Gelembung Tersembunyi dalam Kestabilan Pasaran Hartanah Malaysia
DALAM ketidaktentuan ekonomi global yang mencabar, pasaran hartanah Malaysia pada tahun 2024 mempamerkan daya tahan luar biasa.
Banyak negara maju mengalami kejatuhan pasaran hartanah, namun Malaysia terus menonjol dengan kestabilannya.
Bagaimana Malaysia boleh bertahan sedangkan negara-negara lain bergelut dengan kejatuhan?
Kekuatan Ekonomi dan Dasar Monetari
Kestabilan ekonomi merupakan kunci utama ketahanan pasaran hartanah Malaysia.
Pada suku pertama 2024, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 4.2%, peningkatan terbaik dalam setahun, berbanding 3.0% pada suku keempat 2023.
Sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang terbesar dengan menyumbang 55.2% daripada KDNK, menunjukkan daya tahan ekonomi yang kukuh.
Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang stabil pada 3.00% oleh Bank Negara Malaysia memastikan kos pinjaman kekal berpatutan, merangsang pembelian hartanah dan pelaburan.
Indeks Hartanah Bursa Malaysia: Petunjuk Keyakinan Pelabur
Indeks Hartanah di Bursa Malaysia terus menunjukkan peningkatan konsisten. Sejak awal tahun 2024, indeks ini meningkat sebanyak 5%, mencerminkan permintaan kukuh dalam sektor ini.
Indeks ini mencatatkan peningkatan 2.5% pada suku pertama 2024, dibandingkan dengan peningkatan 1.8% pada suku keempat 2023.
Akan tetapi, kenaikan ini juga dipengaruhi oleh spekulasi pelabur. Sejarah telah menunjukkan bahawa lonjakan mendadak dalam harga hartanah sering diikuti oleh pembetulan pasaran yang drastik.
Ketidakpastian global dan spekulasi pelabur juga boleh mencetuskan gelembung yang besar, menjadikan pasaran hartanah lebih terdedah kepada kejutan.
Projek Mega dan Kesalinghubungan: Tulang Belakang Pertumbuhan
Kuala Lumpur kekal sebagai pusat pelaburan hartanah dengan projek-projek ikonik seperti Tun Razak Exchange (TRX) dan Menara Merdeka 118.
Harga kondominium premium di pusat bandar meningkat sebanyak 3.2% sepanjang tahun 2023, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi pertumbuhan dan nilai jangka panjang.
TRX dijangka menjadi hab kewangan antarabangsa, manakala Menara Merdeka 118 bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia.
Projek TRX mencatatkan peningkatan pelaburan sebanyak 10% pada suku pertama 2024, manakala harga kondominium di kawasan tersebut meningkat sebanyak 2.8% berbanding suku sebelumnya.
Menyemarakkan Pertumbuhan Wilayah: Pembangunan Infrastruktur di Sarawak
Projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 di Sarawak yang hampir siap sepenuhnya pada suku pertama 2024 dan dibuka sepenuh pada suku kedua 2024 akan meningkatkan keterhubungan dan membuka lebih banyak tanah untuk pembangunan.
Kuching menyaksikan nilai hartanah komersial meningkat sebanyak 2.8% berbanding tahun sebelumnya. Projek Transit Rel Autonomi (ART) dan pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar oleh kerajaan negeri Sarawak bakal meningkatkan peluang dalam perdagangan, perniagaan, dan pelancongan.
Dasar Berhemah dan Sokongan Kerajaan
Kerajaan Malaysia telah melaksanakan dasar-dasar yang boleh dikatakan sebagai berhati-hati dan berlandaskan permintaan sebenar, bukannya spekulasi yang tidak terkawal.
Skim Jaminan Kredit Perumahan dalam Bajet 2024, yang menggandakan peruntukan kepada RM10 bilion untuk menjamin pinjaman kepada 40,000 peminjam dari ekonomi gig, menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan kestabilan pasaran hartanah.
Namun, apabila pasaran terlalu bergantung pada sokongan dasar kerajaan, ia berisiko menghalang perkembangan pasaran yang lebih organik dan berdaya tahan.
Akibatnya, pasaran mungkin menjadi lebih terdedah kepada krisis dan seterusnya menjejaskan ekonomi secara keseluruhan.
Kestabilan Pasaran Hartanah: Mengelakkan Gelembung Spekulatif
Ketahanan pasaran hartanah Malaysia berakar umbi daripada dasar kerajaan yang boleh dikatakan sebagai berhati-hati dan berlandaskan permintaan sebenar.
Projek-projek mega dan peningkatan infrastruktur memberikan asas yang kukuh kepada pasaran. Bagaimanapun, langkah-langkah ini mungkin tidak cukup untuk melindungi pasaran daripada risiko jangka panjang.
Spekulasi pelabur telah terbukti mampu mencetuskan gelembung pasaran. Krisis gadai janji subprima pada tahun 2008 di Amerika Syarikat adalah contoh terbaik di mana lonjakan harga hartanah yang didorong oleh spekulasi akhirnya menyebabkan kejatuhan pasaran yang drastik.
Tahun 2024, masih menjadi kebimbangan terutamanya berkaitan spekulasi dalam pasaran hartanah Malaysia, dengan kebanyakan pelabur meramalkan pembetulan harga sekitar 10-15% dalam tempoh tiga tahun akan datang jika langkah-langkah kawalan tidak diambil.
Memahami Dinamik Pasaran Hartanah
Walaupun terdapat peningkatan kos bahan binaan dan cabaran global seperti inflasi dan ketidaktentuan geopolitik, pasaran hartanah Malaysia masih menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
Sokongan kewangan kepada golongan ekonomi gig dan pembangunan infrastruktur yang berterusan menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan pasaran hartanah kekal mampan dan berdaya saing.
Tetapi! Sejauh manakah langkah-langkah ini mampu menahan tekanan global? Adakah pasaran hartanah Malaysia cukup tangkas untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang cepat dan tidak menentu?
Masa Hadapan Pasaran Hartanah Malaysia
Pasaran hartanah Malaysia pada tahun 2024 mencerminkan asas ekonomi yang sihat serta keupayaan negara untuk menyesuaikan diri dan berinovasi menghadapi cabaran global.
Dengan sokongan kerajaan, pelaburan berterusan, dan pembangunan infrastruktur yang pesat, pasaran hartanah Malaysia berpotensi untuk terus berkembang.
Tiada lautan yang tidak berombak, tiada pantai yang bebas daripada hempasan ombak, dan tiada dataran yang terhindar daripada taufan. Begitu juga dengan pasaran hartanah; tiada pasaran yang kebal sepenuhnya daripada risiko.
Adakah kita sedang menyaksikan kemajuan yang berterusan, atau adakah ini hanya ilusi kestabilan yang rapuh, menunggu untuk meletus dalam bentuk gelembung spekulatif yang akan mengejutkan ramai?
Masa hadapan pasaran hartanah Malaysia berada di titik persimpangan, menyembunyikan jawapan di sebalik tirai ketidakpastian. - DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat