Bajet Malaysia 2025: Masa depan yang dibina sekarang
Ekonomi dunia, seperti kita semua, sedang menghadapi ketidakpastian yang luar biasa.
Tetapi bagi rakyat Malaysia, cabaran yang lebih mendesak datang dari kos hidup yang mencengkam, jurang pendapatan yang semakin melebar, dan kerajaan yang kelihatan lebih suka memberi ubat penahan sakit berbanding menyelesaikan masalah di akarnya.
Jika kerajaan benar-benar mahu merancang masa depan negara, Bajet 2025 seharusnya melebihi dari sekadar angka-angka kewangan tahunan.
Ia perlu menjadi manifestasi perubahan paradigma – satu rancangan tindakan yang jelas, berani, dan berwawasan untuk membina masa depan yang inklusif dan mampan.
Persoalannya, adakah kita bersedia untuk berfikir di luar kotak?
Kos Sara Hidup: Rawatan Jangka Pendek, Penyakit Jangka Panjang
Kos sara hidup telah menjadi beban yang tak tertanggung bagi rakyat Malaysia, namun langkah kerajaan sering kali seperti hanya membalut luka.
Subsidi minyak dan bantuan barang keperluan? Ya, memang membantu untuk seketika, tetapi apakah ini penyelesaian sebenar?
Masalah sama akan tetap timbul setiap tahun kerana akar masalahnya masih dibiarkan. Kita bercakap tentang monopoli dan kartel yang masih menguasai sektor-sektor utama seperti makanan dan tenaga.
Laporan Bank Dunia dengan jelas menunjukkan bahawa ketidakcekapan pasaran akibat monopoli ini telah menyebabkan harga barangan melambung tinggi.
Bajet 2025 perlu bertindak tegas, tidak boleh lagi memberi penyelesaian yang bersifat kosmetik – memecahkan kartel dan membuka pasaran kepada lebih ramai pemain.
Lebih ramai pemain dalam pasaran bermaksud lebih banyak persaingan, mekanisme pasaran bebas akan berfungsi dengan lebih baik, dan harga barangan boleh mula turun.
Sebagai tambahan, kerajaan perlu memberi memberi insentif kepada syarikat-syarikat baru yang ingin terlibat dalam sektor makanan dan tenaga, untuk memacu persaingan sihat serta memastikan harga yang lebih stabil dan mampu ditanggung oleh rakyat.
Masa Depan Hijau: Peluang yang Tidak Boleh Disia-siakan
Kita kini hidup dalam zaman teknologi, dan peluang untuk Malaysia menjadi peneraju dalam inovasi serantau terbuka luas.
Data daripada PwC menunjukkan bahawa sektor semikonduktor dan teknologi hijau akan berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Tetapi adakah kita bersedia untuk merebut peluang ini, atau adakah kita masih leka dengan pelan lama? Atau kita masih terperangkap dalam bajet yang lebih banyak cakap berbanding tindakan.
Bajet 2025 harus memberi tumpuan kepada insentif besar untuk syarikat yang melabur dalam teknologi hijau.
Potongan cukai dan dana untuk penyelidikan perlu diutamakan. Singapura dan Korea Selatan sudah jauh di hadapan dalam perlumbaan ini, dan Malaysia perlu bergegas jika tidak mahu terus ketinggalan.
Tetapi, jika kita terus bersikap selesa dengan status quo, INGAT, negara akan terus ketinggalan. Tetap kekal di takuk yang lama, yang sama, terpinggir dalam perlumbaan global.
Pekerja Gig: Masa Depan yang Tidak Dilindungi
Tenaga kerja Malaysia semakin bergantung kepada pekerja gig dan kontrak, tetapi perlindungan sosial mereka? Hampir tiada.
Lebih daripada satu perempat tenaga kerja terdiri daripada pekerja gig, Bajet 2025 perlu memikirkan cara untuk melindungi mereka yang tidak terikat dengan majikan tetap.
Insurans sosial yang menyeluruh, tanpa mengira status pekerjaan, harus diperkenalkan.
Model ini mungkin tidak popular dengan sesetengah pihak, tetapi ia penting jika kita mahu memastikan masa depan yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira pekerjaan mereka.
Skim pencen sukarela dengan insentif cukai untuk pekerja gig adalah satu lagi langkah penting.
Mungkin sekarang, ia tidak kelihatan mendesak, tetapi tanpa langkah ini, masalah yang lebih besar akan muncul dalam masa beberapa tahun.
Pelaburan Asing: Bukan Jumlah, Tetapi Kualiti
Malaysia sering berbangga dengan jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang masuk setiap tahun, tetapi jumlah sahaja tidak cukup.
Bajet 2025 perlu mengubah fokus kepada pelaburan berkualiti tinggi yang menyokong industri bernilai tambah seperti teknologi maklumat, farmaseutikal, dan tenaga boleh diperbaharui.
Pengecualian cukai korporat boleh menjadi pemanis bagi syarikat-syarikat asing yang mahu mendirikan pusat R&D di Malaysia.
Tetapi, pada masa sama kita juga perlu memastikan infrastruktur digital negara adalah yang terbaik, jika tidak, kita hanya akan menjadi pilihan kedua di mata pelabur.
Persoalannya, adakah kita sanggup membuat perubahan ini? Itu pun jika kita benar-benar serius dalam perkara ini.
Jurang Kekayaan: Sampai Bila?
Pertumbuhan ekonomi Malaysia seharusnya memanfaatkan semua, tetapi jurang pendapatan antara kumpulan T20 dan B40 semakin melebar.
Sistem percukaian kita perlu lebih progresif, di mana golongan kaya menyumbang lebih banyak kepada ekonomi negara.
Bajet 2025 juga perlu memperkenalkan skim bantuan yang lebih bersasar, memastikan hanya mereka yang benar-benar memerlukan bantuan akan mendapat manfaat.
Ini bukan soal populisme; ini soal keadilan. Jika tidak, jurang ekonomi akan terus melebar, dan masalah sosial yang lebih besar akan timbul.
Program “Dividen Rakyat” – di mana keuntungan GLC diagihkan kepada golongan miskin – mungkin bukan idea yang radikal, tetapi ia adalah satu langkah penting ke arah pengagihan kekayaan yang lebih adil.
Bajet 2025: Bukan Sekadar Angka, Bukan Soal PMX, Tetapi untuk Masa Depan Negara
Bajet Malaysia 2025 bukan hanya soal angka, tetapi soal prinsip; ia adalah peluang untuk membentuk semula masa depan negara, menjadikan Malaysia lebih lestari, adil, dan inklusif.
Pilihan ada di tangan kita – adakah kita akan memilih untuk terus membalut luka, terus-menerus makan ubat penahan sakit, atau adakah kita berani mengambil langkah drastik untuk membina masa depan yang lebih baik?
Jawapannya? Kita tunggu apabila Bajet 2025 dibentangkan pada 18 Oktober ini. - DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat