[EKSKLUSIF] Tiada isu lambakan ‘rider’ - foodpanda | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] Tiada isu lambakan ‘rider’ - foodpanda

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Setiap kali berhenti sebentar di persimpangan lampu isyarat, pasti ‘barisan hadapan’ akan dipenuhi oleh penunggang motosikal dengan beg-beg berwarna pink digalas di belakang mereka.

 

Mungkin pernah terlintas di fikiran pemandu yang sempat mengamati persekitaran itu: “Tidak terlampau ramaikah ‘rider’ foodpanda ini?”

 

Apatah lagi dunia dilanda pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan ramai rakyat di negara ini kehilangan pekerjaan tetap, mendorong mereka untuk memilih karier ‘rider’ foodpanda bagi meneruskan mata pencarian rezeki. 

 

Pengarah Urusan foodpanda, Sayantan Das tidak menafikan bahawa terdapat peningkatan jumlah ‘rider’, namun ia dikatakan selari dengan peningkatan permintaan perhidmatan. 

 

Sayantan Das
Sayantan Das

 

Malah, pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini, Das mendedahkan bahawa permintaan secara keseluruhan aplikasi foodpanda menunjukkan pertumbuhan sihat dari tahun ke tahun. 

 

“Lebih-lebih lagi dengan pelancaran foodpanda shops, pandamart dan cloud kitchen

 

“Dengan adanya fungsi-fungsi baharu ini, pengguna mempunyai lebih banyak lagi peluang dan sebab untuk menempah pesanan menggunakan foodpanda. 

 

“Ini bermaksud lebih banyak pesanan untuk pangkalan ‘rider’ kami membuat penghantaran,” katanya kepada DagangNews.com 

 

foodpanda perkenal inisiatif kebajikan 'rider'

 

Di samping mengalu-alukan lebih ramai individu yang berminat menceburi karier ‘rider’ foodpanda, aplikasi itu dalam masa sama tidak melihat ia menjadi alasan untuk mengabaikan kebajikan pekerja lapangan sedia ada. 

 

Secara khususnya bagi para ‘rider’, Das menjelaskan bahawa foodpanda telah memperkenalkan pelbagai inisiatif  termasuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka terutamanya ketika pandemik ini.

 

“Kami memastikan ‘rider’ foodpanda selamat menerusi proses vaksinasi influenza, insurans khusus COVID-19 serta pembersihan dan sanitasi beg percuma. Kami juga memastikan ‘rider’ yang didapati positif COVID-19 akan menerima RM1,000 sebagai pertolongan kewangan tambahan.

 

Melalui tawaran dan perkongsian strategik yang membantu 'rider', kami memastikan motosikal mereka berada dalam keadaan terbaik. Kami juga menawarkan perlindungan insurans selama 24 jam dan pelan takaful yang berpatutan, memastikan mereka dijaga sekiranya cedera parah atau kemalangan lebih teruk lagi,” katanya lanjut. 

 

Menurut Das, foodpanda menyaksikan jumlah ‘rider’ daripada 13,000 orang pada Januari 2020 meningkat kepada 35,000 setakat Disember 2020.

 

foodpanda
JUMLAH 'rider' foodpanda dilihat meningkat dengan ketara didorong oleh penularan COVID-19 yang menjejaskan pasaran buruh.

 

Jelasnya, jumlah itu menyaksikan peningkatan 169% dan tidak menafikan COVID-19 sememangnya merupakan faktor besar kepada lonjakan itu. 

 

Dari segi vendor pula, Das berkata, foodpanda menikmati peningkatan sebanyak 163% sejak permulaan PKP pertama pada Mac tahun lepas yang turut didorong oleh pelancaran perkhidmatan baharu seperti foodpanda shops dan cloud kitchen

 

“Pada masa seperti ini, di mana hampir 100,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan akibat COVID-19, kami gembira dapat memberi mereka peluang alternatif untuk menyokong diri mereka sendiri dan juga keluarga,” kongsi Das. 

 

Persaingan sengit daripada pemain industri baharu

 

Di sebalik peningkatan jumlah vendor dan 'rider', foodpanda menyedari bahawa pandemik COVID-19 telah mendorong landskap industri itu untuk berkembang pesat sekali gus menyaksikan ramai pemain baharu yang ingin menembusi pasaran berkenaan.

 

Bagaimanapun, Das menegaskan bahawa perhatian foodpanda tertumpu kepada produk dan perkhidmatan mereka sendiri. 

 

“Kami tahu bahawa produk kami mempunyai banyak ciri-ciri unik dan inilah faktor yang membezakan perkhidmatan kami daripada persaingan lain. Produk dan perkhidmatan unik dan relevan sebeginilah menjadi strategi kami untuk kekalkan kedudukan foodpanda dalam industri ini,” katanya lagi. 

 

Pilih karier 'rider' foodpanda untuk sara hidup ketika pandemik

 

Sementara itu, seorang ‘rider’ foodpanda yang turut berkongsi kepada DagangNews.com memberitahu bahawa pekerjaan dalam ekonomi gig menawarkan peluang terbaik untuk menjana pendapatan semasa pandemik ini sekali gus menyara kehidupannya. 

 

Mohd. Taufik Idris, 34, mendedahkan upah yang diterima setiap hari boleh mencecah sekurang-kurangnya RM100 dan ke atas. 

 

“Anggaran itu terpulang kepada jumlah pesanan dan berapa jam yang saya terima pada hari itu. Pekerjaan seperti 'rider' foodpanda memberikan kestabilan, kerana apa jua situasi, perkhidmatan penghantaran makanan sangat diperlukan, lebih-lebih lagi semasa PKP ini,” kongsinya. 

 

Menjadi ‘mangsa’ pandemik COVID-19 sehingga kehilangan pekerjaan pada PKP tahun lalu, Mohd. Taufik memilih untuk menyara hidup sebagai ‘rider’ foodpanda selepas tempoh sekatan pergerakan itu tamat. 

 

Peralihan karier kepada ‘rider’ foodpanda dilihatnya mampu mendatangkan ganjaran yang lumayan dengan tempoh kerja yang sangat fleksibel.

 

“Semasa PKP ini, saya bersyukur menjadi 'rider' foodpanda bukan sahaja untuk keuntungan diri saya sendiri tetapi juga untuk membantu rakyat Malaysia yang lain untuk menerima makanan dan barangan keperluan yang dipesan dengan selamat dan mudah,” ulasnya lanjut. - DagangNews.com