Ada yang tersembunyi di sebalik kestabilan Pasaran Hartanah Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 31 Jul 2024 08:00 AM

Ada yang tersembunyi di sebalik kestabilan Pasaran Hartanah Malaysia

 

 

 

DALAM artikel sebelum ini, kita telah membedah kestabilan pasaran ini dan mengenal pasti beberapa paradoks yang menyelubunginya.

 

Adakah kestabilan yang kelihatan ini benar-benar mencerminkan realiti, atau sekadar ilusi yang menunggu masa untuk runtuh?

 

Sejauh mana kita benar-benar memahami dinamik pasaran hartanah Malaysia di tengah ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat, atau adakah kita hanya terperangkap dalam ilusi ketenangan sementara?

 

Tidak dinafikan, angka-angka yang dilaporkan tampak menggembirakan, tetapi apakah risiko tersembunyi di sebaliknya?

 

Krisis Geopolitik: Menanti Badai Taufan

Ketidakstabilan geopolitik yang semakin kompleks menjadikan ketegangan antarabangsa dan sekatan ekonomi sebagai ancaman yang nyata.

 

Konflik global dan ketegangan perdagangan berpotensi mengakibatkan aliran modal yang tidak menentu, yang boleh merosakkan kestabilan Malaysia yang kelihatan kukuh sekarang.

 

Sebagai contoh, ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China boleh memberi kesan langsung kepada pelaburan asing di Malaysia, di mana 20% daripada pelaburan langsung asing (FDI) kita berasal dari kedua-dua negara ini.

 

Kebergantungan ini menunjukkan betapa rapuhnya kestabilan kita jika tidak diurus dengan baik.

 

Pelaburan Asing: Pedang Bermata Dua

Pelaburan asing sering dilihat sebagai suntikan positif ke dalam ekonomi tempatan, membawa masuk modal dan menggalakkan pembangunan.

 

Namun, aliran masuk modal asing juga membawa risiko besar, terutamanya dengan fokus jangka pendek dan kecenderungan spekulatif pelabur asing.

 

Apabila harga hartanah melonjak tanpa kawalan yang sewajarnya, risiko ketidakseimbangan pasaran semakin tinggi.

 

Penduduk tempatan mungkin terpaksa berdepan dengan harga hartanah yang terlalu tinggi serta tidak masuk akal, menjadikan pemilikan rumah semakin sukar untuk dimiliki.

 

Revolusi Teknologi: Ancaman di Sebalik Kemajuan

Era Revolusi Industri 4.0 menyaksikan teknologi memainkan peranan dominan dalam pembangunan hartanah.

 

Teknologi seperti analitik data raya dan kecerdasan buatan (AI) menawarkan peluang untuk ramalan pasaran yang lebih tepat dan pengurusan aset yang lebih cekap.

 

Penggunaan teknologi yang tidak dikawal dengan baik boleh membawa kepada amalan spekulatif yang lebih canggih, seterusnya meningkatkan risiko gelembung pasaran.

 

Peningkatan penggunaan teknologi dalam hartanah sebanyak 15% pada tahun 2023, bagaimanapun, ia juga boleh menimbulkan ketidakstabilan jika tidak dikawal dengan betul.

 

Oleh itu, pemaju dan pelabur perlu bijak mengimbangi antara inovasi teknologi dan risiko yang mungkin timbul.

 

Potensi Pasaran Sekunder

Salah satu aspek yang kurang diberi perhatian dalam perbincangan mengenai pasaran hartanah Malaysia adalah potensi pasaran sekunder.

 

Rumah-rumah lama dan hartanah yang sudah wujud boleh menjadi sumber yang berharga jika diuruskan dengan betul.

 

Hanya 30% daripada transaksi hartanah pada tahun 2023 melibatkan pasaran sekunder, menunjukkan ruang untuk peningkatan yang signifikan.

 

Pasaran sekunder boleh menawarkan pilihan yang lebih mampu milik kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah, sekaligus mengurangkan tekanan ke atas pasaran utama.

 

Dengan strategi yang betul, pasaran sekunder mampu menjadi pemangkin kepada kestabilan pasaran hartanah secara keseluruhan.

 

Literasi Kewangan: Pengetahuan Adalah Kuasa

Kesedaran dan pendidikan kewangan adalah elemen kritikal dalam memastikan pasaran hartanah yang sihat dan berdaya tahan.

 

Pembeli rumah perlu dibekalkan dengan pengetahuan yang mencukupi untuk membuat keputusan bijak dan bertanggungjawab.

 

Institusi kewangan dan kerajaan perlu bekerjasama dalam mempromosikan literasi kewangan, terutamanya di kalangan pembeli rumah pertama kali.

 

Tanpa pendidikan kewangan yang mencukupi, risiko mengulangi kesilapan lalu di mana pembeli terjerat dalam hutang yang tidak mampu ditanggung meningkat.

 

Data menunjukkan bahawa hanya 40% rakyat Malaysia yang mempunyai literasi kewangan yang mencukupi pada tahun 2023, menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan usaha pendidikan kewangan.

 

Pendidikan kewangan bukan sahaja penting untuk individu, tetapi juga untuk kestabilan ekonomi negara.

 

Ekonomi Gig: Cabaran Baharu dalam Pasaran Hartanah

Kemunculan ekonomi gig membawa dinamik baru dalam pasaran hartanah.

 

Golongan pekerja gig sering kali tidak mempunyai pendapatan tetap, menjadikan mereka sukar untuk memenuhi syarat pinjaman perumahan tradisional.

 

Kerajaan perlu terus memperkenalkan skim sokongan yang lebih fleksibel dan inklusif untuk golongan ini.

 

Jumlah pekerja gig meningkat kepada 1.2 juta orang pada tahun 2023, menyebabkan ramai antara mereka menghadapi kesukaran dalam mendapatkan pinjaman perumahan.

 

Sektor perbankan juga perlu lebih inovatif dalam menawarkan produk kewangan yang sesuai dengan keperluan mereka.

 

Melalui pendekatan yang betul, ekonomi gig boleh menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan pasaran hartanah.

 

Peraturan dan Polisi: Untuk Siapa? Badut? Kapitalis?

Peraturan yang kukuh dan polisi yang berhati-hati adalah elemen penting dalam memastikan kestabilan pasaran hartanah.

 

Pemantauan dan kawalan selia aktiviti pasaran perlu diteruskan untuk mencegah berlakunya gelembung spekulatif.

 

Bagi membendung gelembung spekulatif, kerajaan dijangka memperkenalkan beberapa polisi baru yang bertujuan menstabilkan pasaran, termasuk cukai hartanah yang baharu serta penguatkuasaan yang lebih ketat.

 

Walaupun peraturan yang terlalu ketat boleh menyekat inovasi dan pertumbuhan, keseimbangan yang bijak diperlukan untuk memastikan pasaran yang sihat.

 

Gelembung Spekulatif: Bom Jangka Pasaran

Gelembung spekulatif dalam pasaran hartanah Malaysia, jika pecah, akan mengakibatkan impak yang sangat dahsyat.

 

Nilai hartanah akan merudum, pelabur akan mengalami kerugian besar, dan pemilik rumah yang terjebak dalam hutang akan menghadapi krisis kewangan yang teruk.

 

Pengangguran mungkin meningkat kerana sektor pembinaan dan hartanah yang terjejas, dan ini akan membawa kesan domino kepada sektor-sektor lain.

 

Ketidakstabilan ini boleh mencetuskan kemelesetan ekonomi, menjadikan kesan gelembung pasaran lebih mendalam dan meluas.

 

Stabil atau Sekadar Bayangan di Dinding Gua Plato

Adakah pasaran hartanah Malaysia benar-benar stabil, atau kita hanya terbuai dalam mimpi indah?

 

Angka-angka menggembirakan ini, mungkin ilusi, atau, mungkin cuma bayang-bayang di dinding gua Plato.

 

Bayangkan ekonomi gig dan teknologi canggih menulis semula peraturan hartanah.

 

Adakah kita bersedia untuk menempuh dunia baru ini, di mana kestabilan hanyalah mimpi indah? - DagangNews.com

 

 

dagangnews

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN