Ericsson bangunkan 5G, telco tidak perlu ‘belanja lebih’ - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Ericsson bangunkan 5G, telco tidak perlu ‘belanja lebih’ - Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Pelantikan Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd untuk membangunkan teknologi generasi kelima (5G) di Malaysia dijangka memberi ‘kelegaan’ buat syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) yang tidak perlu meningkatkan perbelanjaan modal (capex) mereka bagi membiayai pelancaran rangkaian tersebut.

 

Perkembangan ini seiring jangkaan firma penyelidikan, Kenanga Research, menurut penganalisisnya, Lim Khai Xhiang. 

 

“Oleh kerana panduan mengenai garis masa pelancaran ini telah diumumkan, kami tidak membuat perubahan pada unjuran sedia ada.

 

“Kami terus menjangkakan pelancaran 5G akan bermula dan mencapai jumlah besar pada akhir tahun kewangan (FY22),” jelas Khai Xhiang dalam satu nota kajian hari ini.

 

Semalam, Digital Nasional Bhd (DNB) memilih Ericsson sebagai pemenang tender untuk membangunkan rangkaian dan ekosistem 5G di negara ini.  

 

DNB merupakan syarikat tujuan khas (SPV), dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan bagi membangunkan, memiliki serta menjalankan operasi prasarana 5G Malaysia. 

 

Mengikut garis panduan masa yang diberikan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya dijangka menyaksikan pelancaran rangkaian 5G pada penghujung tahun ini. 

 

Sementara, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak menjelang 2022 dan diperluaskan ke seluruh Malaysia pada 2023.

 

Kenanga mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor telekomunikasi dan menjangkakan ‘Big 3’ iaitu Celcom, Digi dan Maxis berpotensi meningkatkan penguasaan pasaran pasca bayar, walaupun dijangka menjejaskan purata pendapatan bagi setiap pengguna (ARPU) mereka. - DagangNews.com