Eksport minyak sawit Malaysia ke India dijangka terus lemah | DagangNews Skip to main content

Eksport minyak sawit Malaysia ke India dijangka terus lemah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Kadar eksport minyak sawit Malaysia ke India dijangka menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan ekoran pelaksanaan ‘lockdown’ di negara berkenaan, menurut ramalan MIDF Research. 

 

Malah, kadar eksport pada Mei 2021 yang menyusut 6.0% kepada 1.27 juta setiap tan metrik juga disebabkan oleh pertumbuhan permintaan yang perlahan dari India, selain jumlah import yang lebih rendah dari Pakistan dan Amerika Syarikat (AS).

 

“Kami difahamkan bahawa angka eksport India telah menunjukkan peningkatan margin, (namun) hanya 6.2% disebabkan oleh lonjakan kes COVID-19 (di negara itu),” jelas MIDF dalam satu nota kajian hari ini. 

 

Di sebalik penyusutan jumlah import dari ketiga-tiga negara berkenaan, China bagaimanapun menonjolkan permintaan yang meningkat dengan ketara, iaitu menokok 30% bulan ke bulan kepada 144.5 juta setiap tan metrik, tambah MIDF. 

 

Jelas firma penyelidikan itu lagi, ini susulan China baru-baru ini telah meluluskan satu standard baharu bagi minyak sawit premium. 

 

Sebagai rekod, China mengumumkan pelaksanaan Standard Minyak Sawit Merah China pada 1 Mac lalu yang membenarkan eksport minyak sawit merah dari Malaysia. 

 

Baca : Malaysia kini boleh eksport minyak sawit merah ke China

 

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan jumlah permintaan eksport akan lebih tinggi dipacu oleh pemulihan aktiviti ekonomi di peringkat global. 

 

“Namun, kami berpendapat bahawa permintaan eksport mungkin berdepan cabaran seperti perbezaan minyak sawit minyak gas (POGO) yang kian melebar,” tambah firma penyelidikan itu.

 

MIDF mengekalkan penarafan ‘positif’ ke atas sektor perladangan dengan unjuran purata harga minyak sawit mentah (MSM) bagi tahun ini pada kadar RM3,000 setiap tan metrik.

 

Malaysia menyaksikan inventori minyak sawit bagi bulan lalu meningkat 1.5% bulan ke bulan kepada 1.57 juta setiap tan metrik, sekali gus meneruskan lonjakan buat bulan yang ketiga. 

 

Bagaimanapun, stok produk tersebut menyusut 22.9% bagi perbandingan tahun ke tahun.

 

Bagi CGS-CIMB Research, stok minyak sawit yang lebih lemah daripada jangkaannya pada Mei 2021 disebabkan oleh penggunaan domestik yang lebih tinggi. 

 

“Kami menjangkakan terdapat aktiviti penyimpanan di pasaran domestik menjelang ‘lockdown’ selama 14 hari bermula 1 Jun. 

 

“Paras stok 4% lebih rendah berbanding konsensus Bloomberg dan undian Reuters,” tambah CGS-CIMB.

 

CGS-CIMB mengunjurkan stok minyak sawit akan meningkat 7% bulan ke bulan kepada 1.68 juta tan menjelang penghujung bulan ini, dengan output dan eksport dijangka masing-masing meningkat sebanyak 5% dan 8%. 

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan harga MSM akan terus mengukuh dalam jajaran RM3,500 hingga RM4,200 setiap tan bagi bulan ini walaupun inventori minyak boleh dimakan seluruh dunia lemah. - DagangNews.com