Skor Z: Adakah Pharmaniaga bakal muflis? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 12 April 2023

Skor Z: Adakah Pharmaniaga bakal muflis?

 


 

SALAH satu cara paling mudah untuk memeriksa kedudukan kewangan syarikat pegangan awam adalah dengan menganalisisnya menggunakan “skor”.

 

Ada banyak model yang tersedia boleh digunakan untuk memperoleh nilai skor, ini termasuk skor Piotroski F, skor Beneish M dan Skor Altman Z.

 

Skor Altman Z menjadi pilihan dikalangan ahli akademik, terutamanya yang banyak melakukan kajian dalam bidang ramalan kebarangkalian untuk syarikat pegangan awam bakal muflis kerana ia merupakan model yang paling boleh dipercayai berdasarkan ketepatan nilai skor.

 

Skor Z

Skor Altman Z atau lebih senang dipanggil sebagai Skor Z mungkin kedengaran ganjil dalam kalangan pengamal industri, penganalisis syarikat pegangan awam mahupun pelabur, tetapi model ini paling popular, menjadi pilihan untuk menilai kedudukan kewangan serta digunakan untuk meramalkan kebarangkalian syarikat pegangan awam akan muflis dalam tempoh masa dua tahun akan datang.

 

Model ini telah dibangunkan oleh Edward I. Altman, seorang Profesor universiti di Amerika Syarikat pada tahun 1968. Beliau pertama kali memperkenalkan model ini melalui penerbitan kertas kerjanya yang bertajuk Predicting Financial Distress of Companies: Revisiting The Z-score And Zeta Models. Pertama kali diuji, model ini mempunyai ketepatan sekitar 80% hingga 90%.

Edward I. Altman

 


 

Formula untuk Skor Z yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1968 adalah seperti berikut:

Skor Z = 6.56X1 + 3.26X2 + 6.72X3 + 1.05X4

 

Pemboleh ubah X memegang nilai daripada:

X1 = Modal Kerja /Jumlah Aset

X2 = Pendapatan Tertahan /Jumlah Aset

X3 = Pendapatan Sebelum Faedah dan Cukai /Jumlah Aset

X4 = Nilai Buku Ekuiti /Jumlah Liabiliti

 

Daripada nilai pemboleh ubah X, model ini sebenarnya mempertimbangkan risiko, keuntungan, kecairan aset serta nisbah kewangan yang merujuk kepada nisbah aktiviti perniagaan untuk mendapatkan nilai skor keseluruhan.

 

Selama bertahun-tahun sejak pengenalannya, model ini telah bertambah baik, digunakan secara meluas dikalangan penganalisis serta pelabur dan menjadi salah satu model yang boleh dipercayai untuk meramal kebarangkalian muflis syarikat pegangan awam.

 

  • Dari ketepatan sekitar 80% sehingga 90%, setelah menambah jumlah syarikat dalam kajiannya :
    86 syarikat bermasalah dari tahun 1969 hingga 1975,
  • 110 syarikat dari tahun 1976 hingga 1995 dan
  • 120 syarikat dari tahun 1996 hingga 1999  
  • ketepatan Skor Z telah meningkat di antara 82% hingga 94%. Ini adalah ketepatan yang tinggi dapat dicapai jika dibandingkan dengan model lain yang ada.

 

Kemas kini Model – Model Sejagat

Kemudian, pada tahun 2012, beliau telah mengemaskini model dengan memperkenalkan Skor Altman Z Plus yang tidak terhad untuk digunakan menilai syarikat pegangan awam tetapi juga boleh digunakan untuk syarikat swasta, syarikat pembuatan dan bukan pembuatan sama ada syarikat yang beroperasi di Amerika Syarikat mahupun di luar Amerika Syarikat.

 

Kemas kini formula dalam model Skor Z Plus adalah seperti berikut:

Skor Z’ = 1.2A + 1.4B + 3.3C + 0.6D + 1.0E

 

Disini, pemboleh ubah A, B, C, D dan E memegang nilai daripada:

A = Modal Kerja /Jumlah Aset

B = Pendapatan Tertahan /Jumlah Aset

C = Pendapatan Sebelum Faedah Dan Cukai /Jumlah Aset

D = Nilai Pasaran Ekuiti /Jumlah Liabiliti

E = Hasil /Jumlah Aset

 

Nilai yang diperoleh daripada model ini adalah penting kerana, kebiasaannya semakin rendah nilai Skor Z, semakin tinggi kebarangkalian syarikat untuk muflis dalam tempoh terdekat, iaitu lebih tepat dalam tempoh masa dua tahun.

 

Jika nilai Skor Z yang diperoleh adalah lebih rendah daripada 1.80, ini bermaksud bahawa syarikat itu berhadapan dengan masalah kewangan dan secara langsung memberi amaran, kebarangkalian yang tinggi untuk muflis dalam masa dua tahun.

 

Sebaliknya, jika perolehan skor adalah lebih dari 3.0, ini bermakna syarikat itu berada di dalam zon selamat dan tidak berhadapan dengan masalah kewangan.

 

Skor di antara 1.80 dan 3.0 pula menunjukkan bahawa syarikat itu berada di kawasan “kelabu” dan mempunyai kebarangkalian dengan peluang sederhana untuk muflis.

 

 

parafrasa

 

 

Bagaimana Pelabur Mendapat Manfaat Daripada Model Ini

Pelabur boleh menggunakan Skor Z untuk membantu dalam membuat keputusan pelaburan sebagai analisis tambahan kepada analisis asas.

 

Sama ada untuk membeli atau menjual saham syarikat, semuanya bergantung kepada perolehan skor terhadap syarikat yang dinilai.

 

Sekiranya syarikat menunjukkan Skor Z lebih hampir dengan 3.0, pelabur boleh  mempertimbangkan untuk membeli saham syarikat tersebut.

 

Ini kerana skor 3.0 menunjukkan syarikat tersebut berada di zon selamat serta mempunyai risiko yang rendah untuk muflis dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Walau bagaimanapun, jika syarikat tersebut memperoleh Skor Z lebih hampir kepada 1.80, pelabur boleh mempertimbangkan untuk menjual saham syarikat tersebut! Ini bagi  mengelakkan kerugian pada masa hadapan kerana skor tersebut menunjukkan kebarangkalian yang tinggi untuk syarikat tersebut muflis dalam masa dua tahun.

 

Kedudukan Kewangan dan Kebarangkalian Muflis Pharmaniaga Menggunakan Skor Z

Pada bulan Februari lepas, salah satu syarikat farmaseutikal iaitu Pharmaniaga Berhad telah diletakkan bawah kategori PN17.

 

 

parafrasa

 

 

Menurut Bursa Malaysia, syarikat yang diletakkan di bawah kategori PN17 merupakan syarikat pegangan awam yang berhadapan dengan masalah kewangan.

 

Syarikat farmaseutikal itu telah melaporkan dan mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM607.32 juta pada tahun kewangan berakhir Disember 2022 berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta pada tahun kewangan berakhir Disember 2021.

 

Antara punca terbesar kerugian syarikat itu adalah akibat permintaan perlahan vaksin COVID-19 berikutan negara telah beralih ke fasa endemik.

 

Rentetan kerugian bersih besar ini, Pharmaniaga telah diletakkan bawah kategori PN17.

 

Jadi, untuk menilai kedudukan sebenar Pharmaniaga, Skor Z boleh digunakan untuk menilai kedudukan kewangan serta meramal kebarangkalian adakah syarikat ini bakal muflis dalam tempoh masa dua tahun akan datang.

 

Tetapi malangnya pengiraan tidak dapat dilakukan kerana Pharmaniaga belum menerbitkan laporan kewangan lengkap bagi tahun 2022.

 

Oleh itu, ramalan kebarangkalian untuk Pharmaniaga muflis mengunakan Skor Z hanya dapat dilakukan sebaik Laporan Kewangan bagi tahun 2022 tersedia pada laman web syarikat.

 

Model dan Ketepatan Ramalan

Seperti analisis asas dan analisis teknikal, model ramalan ini juga tidak terlepas dari mendapat kritikan.

 

 

sinovac

 

 

Ini adalah perkara biasa yang berlaku kerana tiada model yang telah diformulasikan dan tersedia dapat mencapai ketepatan ramalan yang tepat iaitu 99.99% bahkan 100%.

 

Tetapi, dengan kewujudan model ini yang hampir mencapai usia lebih daripada 50 tahun – merujuk kepada Skor Z – ini telah terbukti, bahawa model ini telah berjaya meramalkan apa yang dikehendakinya.

Perdebatan dan kritikan jika diteliti amatlah menarik untuk dibahaskan kerana ia akan menjadi isu yang berterusan selagi dunia kewangan tidak mempunyai model yang sempurna dalam hal ini.

 

Tetapi, dengan kewujudan model seperti ini, sudah tentu, sekurang-kurangnya, ia dapat membantu penganalis syarikat pegangan awam, pelabur serta pembuat dasar  untuk menilai dan meramal kebarangkalian yang syarikat akan muflis pada masa hadapan.

 

Seterusnya membantu dalam membuat keputusan yang lebih baik.

 

Jika kritikan mengenai model tersedia seperti ini masih berterusan – tidak boleh dipercayai, tidak tepat dan sebagainya – jadi, model atau kaedah apa lagi yang boleh digunakan untuk hal ini? - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags