Kegilaan berulang dalam perdagangan saham: Adakah kita semua gila? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 04 Sep 2024 08:00 AM

Kegilaan berulang dalam perdagangan saham: Adakah kita semua gila?

 

 

 

Dalam dunia perdagangan saham, kita sering terperangkap dalam pola yang sama: menganalisis carta harga, menggunakan petunjuk teknikal, dan beranggapan bahawa kita telah menguasai pasaran.

 

Tetapi bagaimana jika semua ini adalah salah?

 

Mungkin selama ini kita telah salah memahami konsep asas yang mempengaruhi pergerakan pasaran saham.

 

Einstein Pedagang Saham Sebenar. Eh, Bukan Dia Saintis Ke?

Untuk benar-benar memahami pasaran saham, mungkin kita perlu beralih dari pemikiran linear kepada pemikiran yang lebih saintifik, seperti yang dicadangkan oleh Albert Einstein dalam Teori Relativiti.

 

Ketika pasaran bergerak, ia sebenarnya mencerminkan hubungan dinamik yang kompleks antara pelbagai faktor ekonomi, politik, dan sosial.

 

Ramai pedagang masih menggunakan pendekatan satu dimensi, hanya memberi tumpuan pada data sejarah dan petunjuk teknikal yang hanya mengukur corak masa lalu.

 

Cara ini sering kali mengabaikan realiti bahawa pasaran adalah entiti dinamik yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang bergerak pantas.

 

Walaupun prestasi pasaran lepas sering dianggap sebagai petunjuk, kita perlu mempertimbangkan kemungkinan gangguan dan perubahan mendalam dalam struktur ekonomi yang boleh mengubah trajektori pasaran secara radikal.

 

Jika pedagang hanya bergantung pada data sejarah tanpa mempertimbangkan perubahan ekonomi dan dinamik baru, ini boleh meningkatkan risiko ketidakpastian dan volatiliti dalam pasaran.

 

Dunia Baru di Sebalik Data, Pasaran dalam “Bingkai” Bergerak

Di sinilah teori relativiti Einstein menjadi relevan. Teori relativiti menunjukkan bahawa ruang dan masa adalah relatif dan berubah bergantung kepada individu yang memerhatikannya.

 

Pasaran saham juga tidak statik; ia berubah berdasarkan persepsi dan tindakan pedagang, menjadikannya dinamik dan bergantung pada perspektif individu.

 

Oleh itu, data sejarah dan prestasi masa lalu tidak harus dilihat sebagai entiti tetap yang dapat dijadikan asas mutlak untuk ramalan masa depan.

 

Sebaliknya, kita harus menerima bahawa pasaran adalah "relatif," dipengaruhi oleh pelbagai elemen yang sukar diramalkan. Untuk melangkaui had pemikiran konvensional, kita perlu melihat pasaran dengan perspektif yang lebih luas dan lebih intelektual.

 

Memahami faktor-faktor makroekonomi seperti dasar monetari, inflasi, dan keadaan geopolitik adalah sama penting dengan analisis teknikal.

 

Misalnya, perubahan dalam dasar kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia boleh mempengaruhi nilai ringgit, yang seterusnya boleh mempengaruhi pasaran saham. 

 

Maka, pemahaman yang lebih mendalam mengenai bagaimana perubahan ini berlaku dalam "ruang dan masa" yang lebih luas adalah penting untuk memahami bagaimana ia mempengaruhi pelbagai komponen pasaran.

 

Apa Yang Merasuk Pedagang?

Selain itu, pasaran saham juga mencerminkan psikologi kolektif pedagang. Terdapat ramai yang berpendapat bahawa dengan memahami pola carta pergerakan harga saham, mereka boleh mengalahkan pasaran.

 

Pandangan dan keyakinan ini sebenarnya sering kali menimbulkan ilusi kawalan. Pasaran bukan sekadar “tempat berdagang,” ia ibarat entiti yang hidup, penuh dengan emosi manusia seperti ketakutan dan keserakahan.

 

Melihat kepada aspek ini, satu lagi prinsip Einstein, iaitu teori “ketidakpastian,” mungkin lebih relevan. Ia sama seperti konsep dalam “fizik kuantum,” di mana kedudukan dan momentum zarah tidak boleh ditentukan dengan tepat pada masa yang sama, begitu juga dengan pasaran – kita tidak boleh meramal dengan tepat arah dan masa pergerakan pasaran.

 

Salah satu konsep dalam mekanik kuantum adalah "kesan pemerhati," yang menunjukkan bahawa tindakan mengukur atau memerhati sesuatu fenomena boleh mengubah fenomena tersebut.

 

Kedengaran rumit? Hahahaha. Anda sama seperti Paul Rudd dalam filem *Ant-Man and The Wasp: Quantumania*, apabila beliau pening dengan segala istilah fizik sehingga melontarkan soalan menggelikan hati: “Adakah kamu hanya meletakkan perkataan “kuantum” di hadapan segala-galanya?” 

 

Mana tidaknya, filem ini padat dengan fizik kuantum, dengan istilah seperti keterikatan kuantum, fasa kuantum, dan terowong kuantum.

 

Apabila dikaitkan dengan perdagangan saham, ini boleh diterjemahkan kepada idea bahawa tindakan pedagang besar atau institusi boleh mengubah arah pasaran hanya dengan membuat keputusan pelaburan yang besar.

 

Kacau-Bilau Pasaran Saham

Satu lagi teori yang relevan adalah teori “chaos,” yang dapat diaplikasikan dalam memahami pergerakan pasaran saham.

 

Teori ini menyatakan bahawa dalam sistem yang kompleks, seperti pasaran saham, perubahan kecil dalam keadaan awal boleh membawa kepada perbezaan besar dalam hasil akhir.

 

Implikasinya adalah bahawa ramalan yang tepat hampir mustahil kerana pasaran adalah terlalu sensitif terhadap perubahan kecil yang sukar untuk diramalkan.

 

Pasaran saham mungkin lebih mirip dengan cuaca – sukar diramal dengan tepat dalam jangka masa panjang, tetapi mungkin boleh dianggarkan dalam jangka masa pendek berdasarkan pergerakan harga saham semasa.

 

Perdagangan Saham Dalam Dunia “Multiverse.” Ini Bukan Filem Dr. Strange!

Konsep “multiverse” dalam fizik menawarkan perspektif tambahan dan juga boleh digunakan untuk mencabar pemikiran konvensional dalam perdagangan.

 

“Multiverse” mencadangkan bahawa terdapat kemungkinan wujudnya pelbagai alam semesta di mana setiap keputusan yang mungkin diambil oleh pedagang menghasilkan alam semesta (keputusan) yang berbeza.

 

Contohnya, apabila seorang pedagang memutuskan untuk membeli saham syarikat, keputusan ini tidak hanya mempengaruhi nilai saham syarikat tersebut tetapi juga dapat mempengaruhi keseluruhan ekosistem pasaran saham.

 

Jelas dalam konteks ini, setiap keputusan perdagangan yang dilakukan oleh pelabur menghasilkan satu set realiti yang unik, membentuk hasil pasaran yang pelbagai dan kompleks.

 

Ini membawa kepada idea bahawa tiada satu jalan perdagangan yang betul atau salah – sebaliknya, terdapat pelbagai hasil yang mungkin bergantung pada keputusan yang dibuat.

 

Gila Tetapi Bijak

Sebagai pedagang, kita mesti sentiasa bersedia untuk memikirkan semula cara kita melihat dunia ini.

 

Kerana seperti yang pernah dikatakan oleh Einstein: "Kegilaan ialah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza." 

 

Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti menjadi gila, melangkah keluar dari kebiasaan lama dan mula berfikir seperti seorang saintis dalam dunia perdagangan saham.

 

Boleh jadi, dengan cara ini, kita mampu memahami dan meramalkan pasaran dengan lebih baik.

 

Siapa tahu? Mungkin kita hanya perlu menambah sedikit elemen "kuantum" ke dalam strategi perdagangan kita.

 

Atau mungkin, kita patut lontarkan soalan ini pada diri sendiri: “Adakah kita hanya gila kerana kita masih belum cukup bijak seperti Einstein?”  - DagangNews.com

 

 

dagangnews

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN