Elevate perkukuh peluang syarikat pasaran persendirian | DagangNews Skip to main content

Elevate perkukuh peluang syarikat pasaran persendirian

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. -  Pasaran antarabangsa tidak dinafikan membuka ‘pintu’ kepada banyak peluang untuk syarikat-syarikat di Malaysia memperluaskan perniagaan mereka.

Pasaran persendirian, merangkumi syarikat peringkat pertengahan (mid-tier) yang terbukti berkembang dengan pesat sepatutnya mengambil kesempatan berkenaan. 

Bagaimanapun, Pengurus Besar Capital Markets Malaysia (CMM), Zalina Shamsudin mewakili pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada pihak berkepentingan bagaimana pasaran itu dapat ditambah baik termasuk membawa pemain industri ke peringkat antarabangsa.

 

zalina
                                                                                                     Zalina Shamsudin

 

Jelasnya, terdapat dua isu yang menyekat syarikat peringkat pertengahan untuk berkembang ke pasaran luar iaitu mereka tidak mempunyai modal pasaran yang mencukupi selain tidak tahu bagaimana untuk ‘menterjermahkan’ visi mereka kepada pelabur yang berpotensi.

Melihatkan keperluan tersebut, beliau percaya program Elevate yang dilancarkan pada Julai lalu mampu bertindak sebagai sebuah platform untuk syarikat-syarikat berkenaan menambah baik cara perniagaan mereka seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.

 

elevate

 

“Elevate membantu pengasas syarikat langkah untuk berhubung dengan pelabur mengenai visi syarikat dan kepada siapa mereka perlu berjumpa.

“Kami menyediakan platform untuk mereka memperluas rangkaian serta program mentor di mana syarikat-syarikat boleh menimba ilmu berdasarkan pengalaman pemain industri lain,” katanya. 

Elevate bertujuan membantu syarikat-syarikat peringkat pertengahan untuk mengumpul modal dan menambah baik tahap professional perniagaan mereka dalam menerusi tempoh latihan selama 12 bulan. 

Bakal melancarkan kohort pertama pada November depan, CMM telah menerima dana untuk melatih sehingga 300 syarikat dalam tempoh tiga tahun bagi program tersebut. 

Terdapat tiga kelompok yang diberi tumpuan iaitu pengasas syarikat yang mempunyai anak atau generasinya terlibat dalam perniagaan berkenaan, berharat untuk merancang semula model perniagaan.

 

elevate

 

Kedua, pengasas syarikat yang mempunyai strategi pertumbuhan tetapi tidak tahu bagaimana untuk mencari pembiayaan dan ketiga, syarikat yang berdepan cabaran untuk memperoleh pelaburan modal.

Segmen pertengahan merujuk kepada syarikat yang mempunyai saiz pendapatan tahunan melebihi RM20 juta. Syarikat-syarikat ini mewakili sektor ekonomi yang sudah berjaya di pasaran domestik dan berpotensi menjadi peneraju pasaran sama ada di peringkat serantau atau antarabangsa.

“Program ini diwujudkan untuk membantu mempermudah pertumbuhan mereka dengan mempersiapkan mereka untuk mengumpul dana melalui pasaran modal,” tambah Zalina. - DagangNews.com