EPS Daiboci ditingkatkan hingga 14% | DagangNews Skip to main content

EPS Daiboci ditingkatkan hingga 14%

Daiboci Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Sept. - CGS-CIMB Research meningkatkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat penyedia pembungkusan fleksibel, Daiboci Berhad (Daiboci) sebanyak 9% hingga 14% bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022.

Jelas CGS-CIMB Research, peningkatan itu dibuat selepas pihaknya menjangkakan Daiboci akan mencapai jualan yang lebih baik susulan peningkatan permintaan pengguna.

"Kami tingkatkan ramalan EPS FY21-22 sebanyak 9% hingga 14% kerana kami jangkakan penjualannya akan bertambah baik susulan permintaan barangan berbungkus di Asia Tenggara dan Oceania.

"Daiboci akan terus mencapai kemajuan walaupun ada beberapa pihak yang mempunyai kebimbangan mengenai pertumbuhan syarikat berkenaan akibat daripada wabak COVID-19," jelas CGS-CIMB Research.

Keuntungan bersih Daiboci pada tahun kewangan 2020 meningkat kepada RM52.6 juta sekali gus melepasi ramalan yang dibuat CGS-CIMB.

Pada suku keempat tahu kewangan 2020, Daiboci mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 2.5% berbanding suku sebelumnya.

Hasil peningkatan tersebut, Daiboci berjaya mencapai keuntungan bersih yang lebih baik iaitu 27.8% berbanding suku sebelumnya.

CGS-CIMB Research turut memberi kepercayaan kepada Daiboci bahawa syarikat berkenaan akan terus mencapai pertumbuhan positif sekiranya pendapatan operasinya di Vietnam tidak terganggu.

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research memberitahu, Daiboci telah membuat pelaburan modal berjumlah RM100 juta bagi tahun kewangan 2021 untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya sebanyak 60% berbanding tahap biasa`.

Susulan itu, CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' saham Daiboci selain meningkatkan harga sasaran sesaham (TP) kepada RM4.04 berbanding RM2.66 pada sebelumnya. - DagangNews.com