EU-ABC gesa tindakan segera baiki daya saing ASEAN | DagangNews Skip to main content

EU-ABC gesa tindakan segera baiki daya saing ASEAN

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) mengenal pasti 4 perkara utama yang dilihat sebagai penghalang kemajuan integrasi ekonomi di serantau ini menerusi 2 kertas cadangan yang diterbitkannya hari ini.

 

Organisasi itu yang mewakili komuniti perniagaan Eropah di Asia Tenggara mendapati : 

 

  • Kurangnya komitmen atau keupayaan untuk memenuhi janji yang terkandung dalam kedua-dua rangka tindakan iaitu Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi (AEC) ASEAN 2015 dan 2025

 

  • Matlamat yang ditetapkan oleh ASEAN sering tersasar, khususnya komitmen untuk menangani sekatan bukan tarif ke atas perdagangan yang terjejas oleh proses dan alat yang tidak efektif

 

  • Perjanjian pemudahcaraan perdagangan sedia ada, seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), masih belum dilaksanakan atau dipatuhi sepenuhnya;

 

  • Rantau ini menambah idea dan program baharu, seperti dalam transformasi digital, tetapi masih gagal untuk memenuhi program sedia ada.

 

Akibat daripada kurangnya kemajuan ASEAN dalam bidang-bidang ini, kebanyakan syarikat multinasional serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serantau hanya melihat ASEAN sebagai 10 pasaran tersendiri.

 

Ini mengakibatkan mereka hanya memberi tumpuan kepada satu atau beberapa pasaran yang dianggap paling penting atau berkepentingan bagi mereka, dan bukannya sebagai sebuah rantau secara keseluruhannya.  

 

Satu lagi akibat yang lebih signifikan ialah tiada kepastian mengenai pemulihan yang mapan daripada pandemik ini. 

 

Secara dasarnya EU-ABC menyuarakan kebimbangan terhadap kurangnya kemajuan dari segi elemen utama integrasi ekonomi ASEAN di bawah AEC, terutamanya dalam bidang penghapusan sekatan bukan tarif ke atas perdagangan. 

 

Dalam laporan mereka, EU-ABC turut menyatakan bahawa sejak sebelum pandemik COVID-19 lagi, ASEAN telah menyaksikan pelaburan langsung asing ke rantau ini semakin mendatar, di samping kemerosotan perdagangan. 

 

Kedatangan pandemik itu semakin memburukkan lagi keadaan tersebut, justeru, terdapat keperluan yang lebih mendesak untuk mempercepatkan integrasi ekonomi serantau untuk membantu dalam pemulihan ekonomi akibat pandemik.

 

Pengerusi EU-ABC, Donald Kanak berkata, ASEAN mempunyai peluang yang amat cerah untuk menjadi peserta dan penyumbang yang lebih signifikan kepada ekonomi global dalam masa beberapa tahun akan datang, sekiranya ia dapat mencapai kemajuan ketara dalam agenda integrasi ekonominya. 

 

"Untuk itu, rantau ini perlu mengatur semula bagaimana ia mengendalikan sekatan bukan tarif ke atas perdagangan. 

 

"Pengaturan semula tersebut merupakan kunci kepada melancarkan aliran barangan, meningkatkan daya saing ASEAN dan mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih baik," katanya. 

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif EU-ABC, Chris Humphrey berkata, mereka dapat melihat tanda-tanda yang jelas bahawa komuniti perniagaan kini semakin hilang sabar dengan projek integrasi ekonomi ASEAN kerana kemajuan yang diharapkan sangat perlahan dan menghampakan. 

 

Katanya, sekatan bukan tarif ke atas perdagangan masih lagi merupakan halangan utama terhadap pembangunan yang mapan di rantau ini, walaupun terdapat pelbagai kenyataan yang dibuat oleh pemimpin dan menteri ASEAN bahawa sekatan tersebut perlu dihapuskan. 

 

"Kawalan Kuantiti dan Harga khususnya, masih kekal, di mana ia mengurangkan persaingan dan inovasi di rantau ini yang memberi kesan buruk terhadap perniagaan tempatan dan populasi umum di sini," jelasnya.

 

Beliau menyifatkan pandemik tersebut memberikan ASEAN cabaran dan peluang untuk 'reset' atau mengatur semula  pendekatannya terhadap integrasi ekonomi. 

 

Bagi melaksanakan Rangka Tindakan AEC dan merealisasikan potensi rantau ini yang begitu besar, ia memerlukan tindakan segera, komitmen dan sumber yang lebih. 

 

"Sehubungan itu, perniagaan perlu memainkan peranan mereka dengan mengenal pasti sekatan dan kemudiannya meneruskan pelaksanaan menerusi lebih banyak pekerjaan, lebih banyak perdagangan dan pelaburan di mana sekatan dihapuskan," tegas beliau. - DagangNews.com