Elak jurang pembangunan antara daerah - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Elak jurang pembangunan antara daerah - Mustapa

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Kerajaan berharap penilaian terhadap sesuatu kawasan dapat dilaksanakan sekali gus mengelakkan berlakunya jurang pembangunan antara daerah. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelbagai kajian di peringkat daerah dapat dibuat dengan adanya My Local Stats Malaysia 2019 bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

Selain itu, katanya, penghasilan indeks di peringkat daerah pentadbiran juga dapat dilaksanakan berdasarkan statistik yang tersedia.

"Statistik terperinci hingga peringkat daerah amat diperlukan bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan dan memastikan agihan sumber yang berkesan.

"Penerbitan ini akan menjadi sumber rujukan dan asas penting dalam menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat dalam merealisasikan hasrat kerajaan," katanya dalam majlis pelancaran My Local Stats Malaysia 2019 hari ini. 

Penerbitan My Local Stats ini memuatkan statistik sosioekonomi utama dan pertama kali diterbitkan sebanyak 143 penerbitan mengikut daerah pentadbiran dan tiga penerbitan Wilayah Persekutuan dan 1 Perlis.

Ia diterbitkan sempena dengan Hari Statistik Negara 2020 yang akan disambut pada 20 Oktober 2020 bersama Hari Statistik Sedunia. 

My Local Stats mengandungi 20 bidang statistik sosioekonomi antaranya Penduduk; Perumahan; Guna Tenaga; Pendapatan & Perbelanjaan Isi Rumah; Pendidikan; Kesihatan; Perkhidmatan Kebajikan; Keselamatan Awam; Perhubungan dan Rekreasi; Internet dan Media Sosial; dan Kemudahan Asas.

Menurut Mustapa, statistik di peringkat daerah akan menjadi input kepada agensi di negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk merancang, membuat keputusan berdasarkan bukti serta pemantauan terutama bagi agenda tempatan. 

Katanya, statistik ini juga diperlukan dalam membuat pemantauan terhadap pencapaian Agenda Mapan 2030 yang berteraskan No One Left Behind

Antara kandungan penemuan utama bidang pendidikan mendapati statistik sekolah kerajaan pada 2019 menunjukkan terdapat 7,773 sekolah rendah dan 2,438 sekolah menengah untuk kemudahan pembelajaran 2.7 juta pelajar sekolah rendah dan 2 juta pelajar sekolah menengah. 

"Di peringkat daerah pula, didapati Johor Bahru mencatatkan jumlah guru paling ramai iaitu 9,778 (sekolah rendah) dan 7,688 (sekolah menengah) dan bilangan sekolah paling banyak iaitu 180 (sekolah rendah) dan 87 (sekolah menengah)," katanya. - DagangNews.com