Sedarkah kita semakin miskin? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 3 May 2023

Sedarkah kita semakin miskin?

 

 

INFLASI telah menjadikan kita lebih miskin. Mahu tidak mahu, ia adalah hakikat yang perlu ditelan walaupun pahit. Kita sebenarnya semakin miskin ekoran kenaikan kos sara hidup atau disebabkan inflasi yang makin menggigit.

 

Inilah realiti! Semakin lama semakin ia menghimpit kebanyakan isi rumah di Malaysia. Seumpama tiada titik noktah, ramai yang mula rasa tertekan dan terbeban.

 

Kenaikan mendadak kos sara hidup telah menyebabkan pendapatan boleh guna berkurangan.

 

Tetapi, tidak semua terkesan oleh hal ini kerana Malaysia mempunyai pengelasan pendapatan isi rumah yang merujuk kepada B40 (berpendapatan rendah), M40 (berpendapatan sederhana)  dan T20 (berpendapatan tinggi). Jelas, yang paling terkesan sudah tentu golongan yang berpendapatan rendah.


 

parafrasa

 


Inflasi Serta Kesan Terhadap Golongan Berpendapatan Rendah

Tekanan inflasi telah menyebabkan kebanyakan isi rumah terpaksa menghabiskan sebahagian besar (60% sehingga 70%) pendapatan boleh guna mereka untuk barangan dan perkhidmatan penting yang merujuk kepada keperluan asas.

 

Berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP), ini merujuk kepada kumpulan restoran dan hotel, makanan dan minuman bukan alkohol serta pengangkutan. Secara amnya, kumpulan yang dinyatakan mengalami kenaikan harga yang lebih besar daripada kumpulan yang lain – barangan dan perkhidmatan bukan keperluan.

 

Ia menunjukkan pengguna memperuntukkan 2/3 daripada gaji mereka untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan asas. Bayangkan golongan berpendapatan rendah yang meraih pendapatan minimum sebanyak RM1,500 sebulan, jika hampir 70%  dihabiskan pada keperluan asas.

 

Ini bermaksud pendapatan boleh guna mereka hanya berbaki RM500 untuk dibelanjakan pada barangan dan perkhidmatan bukan keperluan.

 

Berbeza dengan mereka yang meraih pendapatan lebih tinggi, sebagai contoh RM10,000. Baki pendapatan boleh guna mereka adalah enam kali ganda lebih daripada golongan berpendapatan rendah.

 

Terang lagi bersuluh, inflasi menggigit kuasa beli gaji minimum – golongan berpendapatan rendah. Walaupun pelarasan gaji berlaku, kenaikan inflasi secara mendadak dengan cepat menghakis nilai sebenar gaji minimum.

 

Inilah punca sebenar yang menjadikan kita semakin miskin!


 

parafrasa

 


Ketidakpastian Masa Hadapan

Seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2022, kadar inflasi pada tahun 2022 adalah pada 3.3% dan dijangka pada tahun 2023, kadar inflasi yang diukur melalui IHP adalah diantara 2.8% sehingga 3.8%.

 

Jika jangkaan kadar inflasi pada tahun ini adalah tepat, ia bererti, dalam usaha menurunkan inflasi sepenuhnya ke paras sasaran jangka panjang – menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan – daripada sistem bakal mengambil masa yang lebih lama.

 

Ini kerana, inflasi teras (merujuk kepada kumpulan restoran dan hotel, makanan dan minuman bukan alkohol serta pengangkutan) akan lebih sukar untuk beralih jika dibandingkan dengan inflasi utama yang diukur oleh IHP.

 

Dalam memastikan inflasi terkawal, ia sudah semestinya tidak akan berlaku tanpa rasa sakit! Kesakitan yang perlu dibayar melalui dasar pengetatan monetari yang merujuk kepada kenaikan kadar faedah melalui perubahan kadar dasar semalaman (OPR).

 

Debaran OPR!

Debaran OPR setiap kali akan terasa apabila menunggu keputusan BNM sama ada ia bakal menaikkan atau mengekalkan OPR dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

 

Selepas mengekalkan OPR pada kadar 2.75%, kemungkinan sekali lagi, BNM bakal mengekalkan kadar OPR pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang bakal diadakan pada 2-3 Mei (setakat artikel ditulis pada 1 Mei).

 

 

parafrasa

 


Kemungkinan kadar OPR dikembalikan pada kadar sebelum pandemik membadai iaitu 3%  mungkin dilihat mustahil disebabkan tekanan inflasi teras yang boleh dikatakan ‘terkawal’, prospek pertumbuhan ekonomi yang masih positif serta usaha BNM dalam mengekalkan kestabilan kewangan domestik.

 

Majoriti penganalisis ekonomi juga berpendapat bahawa kemungkinan besar BNM tidak akan menaikkan kadar OPR selepas menarik ‘brek tangan’ untuk mengekalkan kadar OPR sejak Januari walaupun data menunjukkan BNM masih berada di belakang keluk inflasi.

 

Jika BNM berkeputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari, risiko berlaku kemelesetan ringan dilihat bakal berlaku pada akhir tahun ini dan sekiranya kenaikan OPR berterusan berlaku tahun ini, bermakna ia bakal mencetuskan kemelesetan yang lebih buruk dan menyeluruh.

 

Penyelesaian Terbaik?

Katakanlah jangkaan BNM tepat berdasarkan laporan tahunan 2022, 2023 bakal menjadi tahun yang lebih mencabar! Kenaikan kos sara hidup secara mendadak sudah pasti tidak dapat dibendung.

 

Sebagai rakyat yang terkesan dengan isu ini, sekiranya kita terpaksa berhempas pulas pada tahun lepas dalam memenuhi keperluan hidup, dinasihatkan pada tahun ini, rancanglah perbelanjaan dengan bijak.

 

Berbelanja mengikut kemampuan. Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Tidak perlu untuk kita menambah beban sedia ada – tidak perlu menambah hutang sedia ada, menambah lebih banyak simpanan, merangka pelan untuk mendapatkan pendapatan tambahan serta yang paling penting adalah untuk memastikan kita dapat bertahan dalam keadaan ekonomi semasa.

 

Apa pun terjadi, andai keadaan ekonomi menjadi semakin buruk dan teruk, matlamat utama kita adalah untuk terus bertahan. Walaupun ia menyakitkan, kita tidak mempunyai pilihan! Kita perlu membina ketahanan ekonomi kendiri di kala kemelesetan ekonomi berlaku dan bangkit kembali apabila ekonomi semakin pulih serta mula mengumpul semula kekayaan (simpanan) semasa ekonomi berkembang.


 

parafrasa

 


Tiada siapa yang mampu meramal dengan tepat apa yang bakal terjadi pada tahun ini. Adakah seperti mana jangkaan Bank Dunia yang meramalkan hampir kebanyakan negara di seluruh dunia bakal dilanda badai kemelesetan ekonomi. Andai jangkaan ini tepat, Malaysia pun tidak akan terkecuali.

 

Apakah penyelesaian terbaik kerajaan untuk menangani cabaran ekonomi ketika ini? Adakah dengan menaikkan gaji serta upah merupakan jalan terbaik? Atau meletakkan harga siling bagi barangan dan perkhidmatan yang menjadi keperluan rakyat?

 

Apa pun penyelesaian, jika kita masih berada dalam ketirisan ekonomi, tidak telus, penguatkuasaan acuh tak acuh dengan dasar yang flip-flop dan pelbagai perkara yang berkaitan (turut menyumbang terhadap kenaikan kos sara hidup).

 

Sampai kiamat isu kenaikan kos sara hidup ini tidak akan mempunyai titik noktah! – DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Portfolio Tags