Ernst & Young dilantik jadi penilai bebas Serba Dinamik, 3 Lembaga Pengarah baru | DagangNews Skip to main content

Ernst & Young dilantik jadi penilai bebas Serba Dinamik, 3 Lembaga Pengarah baru

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com


 

SHAH ALAM 14 Jun - Serba Dinamik Holdings Berhad mengumumkan pelantikan firma audit Ernst & Young Advisory Services Sdn. Bhd., sebagai penilai bebas ke atas ketepatan dan kebenaran perkara-perkara yang dibangkitkan oleh KPMG.

 

Syarikat perkhidmatan minyak dan gas ini turut mengumumkan pelantikan tiga anggota Lembaga Pengarah baharu, sekali gus mengesahkan laporan DagangNews.com awal pagi ini.

 

Mereka ialah Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed, 65, yang merupakan pengerusi eksekutif Koperasi Amanah Pelaburan Bhd, Hartanah AP Rakyat Bhd, CTG Capital Sdn Bhd, HAF Automotive Sdn Bhd, AP Holdings Bhd dan Awesome TV (subsidiari Awesome Media Network Sdn Bhd).

 

Yang kedua ialah Johan Mohamed Ishak, 46, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Bhd (2017-2020) dan bekas CEO MyCreative Ventures Sdn Bhd, entiti pelaburan milik Kementerian Kewangan (2012-2017).

 

Beliau memiliki pengalaman perakaunan dan audit yang luas dan pernah berkhidmat di Deloittee Touche Tohmatsu International dan PricewaterhouseCoopers. Johan juga merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan felo the Chartered Accountants Australia New Zealand (CAANZ) (sejak 1997).

 

Yang ketiga ialah Masleena Zaid, 46, merupakan seorang peguam dan pernah menjadi pendakwa raya di Suruhanjaya Sekuriti dari 2001 hingga 2007. Beliau kini adalah rakan kongsi pengurusan di firma tetuan Masleena, Yee & Partners selain menjadi pengarah bebas bukan eksekutif di AP Holding Bhd dan Eastland Equity Bhd.
 

serbadinamik
Dari kiri Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed, Johan Mohamed Ishak dan Masleena Zaid

 

Sementara itu, Mohamed Ilyas ketika dihubungi DagangNews berkata, "pelantikan ini merupakan satu amanah dan kepercayaan bagi saya untuk laksanakan dengan sebaik-baiknya. 

 

Pelantikan tiga anggota baharu ini akan menjadikan Lembaga Pengarah Serba Dinamik kini berjumlah 12 orang.

 

Sebagai rekod, pengarah bebas Serba Dinamik pada masa ini mengandungi bekas rakan kongsi KPMG Malaysia Hasman Yusri Yusoff, bekas pengarah urusan Nationwide Express Holdings Bhd. Rozilawati Basir dan akauntan Sharifah Irina Syed Syed Ahmad Razi dan peguam, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman.

 

Lembaga Pengarah syarikat terdiri daripada tiga pengasas bersama yang juga pemegang saham utama syarikat iaitu Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah;  Datuk Abdul Kadier Sahib dan Pangeran Datuk Awang Daud Awang Putera.

 

Dua lagi ialah bekas pegawai kanan Petronas, Dato' Mohamed Nor Abu Bakar selaku pengerusi syarikat dan bekas CFO Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Syed Nazim Syed Faisal. - DagangNews.com