RM85.27 juta untuk Padu: Memang Padu? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 10 Jul 2024 08:00 AM

RM85.27 juta untuk Padu: Memang Padu?

 

 

 

Belum lagi siap tetapi kos pembangunan Pusat Pangkalan Data Berpusat (Padu) sudah mencecah RM85.27 juta. Jumlah ini telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Ketika ekonomi berada dalam keadaan mencabar dan tidak menentu, timbul persoalan: Adakah perbelanjaan sebesar ini wajar dan berbaloi?

 

Keperluan atau Pembaziran?

RM85.27 juta bukanlah jumlah yang kecil. Perbelanjaan ini merangkumi peralatan dan perisian ICT, perkhidmatan pemeriksaan dan pengesahan, publisiti dan komunikasi strategik, serta pendaftaran pengguna secara dalam talian dan bersemuka.

 

Adakah proses perolehan dilakukan dengan telus dan adil? Adakah perbelanjaan ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat atau hanya menguntungkan sesetengah pihak?

 

Kos sebegini besar seharusnya dipantau dengan ketat untuk memastikan bahawa setiap sen yang dibelanjakan adalah untuk kepentingan awam, bukan sekadar memenuhi kehendak birokrasi.

 

Kos Peralatan dan Perisian ICT

Komponen utama kos pembangunan Padu adalah peralatan dan perisian ICT. Teknologi memang penting, tetapi kos ini perlu diperhalusi.

 

Apakah harga yang dibayar berpatutan atau terdapat elemen pembaziran? Ketelusan dalam proses perolehan adalah kunci untuk memastikan duit rakyat tidak disalahgunakan.

 

Satu audit bebas mungkin dapat menjelaskan sama ada perbelanjaan ini dilakukan secara bijak atau berlebihan.

 

Justifikasi Kos?

Perkhidmatan pemeriksaan dan pengesahan memerlukan perbelanjaan besar untuk memastikan data dalam pangkalan data adalah tepat dan boleh dipercayai.

 

Bagaimanapun, adakah kos ini munasabah? Adakah proses ini disumberkan kepada pihak ketiga dengan harga berpatutan dan tanpa kepentingan tertentu?

 

Rakyat berhak mengetahui mengapa perkhidmatan ini begitu mahal dan apakah nilai tambah yang diberikan.

 

Publisiti dan Komunikasi, Satu Keperluan atau Pembaziran?

Publisiti dan komunikasi strategik memang tidak disangkal lagi, adalah penting untuk memastikan rakyat memahami dan mendaftar Padu.

 

Walau bagaimanapun, kosnya harus dikawal agar tidak menjadi berlebihan. Apakah kempen publisiti ini benar-benar memberikan nilai tambah atau hanya sekadar membazirkan wang rakyat?

 

Bukan itu sahaja, publisiti perlu menumpukan kepada hasil yang konkrit dan bukan sekadar propaganda. Rakyat memerlukan maklumat yang tepat dan berguna, bukan sekadar retorik politik yang langsung tidak memberi manfaat.

 

Analisis dan Penyelarasan Data

Fasa kedua Padu melibatkan analisis dan penyelarasan data 10,544,016 individu untuk menentukan saiz isi rumah, perbelanjaan, dan pendapatan bersih.

 

Adakah kos ini benar-benar diperlukan atau boleh dilakukan dengan cara lain yang lebih cekap? Ketelusan dalam proses ini adalah penting untuk memastikan wang rakyat digunakan dengan bijak.

 

Data yang diperolehi mestilah tepat dan boleh dipercayai untuk kegunaan dasar kerajaan pada masa hadapan.

 

Mekanisme Subsidi, Realiti atau Retorik?

Mekanisme subsidi yang akan digunakan masih dalam proses penilaian. Kerajaan perlu memastikan bahawa setiap sen yang dibelanjakan adalah untuk kepentingan rakyat.

 

Ketelusan dalam penentuan kriteria dan pelaksanaan subsidi adalah penting untuk mengelakkan ketidakadilan dan ketirisan terus berlaku walaupun setelah wujudnya Padu.

 

Rakyat ingin melihat bahawa subsidi yang diberikan adalah tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan, bukan berdasarkan kriteria yang samar-samar, tidak jelas.

 

Sejarah Cenderung Untuk Berulang

Rakyat masih ingat akan projek 1BestariNet yang menelan belanja besar tetapi gagal mencapai objektifnya.

 

Dengan kos mencecah RM4.1 bilion, projek tersebut akhirnya dihentikan kerana pelbagai masalah.

 

Adakah Padu akan mengulangi sejarah kegagalan ini atau mampu mencapai kejayaan?

 

Pengajaran daripada projek terdahulu perlu diambil secara serius untuk mengelakkan pembaziran wang rakyat berlaku sekali lagi.

 

Ketelusan dan Akauntabiliti

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, rakyat berhak mengetahui bagaimana duit mereka dibelanjakan.

 

Kerajaan perlu memastikan bahawa setiap sen yang dibelanjakan adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk kepentingan pihak tertentu.

 

Ketelusan dalam proses perolehan, perancangan teliti, dan pengurusan berkesan adalah kunci untuk memastikan bahawa projek ini tidak menjadi dan mencipta satu lagi sejarah serta contoh pembaziran duit rakyat.

 

Rakyat mengharapkan laporan yang telus dan berkala mengenai kemajuan projek ini.

 

Cukuplah selama ini wang rakyat dibazirkan dengan projek gajah putih. Kerajaan perlu berani dengan memberi jaminan bahawa Padu akan memberi manfaat yang nyata dan berterusan untuk rakyat.

 

Komitmen atau Kegagalan?

Jika kerajaan gagal memastikan keberkesanan dan ketelusan dalam projek ini, sudah tentu, tidak lain tidak bukan, rakyat akan menanggung akibatnya.

 

Setiap sen yang dibelanjakan tanpa justifikasi adalah tamparan kepada integriti kerajaan. Padu bukan sekadar pangkalan data, tetapi cerminan komitmen kerajaan kepada rakyat.

 

Adakah kita akan melihat satu lagi projek yang gagal, atau adakah ini peluang untuk membuktikan bahawa kerajaan benar-benar berfungsi untuk rakyat?

 

Masa Hadapan Padu

Tidak dinafikan bahawa Padu ini adalah bagus kerana ia dibangunkan untuk memperbaiki mekanisme subsidi sedia ada, tetapi kos yang tinggi dan ketidakpastian tentang keberkesanannya membuatkan ramai yang meragui kewajaran perbelanjaan ini.

 

Padu mempunyai potensi besar untuk mengubah cara data diuruskan, tetapi memerlukan komitmen penuh untuk mencapai kejayaan.

 

Jika dilaksanakan dengan baik, Padu boleh menjadi model untuk projek kerajaan lain pada masa hadapan.

 

Tidak terhad dengan itu, ia juga dapat meningkatkan kecekapan pengurusan data dan sudah semestinya memberi manfaat besar kepada rakyat.

 

Bagaimana jika Padu GAGAL?

 

Sama seperti sebelumnya, ia akan menjadi satu lagi episod dalam sejarah panjang pembaziran wang rakyat. - DagangNews.com

 

 

dagangnews

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN