Era baharu Kewangan Islam di Malaysia  | DagangNews Skip to main content

Era baharu Kewangan Islam di Malaysia 

Oleh OTHMAN ABDULLAH

SEJAK mula diperkenalkan kira-kira empat dekad yang lalu, pasaran Kewangan Islam Malaysia telah mencapai kejayaan yang cemerlang.

 

Pada penghujung tahun lalu, aset patuh syariah berada pada paras RM2.3 trilion, daripada RM1.1 trilion dalam tahun 2010, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Negara ini kekal di kedudukan teratas di pasaran sukuk global yang bernilai AS$572 bilion.

 

Firma penyelidikan Dinar Standard, dalam laporannya mengenai perkembangan ekonomi Islam global bagi 2020/21, meletakkan Malaysia sebagai yang terbaik di kalangan negara yang setara, berdasarkan faktor-faktor seperti saiz pasaran, tadbir urus, kesedaran di media, dan impak sosial.

 

“Malaysia adalah peneraju dalam pengetahuan perbankan Islam dan merancang untuk menghantar siswazahnya dalam bidang kewangan Islam ke luar negara untuk membantu membangunkan industri tersebut di peringkat global, terutamanya di negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk bukan Muslim,” laporan tersebut menyatakan. 

 

Kerajaan Malaysia menyedari impak positif terhadap ekonomi dan kepentingan hab tersebut, yang merupakan 60% daripada pasaran modal tempatan.

 

Dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, kerajaan telah menyenaraikan industri ini sebagai salah satu daripada “Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama” dan menetapkan matlamat yang tinggi: "Malaysia harus sekali lagi menerajui gelombang kedua perbankan Islam dengan mengadaptasi fintech digital yang mula berkembang."


 

Othman Abdullah
                                         Othman Abdullah

 


Peneraju pemikiran global

Sejak bermulanya gelombang pertama perbankan Islam dalam tahun 1990-an,  Malaysia telah menjadi pelopor sektor ini yang kemudiannya telah berkembang dengan begitu pesat.

 

Skim Perbankan bebas faedah yang diperkenalkan pada tahun 1993 telah memisahkan perbankan konvensional dan perbankan Islam. Ini diikuti oleh tadbir urus syariah yang relevan, serta rangka kerja perundangan dan percukaian. Majlis Penasihat Syariah juga telah ditubuhkan di bank pusat pada Mei 1997.

 

Bank Negara Malaysia kemudiannya menubuhkan International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), untuk menghasilkan tenaga kerja yang berkelayakan, serta International Shariah Research Academy for Islamic Finance (ISRA), yang menumpukan perhatian kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang tersebut.

 

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sebuah agensi yang berpengaruh di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga memainkan peranan dalam mengukuhkan Ekonomi Digital Islam menerusi satu pasukan khas yang dibentuk bagi tujuan tersebut. Ia telah melancarkan beberapa inisiatif seperti Panduan Ekonomi Digital Islam (Mi’yar), Makmal Inovasi Kewangan, dan Penggalak Fintech untuk syarikat permulaan.

 

Dalam laporan terkininya, "Islamic Fintech in Malaysia", MDEC menyatakan bahawa negara ini merupakan antara pasaran yang mempunyai syarikat permulaan teknologi kewangan Islam yang terbanyak, terutamanya kerana legasinya sebagai peneraju dalam industri ini, persekitaran kawal selia yang kondusif, dan institusi akademik.

 

Kini cabaran yang perlu dihadapi adalah untuk memastikan bahawa setiap transaksi automatik perlu mematuhi keperluan syariah. Oleh itu, penyelesaian teknologi kewangan perlu dihasilkan sewajarnya.


 

International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF)
Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF)



Mendigitalkan Kewangan Islam

Peneraju pemikiran dan inovasi yang berterusan adalah amat penting untuk mengekalkan hab tersebut di kedudukan teratas. Pendigitalan kini turut mengubah Pembiayaan Islam, di mana ia membuka peluang bagi pembiayaan sosial (Wakaf dan Zakat) serta tokenisasi sukuk, sebagai contoh.

 

Kerajaan telah menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia berhasrat untuk menjadi penggerak dalam bidang ini. Dalam Belanjawan 2021, kerajaan menawarkan geran untuk membangunkan pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan pendanaan ekuiti ramai.

 

Oleh kerana pasaran sukuk hanya dapat dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat besar, pendanaan alternatif adalah penting untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) serta untuk membolehkan penyertaan lebih ramai pelabur, menurut Suruhanjaya Sekuriti dalam pelan induknya.

 

Struktur wakaf, yang merupakan sejenis pemberian yang diuruskan oleh pemegang amanah, kini telah pun digunakan untuk memberikan subsidi sewa bagi penyewa kedai kecil dari golongan berpendapatan rendah atau ibu tunggal.


 

wakaf
SALURAN bagi orang ramai melaksanakan wakaf secara dalam talian kelolaan PPZ-MAIWP

 


Terdapat juga inisiatif lain untuk membantu usahawan menyertai bidang perniagaan. Etiqa, cabang insurans dan takaful bagi Maybank, mewujudkan inkubator/pemecut dan telah menarik perhatian banyak syarikat permulaan di Asia Tenggara yang bertujuan membawa perubahan kepada insurans dan takaful tradisional.

 

Program ini menyediakan akses kepada pemain industri, agensi kerajaan dan syarikat modal teroka.

 

ESG dan Kewangan Islam

Pelaburan hijau adalah satu lagi bidang yang menawarkan peluang untuk para pelabur.

 

"Pada masa akan datang, pelaburan syariah tidak lagi hanya akan melibatkan pematuhan semata-mata, tetapi juga akan mengambil kira impak persekitaran, sosial, dan tadbir urus," jelas RHB Research.

 

Kedua-duanya kini sudah mula bergabung. Bank Islam Malaysia telah melancarkan app "Robo-intelligence sustainable Shariah-ESG investing" yang menggandingkan pelbagai tema yang berbeza.


 

apps

 


Dengan mewujudkan peraturan yang kondusif dengan ketetapan syariah yang jelas dari pihak berkuasa yang berkenaan serta dana khas untuk syarikat teknologi kewangan Islam, syarikat permulaan tempatan dan asing pastinya akan tertarik untuk memantapkan kedudukan mereka dan berkembang maju di Malaysia, demikian kesimpulan yang dibuat oleh MDEC dalam laporannya.

 

Menurut Fitch, kadar penembusan kewangan Islam di Malaysia berkemungkinan akan terus meningkat, selaras dengan pemulihan ekonomi, persekitaran kawal selia yang kondusif, dan bank-bank yang terus mempromosikan produk Islamik.

 

Sektor teknologi kewangan Islam di Malaysia dilihat sebagai mempunyai masa depan yang cerah. Di Silverlake Axis, kami telah membantu dalam pelaksanaan lebih daripada 70% transaksi Perbankan Islam di negara ini, di samping pelanggan di Indonesia, Singapura, Brunei, Bangladesh, UAE, dan Arab Saudi.

 

Kami akan terus menyokong transformasi industri ini dan membolehkan perubahan dilaksanakan dalam perkhidmatan kewangan patuh syariah yang selari dengan revolusi industri keempat. Kami juga akan menggalakkan ekonomi digital Islam yang dipacu oleh komuniti menerusi perkhidmatan digital bagi gaya hidup Islamik. - DagangNews.com

 

Othman Abdullah adalah Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam, Silverlake Axis