ESG: Mandat kelestarian dan kelangsungan syarikat di Malaysia? | DagangNews Skip to main content

ESG: Mandat kelestarian dan kelangsungan syarikat di Malaysia?

oleh Dr. Norliza Che Yahya dan Siti Sarah Alyasa Ga

ADAKAH penyepaduan penjagaan alam sekitar (Environmental), social (Social) dan tadbir urus (Governance) atau (ESG) membantu meningkatkan prospek kemampanan dan kelangsungan syarikat di Malaysia?

 

ESG ialah akronim bagi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat. ESG mengambil pandangan holistik bahawa kemampanan perniagaan haruslah melangkaui isu penjagaan alam sekitar.

 

Dalam istilah lain, ESG dicirikan sebagai rangka kerja terbaik yang berpotensi membantu pihak berkepentingan memahami pendekatan sesebuah organisasi dalam mengurus risiko dan peluang dengan memberi keutamaan terhadap penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus syarikat itu sendiri.

 

Walaubagaimanapun, masih ramai yang keliru tentang perbezaan diantara ESG dan Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR).

 

Secara ringkas, CSR ialah rangka kerja rancangan kemampanan syarikat dan pengaruh budaya yang bertanggungjawab dalam unsur sosial, manakala ESG ialah hasil yang boleh dinilai berdasarkan unsur alam sekitar, sosial, dan tadbir urus di dalam syarikat berkaitan prestasi kemampanan keseluruhan syarikat.

 

Dalam kata lain, kriteria ESG melangkaui agenda CSR syarikat yang hanya melaporkan usaha rangka kerja kepada pihak berkepentingan seperti pekerja dan orang awam.

 

Sebaliknya, prestasi penyepaduan elemen ESG boleh diukur dan dijadikan penarafan kredit kemampanan bagi syarikat dan pelabur.


 

parafrasa

 


Penyepaduan penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merupakan satu set piawaian yang sering diguna pakai oleh pelabur bercirikan socially-conscious untuk menilai tingkah laku syarikat dan menyaring pelaburan yang berpotensi.

 

Walaupun istilah ESG sering digunakan dalam konteks pelaburan, pihak berkepentingan termasuk pelanggan, pembekal dan pekerja juga semakin memberi perhatian terhadap kelestarian operasi syarikat atau organisasi dengan melihat penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang diamalkan oleh organisasi itu.

 

Pihak berkepentingan ini melihat penjagaan ESG sebagai komitmen syarikat dalam meningkatkan kelestarian imej mereka dan bertindak balas terhadap keperluan semasa.

 

Secara ringkasnya, pihak berkepentingan semakin menghargai organisasi yang mengamalkan penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus dan mereka sanggup melabur dan berbelanja sewajarnya kerana mereka berpendapat bahawa syarikat yang mempunyai penjagaan ESG tidak hanya melihat keuntungan wang ringgit sebagai asas dalam pembangunan perniagaan, tetapi kesejahteraan alam sekitar, sosial dan tadbir urus, keseluruhannya.

 

Menurut Persatuan Pemimpin Industri Runcit (Retail Industry Leaders Association) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), seramai 68 juta orang dewasa di AS membuat keputusan pembelian mereka berdasarkan nilai (peribadi, sosial dan alam sekitar) dan akan membelanjakan sehingga lebih 20 peratus untuk produk mesra alam.

 

Manakala hampir 90 peratus golongan milenium lebih setia untuk melabur di syarikat yang membantu mereka menyumbang pada isu sosial dan alam sekitar.

 

Dalam kata lain, golongan ini meletakkan premium yang tinggi pada syarikat yang menyatupadukan penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di dalam operasi perniagaan mereka.


 

parafrasa

 


Melihat pada dapatan kaji selidik yang dijalankan di AS, bagaimanakah pula trend penjagaan dan pengamalan ESG bagi syarikat tersenarai di Bursa Saham Malaysia?

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift menerusi sidang media pada Januari 2021, terdapat hanya 75 syarikat tersenarai di Bursa Saham Malaysia mematuhi kriteria ESG (seperti di didefinisikan oleh FTSE4Good Bursa Malaysia Index).

 

Trend ini dilihat mampu dipertingkatkan sekiranya terdapat lebih banyak syarikat di Malaysia memberi perhatian terhadap penjagaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus di dalam pengoperasian perniagaan mereka.

 

Bercakap dengan komuniti pelabur di sidang media sama, Datuk Muhamad Umar Swift menegaskan bahawa penjagaan dan pengamalan ESG adalah seruan sama seperti wabak COVID-19 yang memerlukan semua syarikat untuk bertindak balas pantas dan sewajarnya.

 

Menerusi kenyataan media beliau yang seterusnya pada Jun 2021, Muhamad Umar menyatakan bahawa syarikat yang mempunyai penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus baik adalah lebih berdaya tahan kerana kebimbangan pelabur yang semakin meningkat terhadap kerosakan alam sekitar telah mendorong mereka untuk meletakkan nilai premium pada syarikat yang mempunyai pengurusan risiko berkesan menerusi penjagaan ESG.

 

"Apa yang dikatakan, kami di Bursa Saham Malaysia ingin membantu syarikat dalam usaha mereka ke arah meningkatkan kemampanan ESG dan untuk itu, kami mempunyai Bursa Sustain, Pengarah Kelestarian yang akan bekerjasama dengan majlis pelabur institusi untuk benar-benar mentakrifkan apa yang menjadi keutamaan para pelabur ketika ini” - Datuk Muhamad Umar Swift.

 

Secara ringkasnya, Bursa Malaysia menyasarkan untuk membawa semua syarikat awam tersenarai untuk memberi perhatian sewajarnya terhadap penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat.

 

Selain daripada menilai syarikat dari segi prestasi kewangan, menganalisis prestasi bukan menerusi aspek kewangan syarikat telah menjadi satu permintaan yang berkembang dengan ketara, bukan sahaja dalam kalangan pelabur, malah pihak penggubal dasar seperti Bursa Malaysia yang semakin bergerak ke arah mengekodkan prestasi ESG

 

Dari sudut sesebuah syarikat itu sendiri, pendedahan penjagaan dan amalan ESG adalah sebahagian daripada "pelaburan" yang perlu dilakukan oleh syarikat baru semasa penyenaraian mereka di Bursa Saham bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan prestasi syarikat.

 

Sebagai contoh, menurut Yayasan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SIF) AS pada 2018, pengurus pelaburan meningkatkan pelaburan sebanyak 44 peratus berbanding dua tahun sebelumnya di syarikat yang mengamalkan elemen ESG.

 

Ini menunjukkan bahawa pendedahan amalan dan penjagaan ESG boleh membantu meningkatkan keyakinan pelabur dan prestasi syarikat.


 

parafrasa

 


Oleh itu, perniagaan di negara ini juga diharapkan dapat meningkatkan amalan dan penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus untuk terus menjadikan syarikat mereka lebih relevan dan bernilai kepada pelbagai pihak berkepentingan.

 

Pengguna, pencari kerja dan pelabur keseluruhannya mempunyai harapan dan keyakinan tinggi bahawa kelestarian dan kelangsungan syarikat akan banyak dibantu oleh aspek penjagaan alam sekitar dan kebajikan social yang baik dan berterusan. – DagangNews.com

 

Dr. Norliza Che Yahya adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam
dan
Siti Sarah Alyasa Gan adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional Management and Science University (MSU), Selangor