Ho Ho Ho, Anomali Pasaran Pada Minggu Terakhir Disember
PASARAN saham sememangnya unik! Mengapa? Ini kerana jika sesuatu kejadian aneh atau sebarang fenomena luar biasa yang berkaitan memberi pulangan berlebihan kepada pedagang dan pelabur, ia dikelaskan sebagai anomali pasaran oleh penganalisis pasaran saham.
Anomali pasaran adalah merujuk kepada pergerakan harga saham yang bertentangan dengan tingkah laku yang diharapkan dari pergerakan pasaran saham itu sendiri.
Tiada siapa dengan tepat mengetahui mengapa anomali pasaran boleh berlaku!
Jika ditanya, jawapan yang diberikan, baik dari penganalisis pasaran saham, pedagang mahupun pelabur, mereka akan memberikan jawapan dan mengemukakan pendapat yang berbeza-beza tentang anomali pasaran dan tidak mempunyai penjelasan yang konklusif terhadap peristiwa yang berlaku.
Kebetulan? Tahyul?
Sama ada ia hanyalah kebetulan atau tahyul atau sebagainya, sesetengah anomali pasaran muncul hanya sekali dan kemudiannya hilang, tetapi ada juga anomali pasaran yang lain muncul dan berulang secara konsisten dalam garis masa.
Walaupun kesan sebenar anomali pasaran ini masih menjadi tanda tanya tetapi apabila ia berlaku, ia menunjukkan dan membuktikan pedagang dan pelabur mampu meraih pulangan berlebihan semasa peristiwa itu berlaku.
Anomali Pasaran Perayaan Krismas
Memandangkan perayaan Krismas bakal menjelang tiba pada hujung bulan ini, ada satu anomali pasaran yang unik boleh dikatakan sering berlaku secara konsisten di pasaran saham yang menyaksikan pasaran saham melonjak naik dan memberikan pulangan yang berlebihan buat pedagang dan pelabur.
Anomali pasaran ini merujuk kepada “Santa Claus Rally” yang dinamakan sempena figura legenda yang dikaitkan dengan perayaan Krismas – lelaki berjambang putih dengan susuk badan yang besar, terkenal dengan kemurahan hati dan amalnya dikalangan kanak-kanak serta sinonim dengan bunyi Ho Ho Ho, tak lain tak bukan, Santa Claus.
Memahami “Santa Claus Rally”
“Santa Claus Rally” adalah salah satu anomali pasaran dan istilah yang diwujudkan oleh penganalisis pasaran saham untuk menggambarkan fenomena di mana pasaran saham melonjak naik pada minggu terakhir bulan Disember.
Tiada siapa yang tahu dengan tepat kenapa ini berlaku tetapi ada sesetengah yang berseloroh anomali pasaran ini terjadi kerana Santa Claus tidak hanya bermurah hati menghadiahkan permainan untuk kanak-kanak tetapi dia juga bermurah hati untuk memberi hadiah buat semua pedagang dan pelabur melalui pulangan (keuntungan) saham yang berlebihan (tinggi) pada minggu terakhir Disember.
Bunyinya seperti tahyul, tetapi ada penjelasan konklusif yang menerangkan “Santa Claus Rally” ini.
Peningkatan Jualan Semasa Perayaan
Ada segelintir yang percaya bahawa “Santa Claus Rally” disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan percutian – peningkatan jualan musim perayaan. Peningkatan jualan musim perayaan ini telah mendorong sentimen positif dikalangan pedagang dan pelabur terhadap perniagaan.
Logik mereka, bagi yang meraikan perayaan ini, mereka akan berbelanja sama ada berbelanja di gedung membeli belah mahupun secara dalam talian sebagai persiapan menyambut perayaan Krismas.
Ini menyaksikan angka jualan pada akhir tahun buat kebanyakan perniagaan mencatat peningkatan dengan jangkaan bahawa perniagaan akan mencatat pulangan (keuntungan) yang baik pada suku tahun terakhir.
Ini secara langsung akan mendorong kenaikan harga saham yang meluas di pasaran saham.
Cuti Panjang dan Suntikan Modal Tambahan
Perayaan juga sinonim dengan cuti, di mana ada segelintir yang percaya bahawa pedagang dan pelabur mempunyai lebihan masa yang boleh digunakan untuk membuat analisis terhadap saham yang berpotensi memberi pulangan berlebihan.
Mereka juga percaya bahawa pedagang dan pelabur yang aktif semasa minggu terakhir bulan Disember ini mempunyai dana berlebihan (bonus perayaan) yang boleh disuntik sebagai modal tambahan perdagangan dan pelaburan saham.
Ada juga yang berpendapat bahawa “Santa Claus Rally” ini berlaku kerana pelabur institusi sedang bercuti panjang sepanjang perayaan dan tidak aktif berdagang pada masa itu.
Pendapat ini berandaian bahawa pada masa ini, kebanyakan pedagang serta pelabur runcit akan mula aktif berdagang dan memberi kesan yang lebih besar ke atas pasaran saham, menyebabkan harga saham melonjak naik.
Kesan Hujung Minggu Yang Panjang
“Santa Claus Rally” juga dapat dikaitkan dengan kebiasaan anomali pasaran yang merujuk kepada 'kesan percutian' atau 'kesan hujung minggu yang panjang', kecenderungan untuk pasaran saham memberi pulangan berlebihan (keuntungan yang tinggi) pada hari akhir dagangan sebelum mulanya cuti panjang.
Berdasarkan hasil kajian, ia menunjukkan bahawa pulangan pasaran saham akibat 'kesan percutian' ini mencatatkan secara purata pulangan sepuluh kali ganda lebih besar daripada pulangan purata semasa hari dagangan biasa. Anomali pasaran ini adalah sahih berdasarkan dapatan kajian yang telah dilakukan di banyak negara.
Tetapi jika dilihat dari perspektif berbeza, kenapa 'kesan hujung minggu yang panjang' berlaku, ini disebabkan oleh kebanyakan pedagang dan pelabur yang merancang untuk bercuti dan berehat sepanjang musim perayaan akan menjual pegangan mereka yang berisiko untuk mengurangkan kerugian atau mengelakkan kejadian yang tidak diingini semasa tempoh percutian mereka.
Anomali Pasaran = Ketidakcekapan Pasaran
Anomali pasaran sebenarnya mencerminkan ketidakcekapan pasaran yang berbeza jika dibandingkan dengan andaian trajektori harga seperti yang dinyatakan oleh hipotesis pasaran cekap.
Secara teori, mengikut hipotesis pasaran cekap, sepatutnya dan mustahil untuk mana-mana pedagang dan pelabur mencatat pulangan berlebihan kerana saham sentiasa didagangkan pada harga pasaran yang betul dan berubah dengan kewujudan maklumat baharu.
Tetapi anomali pasaran tetap wujud! Walaupun kebanyakan anomali hanya berlaku sekali dan kemudiannya hilang. Ia membuktikan ada masanya pasaran saham akan mencatat dan memberi pulangan berlebihan kepada pedagang dan pelabur!
Sesungguhnya anomali pasaran amatlah sukar untuk dijelaskan tetapi jika ada sesuatu peristiwa yang membawa kepada terjadinya anomali pasaran, penganalisis pasaran saham akan memberi nama yang unik sebagai tanda atau bukti yang anomali pasaran itu pernah berlaku walaupun hanya sekali! – DagangNews.com