Elektrik dibekalkan di kawasan terjejas banjir hanya setelah dijamin pendawaian selamat - TNB | DagangNews Skip to main content

Elektrik dibekalkan di kawasan terjejas banjir hanya setelah dijamin pendawaian selamat - TNB

 

KUALA LUMPUR 22 Dis – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan kepada mangsa banjir yang kembali ke kediaman selepas air surut supaya memeriksa pendawaian di dalam premis masing-masing dengan mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST).

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bekalan tidak boleh disambung begitu sahaja kerana penduduk perlu memastikan keadaan rumah mereka bersedia menerima bekalan elektrik.

 

Menurutnya, Pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami air mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

 

“Fius atau pemutus litar perlu dibersihkan dari kekotoran dan diganti dengan yang baru jika perlu. Manakala soket alir keluar (outlet) yang telah ditenggelami air perlu berada dalam keadaan kering dan bersih agar selamat digunakan,” kata Takiyuddin.

 

Lawatan Takiyuddin ke Taman Sri Muda, Shah Alam semalam berjalan lancar seperti dirancang untuk meninjau kawasan dilanda banjir dan kerja-kerja TNB menyalurkan tenaga melalui janakuasa bergerak bagi mengepam air keluar daripada kawasan kediaman, memulihkan infrastruktur bekalan yang rosak di samping menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terjejas.


 

TNB
Takiyuddin Hassan (dua, kiri) ketika lawatan ke kawasan bencana banjir di Taman Seri Muda, Seksyen 25 Shah Alam pada 21 Disember 2021. 

 


Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, sebanyak tambahan RM4 juta daripada peruntukan RM44 juta itu adalah bantuan kewangan yang akan diagihkan melalui Tabung Bencana GLC/GLIC Disaster Response Network (GDRN) dan pengagihan oleh Tabung Warga TNB Prihatin.

 

Beliau yang meninjau keadaan di Hulu Langat, turut mengingatkan orang ramai bahawa bekalan elektrik hanya dapat disambung semula apabila pepasangan TNB termasuk pencawang elektrik dan meter di premis pengguna telah kering dan dipastikan selamat.

 

Sehingga hari ini, 419 daripada sejumlah 853 pencawang elektrik yang dihenti tugas sementara di Kelantan, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur telah dapat dipulihkan berikutan air surut di beberapa daerah di negeri-negeri berkenaan.

 

“Bagaimanapun ada keadaan yang mana banjir telah surut di premis pengguna, namun pencawang elektrik di kawasan itu masih ditenggelami air dan masih dihenti tugas. Keadaan ini tidak membenarkan TNB untuk menyambung semula bekalan ke kawasan tersebut,” kata Baharin.

 

Jelas beliau, faktor keselamatan awam sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam usaha pemulihan bekalan.

 

“Bekalan elektrik di Pusat Penempatan Semula mangsa banjir berada dalam keadaan baik.


 

TNB
Datuk Ir. Baharin Din (kiri) melawat lokasi banjir di Hulu Langat, Selangor bagi meninjau kerja-kerja TNB memulihkan infrastruktur bekalan yang turut terkesan akibat banjir pada 21 Disember 2021.

 


Sebanyak 232 set janakuasa berada dalam keadaan tunggu sedia untuk digerakkan ke kawasan yang terjejas akibat banjir sekiranya bekalan tidak dapat diberikan melalui sistem grid,” katanya lagi.

 

Menurut beliau, TNB menggerakkan lebih 2,000 warga kerjanya di seluruh Semenanjung dan menyediakan peruntukan kecemasan RM44 juta dalam usaha memulihkan semula bekalan dan membantu mangsa banjir lebih-lebih lagi dalam proses pemulihan aset yang terjejas akibat bencana tersebut.

 

Selain membantu mangsa banjir termasuk dari segi keperluan asas dan penyaluran bekalan elektrik menggunakan set janakuasa bergerak termasuk di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tindakan utama lain ialah memulihkan pencawang dan aset lain dengan mengujinya untuk memastikan ia selamat untuk menyalurkan bekalan.

 

Takiyuddin menghargai semua tindakan segera TNB termasuk menyediakan sokongan tenaga kerja serta logistik seperti bot dan kenderaan yang disifatkannya sebagai pengorbanan dan sumbangan kepada negara.

 

Beliau dimaklumkan warga kerja teknikal TNB termasuk pasukan kerja tambahan dari luar Lembah Klang dan mereka yang menganggotai 70 Rejimen Pakar Janaelektrik Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD) sedang bertungkus lumus memulihkan infrastruktur bekalan termasuk membaik pulih kabel rosak, tiang tumbang disebabkan mendapan tanah atau dihanyutkan arus.

 

Malah, RAJD telah digerakkan lebih awal sebaik banjir melanda untuk bersama-sama agensi-agensi penyelamat memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat, khususnya ke pusat-pusat pemindahan sementara.

 

Sekiranya pengguna ternampak kejanggalan atau mempunyai keraguan berkaitan pepasangan TNB yang terkesan akibat banjir, sila hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline bagi tindakan lanjut. – DagangNews.com