjuran ekonomi keseluruhan tahun ini meskipun berlaku perkara luar jangkaan iaitu gelombang ketiga penularan COVID-19 yang menyaksikan pelaksanaan semula PKPB. 

 

Bagi prospek ekonomi negara untuk tahun depan, ia akan kembali memulih pada unjuran 6.5 hingga 7.5% seperti yang diunjurkan sebelum ini didorong oleh penambahbaikan dalam permintaan global dan pemulihan dalam perbelanjaan sektor awam dan swasta di celah-celah pelbagai sokongan dasar.

 

Pemulihan ini juga selaras dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia akan berkembang pada 5.2% bagi tahun depan.

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Michelle Chia berkata, ekonomi suku ketiga melebihi jangkaan firma itu sebelum ini dengan penguncupan 3.5% disebabkan prestasi yang lebih baik dalam penggunaan awam dan perubahan inventori pada dasar perbelanjaan, perkhidmatan kerajaan dan duti import, mengikut sektor.

 

Namun, katanya, dengan pelaksananaan semula PKPB, ia akan menyebabkan ekonomi akan menguncup pada suku keempat tahun ini. 

 

"Kami mengekalkan pendirian kami, keseluruhan KDNK tahun ini sekitar -5.0% manakala unjuran BNM pula -5.5 hingga -3.5%. 

 

"Dalam masa sama, kami juga sependapat dengan BNM, bahawa ekonomi akan kembali pulih pada tahun hadapan dengan BNM menyemak semula unjuran antara 6.5 hingga 7.5% berbanding sebelum ini, 5.5 hingga 8.0% berdasarkan sokongan rangsangan fiskan dan monetari," katanya. - DagangNews.com