EnterSarawak tidak lagi diwajibkan: Terima kasih dengar suara rakyat | DagangNews Skip to main content

EnterSarawak tidak lagi diwajibkan: Terima kasih dengar suara rakyat

Merrepak oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

AKHIRNYA, berita baik yang dinanti-nanti oleh anak Sarawak di perantauan tiba menerusi pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri atau SDMC semalam, bahawa tidak lagi wajib memohon menerusi EnterSarawak berkuatkuasa 18 Oktober 2021.

 

‘’Lega! Alhamdulillah! Syukur! Terima kasih!...’’ antara reaksi anak-anak Sarawak di perantauan yang sepanjang perintah kawalan pergerakan pandemik COVID-19 tahun lalu, tidak dapat pulang beraya, tidak dapat meraikan Gawai apalagi Krismas.

 

EnterSarawak adalah syarat yang mesti dilalui oleh semua baik anak Sarawak atau orang luar iaitu memohon dengan mematuhi syarat-syarat permohonan termasuklah bukti status ‘lengkap vaksinasi’ serta keputusan ujian COVID-19 yang ‘negatif’ dalam tempoh 3 hari sebelum memasuki Sarawak.

 

Langkah Kerajaan Negeri Sarawak tidak lagi mewajibkan EnterSarawak berkuatkuasa 18 Oktober 2021 dibuat setelah desakan yang nyaring dan bergema dari anak Sarawak di Semenanjung dan Sabah –  hingga ke puncak Gunung Santubong sebelum melantun ke Marudi menerusi Kuala Baram, kemudian bersahutan semula gelombangnya sampai ke Wisma Bapa Malaysia.

 

Di Tingkat 20 Wisma Bapa Malaysia inilah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membuat keputusan eksekutif membenarkan anak-anak Sarawak di perantauan untuk kembali ke tanah ibu pertiwi tanpa mengisi EnterSarawak lagi.

 

BACA TAWARAN DISKAUN TIKET BILUN: Airasia tawar diskaun 30% dari KL ke Kuching, Miri, Sibu, Bintulu sehingga 31 Mei 2022

 

Bagaimanapun, menurut siaran akhbar terbaharu SDMC bertarikh 17 Oktober 2021, kelonggaran itu hanya untuk anak kelahiran Sarawak dan penjawat awam serta swasta jika bukan anak Sarawak sahaja.

 

Syarat yang ada untuk kita yang sudah lengkap divaksinasi ialah mengisi Borang Perisytiharan e-Kesihatan (eHDF), lengkap divaksinasi yang tertera di MySejahtera. Lihat gambar berikut:

 

merrepak
Pengumuman SDMC terbaharu pada 17 Oktober 2021 menyatakan tidak wajib lagi memohon menerusi EnterSarawak hanya untuk anak Sarawak tetapi masih wajib jika bukan lahir di Sarawak.

 

SEMINGGU YANG PANAS

Sebelum ini, suara rintihan berselang-seli dengan amarah menjadi panas kerana EnterSarawak terus dikuatkuasakan walaupun kerajaan Persekutuan mengumumkan kelonggaran pada 11 Oktober lalu iaitu membenarkan rentas negeri untuk rakyat yang sudah menerima suntikan penuh vaksin.

 

Malah pada 13 Oktober lalu, SDMC masih mempertahankan keputusannya mengekalkan EnterSarawak kerana bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan kes import ke negeri ini.

 

"JPBN ambil maklum ada dalam kalangan rakyat yang tidak sabar ingin pulang berjumpa dengan keluarga tersayang di Sarawak dan mengharapkan kelonggaran penuh diberikan tanpa sebarang permohonan kemasukan.

 

Kenyataan SDMC itu tidak langsung meredakan keadaan, malah kemarahan semakin meninggi. Ini ditambah lagi dengan kejadian aneh pada 15 Oktober bila Sarawak Tourism Board dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah melancarkan kempen melancong `Jom ke Sarawak’. Tentu sekali beliau dilontar dengan soalan kewajaran kempen ketika EnterSarawak menjauhkan pelawat untuk datang.

 

 

stb
Kempen `Jom ke Sarawak' dilancarkan di platform Shopee pada 15 Oktober 2021, sehari sebelum EnterSarawak diumum tidak diwajibkan berkuatkuasa 18 Oktober 2021.

 

 

Namun Alhamdulillah, keesokan harinya kerajaan Sarawak membuat keputusan yang ditunggu-tunggu ramai anak Sarawak di perantauan.

 

Berikut adalah kebaikan keputusan kerajaan negeri tidak mewajibkan EnterSarawak kecuali dari luar negara:

 

  1. Tidak bertentangan dengan ketetapan kerajaan Persekutuan dan Majlis Pemulihan Negara yang memberi kelonggaran pergerakan kepada semua yang sudah menerima dua suntikan vaksin COVID-19.
     
  2. Usaha pemulihan ekonomi negeri Sarawak akan berjalan seiring dengan langkah kerajaan Pusat memulihkan ekonomi negara, terutama sektor pelancongan dan mengalu-alukan pelabur asing.
     
  3. Bertentangan dengan pendirian SDMC pada 13 Oktober 2021, perkara yang dituntut oleh anak Sarawak di perantauan bukan memansuhkan sama sekali syarat masuk ke Sarawak. Semua akur dan faham keperluan ujian COVID-19. Tetapi peraturan yang ada hendaklah bersifat `memudahkan’ bukan menyusahkan.
     
  4. Yang menjadi punca kekecewaan sebenar-benar anak Sarawak ialah tahap kelajuan SDMC memberi kelulusan, berdasarkan syarat minimum 3 hari sah laku keputusan ujian COVID-19 dibuat oleh pemohon. Ambil ujian awal dari 3 hari sebelum tarikh berlepas, tidak akan diterima.
     
  5. Dan ini berkait rapat dengan tiket kapal terbang yang jika dibeli 3 hari sebelum hendak terbang, nescaya anak Sarawak berdepan dengan harga menyamai Kuala Lumpur ke London.
     
  6. Harga tiket masih pada paras mahal walaupun difahamkan sekarang bilangan penerbangan perlahan-lahan telah ditambah dan setakat 15 Oktober, sebanyak 89 penerbangan keluar masuk Sarawak dicatatkan. Ini diharap membolehkan syarikat penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines menurunkan harga ke paras sebelum pandemik iaitu purata RM150 seorang sehala.
     
  7. Jadi apa yang berlaku ialah dalam tempoh 3 hari, anak Sarawak terpaksa menanggung kos tiket mahal berganda, apalagi jika pulang dengan anak bini. Rintihan yang diluahkan dipapar di media sosial, ada yang hanya tinggal beberapa minit pintu pesawat hendak ditutup terpaksa menelefon SDMC, itu pun jika ada yang menjawab, supaya kelulusan diberikan.
     
  8. Kelewatan ini mungkin berkait dengan peningkatan bilangan besar permohonan anak Sarawak untuk pulang. Apakah ia disebabkan tidak cukup kakitangan SDMC untuk menapis semua permohonan beribu-ribu anak Sarawak yang mahu pulang seminggu ini?
     
  9. Ini perkara pokok kekecewaan anak Sarawak. Bukan minta dihapuskan syarat ujian COVID-19 sama sekali. Di Semenanjung ini syarat ujian COVID-19 sememangnya diamalkan. Begitu juga di Sabah. Semua patuh dan akur, lainlah puak anti-vaksin yang sekarang menagih simpati dengan melaungkan `diskriminasi’.
     
  10. Belajar dari pengalaman Langkawi yang dijadikan perintis gelembung pelancongan. Hanya yang lengkap divaksinasi dibenarkan naik pesawat dan amalan ini diterima baik. Silalah hantar pasukan penyelidik negeri ke Langkawi untuk meneliti cara yang dibuat di Langkawi. Duduklah di Four Season sepanjang sesi lawatan sambil belajar.
     
  11. Satu lagi hujah SDMC bahawa syarat ujian COVID-19 ini penting untuk menghalang wabak ini daripada merebak di Sarawak. Bab ini, tiada siapa akan berani pertikaikan. Tiada siapa mahu dipersalahkan sebagai punca pembawa virus. Sesal seumur hidup nanti.
    Tetapi semua tahu kes COVID-19 pada satu ketika bilangan kes positif di Sarawak `berlawan-lawan’ dengan Selangor pada suatu ketika untuk menduduki podium. Ini berlaku ketika EnterSarawak dikuatkuasakan.

     
  12. Ramai yang tertanya-tanya dan terasa hendak ungkit fakta iaitu berkesankah kaedah EnterSarawak tetapi bilangan kes positif melantun-lantun. Tetapi tidak berani tanya. Takut kena blacklist.
     
  13. Keputusan tidak mewajibkan EnterSarawak ini adalah positif untuk kesihatan mental semua orang yang sudah sedia tertekan sepanjang PKP di seluruh negara.
     
  14. Keputusan ini juga adalah positif ketika semua orang tahu pilihan raya negeri bakal diadakan lebih awal daripada pilihan raya umum. Ini bukti kerajaan negeri Sarawak mendengar suara rakyat. - DagangNews.com

 

 

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai anak kelahiran Mukah, Sarawak dan Pengarang DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Puteri Santubong berulang-ulang kali.
 
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.