[EKSKLUSIF] Guna kata kesat di media sosial, pembuli siber boleh didenda RM50,000 | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Guna kata kesat di media sosial, pembuli siber boleh didenda RM50,000

Buli siber

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Kehadiran wabak COVID-19 sejak tahun lalu memberi pelbagai impak negatif dalam kehidupan masyarakat. Wabak berkenaan bukan hanya memberi ancaman kewangan kepada negara dan penduduk, malah turut menguji kesabaran dan kesihatan psikologi banyak pihak.

 

Bagaimanapun, dugaan tersebut tidak wajar dijadikan alasan buat sesetangah masyarakat untuk bertindak melulu tanpa moral.

 

Tindakan yang bagaimana? Dalam tempoh PKP 3.0 yang sedang dijalankan hari ini, kerajaan memutuskan untuk membenarkan sektor perkilangan terus beroperasi dengan SOP yang ditetapkan.

 

Kenapa dibenarkan? Ini kerana sektor perkilangan merupakan sektor penting dalam usaha melindungi mata pencarian rakyat. Selain menghasilkan produk bagi kegunaan PKS, kilang-kilang juga berperanan untuk memastikan bekalan produk harian rakyat dapat terus dihasilkan.

 

Bagaimanapun, keputusan kerajaan itu mendapat tentangan dan kecaman hebat masyarakat dengan cara membuli secara dalam talian atau buli siber.

 

Buat mereka yang menegur secara berhemah sebagai jalan penyelesaian, terima kasih di atas keprihatinan kalian.

 

Namun, ada juga golongan yang bertindak meninggalkan pesanan sinis, kata-kata kesat, emoji berbentuk haiwan dan pelbagai kecaman lain di laman-laman rasmi kerajaan.

 

Mereka lupa bahawa petugas yang menjaga laman web rasmi itu hanya menjalankan tugas, malah berhempas-pulas sehingga ke larut malam supaya maklumat dapat disalurkan kepada orang ramai.

 

Bila ada kecenderungan individu yang mengecam, menggunakan bahasa kesat dan sama sekali tidak ada kesopanan serta kesusilaan, memberi tekanan yang tidak diperlukan kepada kakitangan yang terbabit. Bayangkan jika petugas tersebut ahli keluarga anda, wajarkah mereka menjadi tempat belasahan hamburan kata nista? 

 

 Tangkap layar tindakan tidak bermoral masyarakat melalui emoji haiwan terhadap hantaran yang dimuat naik oleh MITI baru-baru ini.
Tangkap layar tulisan kesat menggunakan emoji khinzir pada laman rasmi MITI baru-baru ini.

 

Tindakan yang dibuat seperti melepaskan geram untuk mencapai kepuasan diri, memprotes keputusan kerajaan. Protes boleh tapi perlukah guna bahasa kesat? 

 

Soalnya, adakah itu satu tindakan bijak dan tepat? Melambangkan integriti masyarakat Malaysia yang sering dibanggakan sebagai masyarakat berperikemanusiaan.

 

Mengulas perilaku berkenaan, Pengamal Undang-Undang, Datuk Adnan Seman berkata, buli siber adalah satu jenayah yang perlu ditangani dengan serius kerana perilaku tersebut mampu memberi impak yang besar kepada mangsa dari segi mental.

 

 Adnan Seman
 Pengamal Undang-Undang, Datuk Adnan Seman

 

Menurutnya, komen-komen di sesuatu status Facebook dengan menghentam atau menghina sesuatu pihak juga boleh dikira sebagai buli siber.

 

Dalam ghairah mengecam dan membuli secara siber, pembuli sebenarnya perlu sedar bahawa Malaysia mempunyai undang-undang yang berkuatkuasa dan mereka boleh dikenakan hukuman sekiranya didapati bersalah.

 

"Dalam negara kita terdapat Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) yang mengawal selia industri komunikasi dan multimedia serta penggunaan apa jua bentuk komunikasi sama ada media sosial, SMS, aplikasi Whatsapp dan sebagainya.

 

"Terdapat dua seksyen yang saya percaya akan digunakan oleh pihak Pendakwa Raya dalam menuduh seseorang pembuli siber iaitu Seksyen 211 dan 233," katanya kepada DagangNews.com.

 

 

Seksyen 211 Akta 588 memperuntukkan;


 

Sek 211. Larangan terhadap pemberian kandungan jelik

(1) Tiada pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan, atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan, boleh memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.

(2) Seseorang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan


 

Sek 233. Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.


1) Seseorang yang —

(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar

 

  • Membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan
  • Memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau

 

(b) memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik,

 

 

2) Seseorang yang secara sedar —

(a) dengan menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi memberikan apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang; atau

(b) membenarkan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalan orang itu untuk digunakan bagi suatu aktiviti yang diperihalkan dalam perenggan (a)

 

 

3) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

 

 Tangkap layar emoji 'jari tengah' yang memberi maksud negatif terhadap info yang dikongsikan oleh MITI.
Tangkap layar emoji 'jari tengah' yang memberi maksud negatif terhadap info yang dikongsikan oleh MITI.

 

Adnan berkata, kedua-dua peruntukan tersebut jelas menunjukkan bahawa mana-mana pembuli siber atau individu boleh didakwa dengan mana-mana peruntukan dan Malaysia telah menetapkan satu hukuman yang berat iaitu denda tidak lebih RM 50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

 

Ditanya sama ada masyarakat hari ini masih belum mengetahui peruntukan tersebut atau sebaliknya, beliau percaya bahawa rakyat Malaysia tahu tindakan membuli adalah satu kesalahan, apatah lagi buli siber. 

 

Namun, mungkin ramai yang melihat bahawa buli siber itu tidak seteruk buli secara fizikal kerana pertama, tiada kecederaan fizikal yang akan berlaku; kedua, mereka akan bersandar kepada alasan 'bergurau'.

 

 Tangkap layar tindakan tidak bermoral masyarakat terhadap hantaran yang dimuat naik oleh MITI baru-baru ini.
Lagi ayat kasar semasa memberi komen di laman web rasmi kerajaan.

 

"Rakyat Malaysia perlu faham gurauan boleh dikira jenayah jika tindakan gurauannya itu memenuhi elemen-elemen di dalam sesuatu jenayah. 

 

"Contoh kesalahan di bawah Seksyen 211 Akta 588, apabila seseorang “menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan” dan “memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.”, tindakannya itu adalah satu kesalahan jenayah.

 

"Sekiranya rakyat Malaysia tahu peruntukan sekysen tersebut dan takut untuk melakukannya, saya percaya tiada isu buli siber di Malaysia," ujar beliau lagi.

 

 Perkataan kesat yang dilemparkan kepada pihak pengendali laman Twitter MITI.
Lihat perkataan kesat yang digunakan dan ia amat dikesali.

 

Dalam wawancara sama, beliau turut menyarankan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meneliti sama ada proses aduan masyarakat berkenaan buli siber ditangani dengan segera atau sebaliknya.

 

Selain itu, SKMM juga perlu meneliti peratusan pesalah laku di dalam kes buli siber di dakwa di Mahkamah atau pun tidak.

 

"Sekiranya banyak laporan media mengenai kes buli siber di bawa ke Mahkamah, saya percaya ianya akan memberi kesan kepada masyarakat dalam berhati-hati dalam menggunakan media sosial masing-masing," katanya. - DagangNews.com