Saham Heitech Padu mencanak naik, mana ada insider trading?  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 20 March 2024

Saham Heitech Padu mencanak naik, mana ada insider trading

 

 

PERDAGANGAN maklumat dalaman, yang lebih dikenali sebagai insider trading, merupakan fenomena yang boleh menimbulkan kebimbangan awam serta kontroversi dalam pasaran saham. 

 

Fenomena ini merupakan isu yang bukan sahaja sensitif, tetapi juga memberi kesan yang mendalam terhadap integriti dan keadilan pasaran saham. 

 

Insider trading adalah amalan yang tidak bermoral, melibatkan perdagangan saham berdasarkan maklumat sulit yang hanya diketahui oleh individu tertentu seperti pekerja syarikat, ahli lembaga pengarah, atau pemegang saham utama.

 

Kecoh, Peningkatan Mendadak HeiTech Padu

Baru-baru ini, Bursa Malaysia menjadi perhatian utama dengan kemunculan Datuk Farhash Wafa Salvador, yang dikenali dan sememangnya sosok terkenal dalam arena politik. 

 

Beliau muncul sebagai pemegang saham utama baru dalam syarikat teknologi, Heitech Padu Berhad, dengan kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9%.

 

Mana tidaknya, kemunculan beliau telah menyebabkan harga saham HeiTech Padu meroket secara mendadak. 

 

Melalui analisis terperinci yang telah dijalankan terhadap corak pergerakan harga saham pada hari tersebut telah mendedahkan beberapa aspek yang menarik. Pada sesi perdagangan pagi, saham Heitech Padu telah mengalami kenaikan harga sebanyak 13.58%.

 

 

heitech

 

 

Statistik dan Gambaran Keadaan Pasaran Pada Hari Kejadian

Dalam pembukaan sesi perdagangan, harga saham melonjak ke paras yang lebih tinggi berbanding harga penutup sebelumnya, menunjukkan minat pembeli yang meningkat secara tiba-tiba. 

 

Kenaikan harga yang ketara pada permulaan sesi perdagangan ini sering dianggap petunjuk kepada kemungkinan terjadinya insider trading. 

 

Apabila individu yang mempunyai hubungan politik muncul sebagai pemegang saham besar baru, ia menimbulkan syak wasangka terhadap motif sebenar di sebalik peningkatan harga yang mendadak ini.

 

Statistik harga saham Heitech Padu pada hari tersebut juga menunjukkan trend yang menarik. 

 

Harga pembukaan saham adalah RM2.55, lebih tinggi daripada harga penutup sebelumnya pada RM2.43, menunjukkan minat pembeli yang kuat sejak awal sesi perdagangan. 

 

Harga saham kemudiannya mencapai paras tertinggi harian pada RM2.76 sebelum turun sedikit kepada RM2.70 pada jam 11 pagi. 

 

Kenaikan harga yang ketara dan pantas seperti ini sering menjadi isyarat kepada aktiviti insider trading yang mungkin berlaku di pasaran.


Selain itu, corak volume perdagangan juga memainkan peranan penting dalam menentukan keadaan pasaran. Pada hari tersebut, jumlah dagangan saham Heitech Padu mencecah 3.82 juta, melebihi dua kali ganda daripada purata 90 hari. 

 

Volume dagangan yang tinggi seperti ini menimbulkan kecurigaan, terutamanya jika tidak ada berita atau pengumuman penting yang boleh mempengaruhi minat pelabur. 

 

Kewujudan volume dagangan yang tidak wajar ini boleh menjadi petunjuk kepada kemungkinan terdapat aktiviti insider trading yang berlaku di belakang tabir.

 

Insider Trading atau Sekadar Kebetulan?

Sejauh mana keterlibatan individu yang mempunyai kaitan dengan parti politik dalam situasi seperti ini? Keterlibatan politik dalam dunia perniagaan akan sering menjadi isu sensitif. 

 

Dalam kes Heitech Padu, keterlibatan Datuk Farhash Wafa Salvador, yang merupakan bekas ketua PKR Perak, sebagai pemegang saham besar baru, menambah dimensi baru kepada analisis. 

 

 

salvador
                              Datuk Farhash Wafa Salvador

 

 

Kewujudan hubungan politik seperti ini boleh menimbulkan kebimbangan mengenai potensi penyalahgunaan kuasa atau pemerdagangan maklumat sulit untuk keuntungan peribadi atau politik.

 

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingatkan bahawa bukan setiap kenaikan harga saham atau peningkatan volume dagangan adalah tanda-tanda berlakunya insider trading

 

Faktor-faktor lain seperti berita ekonomi, prestasi perniagaan syarikat, atau keadaan pasaran secara umum juga boleh mempengaruhi pergerakan saham. 

 

Oleh itu, adalah penting untuk melakukan analisis menyeluruh dan berhati-hati sebelum membuat sebarang kesimpulan.

 

Di samping itu, statistik juga menunjukkan bahawa saham Heitech Padu telah mengalami kenaikan yang ketara sejak awal tahun, ia telah meningkat sebanyak 206.82%. 

 

Walau bagaimanapun, tiada analisis institusi yang melaporkan mengenai saham ini. 

 

Ia memberi petunjuk tambahan kepada kemungkinan insider trading kerana ketiadaan liputan analisis institusi menyebabkan kurangnya pengawasan dan pendedahan terhadap aktiviti perdagangan yang mencurigakan.

 

 

sc

 

 

Peranan Penguatkuasa dan Badan Selia Pasaran Saham

Dalam menangani isu seperti ini, peranan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) adalah penting. 

 

SC mempunyai tanggungjawab untuk memantau dan menangani kesalahan insider trading di dalam pasaran kewangan negara ini. 

 

Di samping itu, penglibatan dan kerjasama daripada semua pihak, termasuk individu iaitu pedagang mahupun pelabur, peserta organisasi (PO) yang terlibat dengan pasaran saham dan parti politik, juga diperlukan bagi memastikan integriti dan keadilan pasaran dapat dikekalkan.

 

Jangan Mudah Membuat Kesimpulan

Kesimpulannya, dalam menganalisis corak dan statistik saham Heitech Padu, terdapat beberapa tanda-tanda yang boleh menimbulkan syak wasangka terhadap kemungkinan berlakunya insider trading

 

Kemunculan individu yang mempunyai kaitan serta hubungan politik sebagai pemegang saham besar baru telah menambah kerumitan kepada isu tersebut. 

 

Walaupun demikian, adalah penting untuk melakukan penyiasatan menyeluruh dan memberi perhatian kepada faktor-faktor lain sebelum membuat sebarang kesimpulan. 

 

Integriti dan keadilan pasaran harus diutamakan dan ditegakkan bagi memastikan kestabilan serta pertumbuhan pasaran saham yang sihat dan mampan.- DagangNews.com

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags