Ericsson beri jaminan penawaran teknologi 5G mampu milik, bertaraf dunia untuk Malaysia | DagangNews Skip to main content

Ericsson beri jaminan penawaran teknologi 5G mampu milik, bertaraf dunia untuk Malaysia

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - Ericsson akan memanfaatkan tekonologi dan pengalamannya dalam penggunaan 5G di peringkat global untuk membina rangkaian bertaraf dunia di Malaysia. 

 

Ini berdasarkan kepada penilaian Frost Radar dan Gartner Magic Quadrant yang telah meletakkan Ericsson sebagai peneraju dalam teknologi 5G.

 

David
David Hägerbro

 

 

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, kelebihan ini membolehkan Ericsson memanfaatkan penyelesaian termaju seperti Rangkaian Teras Pelbagai Operator menggunakan ciri-ciri Pemisahan Sumber Radio 5G supaya rangkaian akses radio boleh dikongsi oleh 6 operator. 

 
Pada masa sama, katanya, ia juga membenarkan setiap operator memiliki teras mereka sendiri bagi mewujudkan pembezaan. 

 

"Rangkaian 5G akan dikenalikan menggunakan sumber tempatan yang besar dan dengan peralatan terkini serta kecerdasan pintar (AI).

 

"Ini dapat memberi jaminan kos yang lebih rendah setiap gigabait (GB) dan menjadikan 5G mampu milik kepada rakyat Malaysia dengan pengalaman pelanggan bertaraf dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Baca : Ericsson komited bangunkan 5G di Malaysia

 

 

Pada Julai lalu, Digital Nasional Bhd (DNB) melantik firma telekomunikasi dari Sweden itu sebagai rakan strategik dalam mempercepatkan pembangunan rangkaian serta ekosistem perkhidmatan rangkaian 5G negara.

 

Keputusan itu dibuat selepas pelaksanaan bidaan tender yang bermula Mac lalu. 

 

DNB menjalin kerjasama dengan Ericsson Malaysia Sdn. Bhd. dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan 5G dan membolehkan matlamat liputan penduduk sebanyak 80% dapat dicapai menjelang 2024.

 

Menerusi kerjasama itu, reka bentuk dan pembangunan rangkaian 5G negara akan dilaksanakan oleh Ericsson dengan kos bernilai RM11 bilion, termasuk sewaan menara serta pajakan gentian.

 

Lebih 60% daripada jumlah itu dijangka dapat dimanfaatkan oleh kontraktor bumiputera serta warga Malaysia lain bagi tempoh 10 tahun akan datang. 

 

Pada Rabu, DNB mengumumkan rangkaian 5G kini tersedia di Malaysia dengan Telekom Malaysia Bhd. (TM) dan YTL Communications Sdn. Bhd. menjadi 2 pengendali telekomunikasi pertama yang menawarkan perkhidmatan itu di beberapa kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

 

Bermula 15 Disember 2021 hingga 31 Mac 2022, DNB akan menawarkan spektrum 5G secara borong tanpa kos kepada semua pengendali rangkaian mudah alih sempena pelancaran komersial rangkaian itu di Malaysia.

 

Menurut David, bagi memastikan teknologi 5G mencapai nilai sepenuhnya di Malaysia, mereka akan membawa bersama rakan kongsi merentasi ekosistem untuk bekerjasama dan mendapatkan idea inovasi.

 

"Kami percaya 5G bukan sahaja mengenai keterhubungan, tetapi adalah lebih penting lagi ia menjadi platform inovasi," katanya. 

 

Sementara itu, Ketua Ericsson Asia Tenggara, Oceania dan India berkata, Ericsson komited untuk menyokong DNB bagi melaksanakan projek 5G kerana percaya nilai yang akan dibawanya ke Malaysia. 

 

"Untuk itu, kami akan memastikan rangkaian DNB bukan sahaja menjadi satu pengalaman 5G di rantau ini tetapi juga sebagai contoh cemerlang tentang apa yang boleh ditawarkan oleh inovasi teknologi," jelasnya. 

 

Secara dasarnya, Ericsson ialah peneraju global dalam teknologi itu dengan 105 rangkaian 5G secara langsung di 46 negara dan 168 perjanjian komersial 5G.- DagangNews.com