Eksport Malaysia melonjak 48.2% kepada RM141.33 bilion pada Ogos 2022 | DagangNews Skip to main content

Eksport Malaysia melonjak 48.2% kepada RM141.33 bilion pada Ogos 2022

KUALA LUMPUR 20 Sept - Eksport Malaysia pada Ogos 2022 meningkat sebanyak 48.2% kepada RM141.33 bilion, pertumbuhan dua digit untuk 13 bulan berturut-turut.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kadar import negara juga melonjak 67.6% kepada RM124.41 bilion dan lebihan dagangan berjumlah RM16.92 bilion. 

 

Perdagangan meningkat 56.7% kepada RM265.74 bilion berbanding Ogos 2021, pertumbuhan dua digit yang ke-19 bulan berturut-turut.

 

“Pertumbuhan eksport telah disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, gas asli cecair (LNG) serta barangan optik dan saintifik.

 

“Eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit. 

 

“Nilai eksport bulanan tertinggi telah dicatatkan ke Jepun. Perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, masing-masing berkembang sebanyak 5.2%, 5.4%, 5.0% dan 8.6%,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, perdagangan meningkat 33.1% kepada RM1.873 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

“Eksport telah melepasi RM1 trilion dalam tempoh lapan bulan, jangka masa tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai nilai ini, berkembang 30.3% kepada RM1.014 trilion. 

 

“Import bertambah 36.7% kepada RM858.83 bilion dan lebihan dagangan naik 3.7% kepada RM155.57 bilion manakala perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini,” katanya.

 

Menurut MITI, eksport barangan perkilangan pada Ogos 2022, yang mewakili 84.5% daripada jumlah eksport naik 47.7% tahun ke tahun kepada RM119.48 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-13 bulan berturut-turut. 

 

Katanya, pertumbuhan ini telah disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan, dan setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM1 bilion.

 

“Eksport hasil galian (7.6% syer) melonjak 59.1% tahun ke tahun kepada RM10.77 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-18 bulan berturut-turut disumbangkan oleh pertambahan eksport LNG dan petroleum mentah. 

 

“Eksport keluaran pertanian (7.4% syer) meningkat 42.6 peratus  kepada RM10.47 bilion berbanding Ogos 2021, pertumbuhan dua digit yang ke-17 bulan berturut-turut.

 

“Kenaikan ini disokong oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya. - DagangNews.com