EY secara rasmi dilantik penilai bebas Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

EY secara rasmi dilantik penilai bebas Serba Dinamik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Ahli Lembaga Pengarah Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) secara rasmi telah melantik Ernst & Young Advisory Services Sdn. Bhd. (EY) sebagai firma penilai bebas untuk menyemak kesahihan isu yang dibangkitkan oleh bekas pengaudit luarnya, KPMG PLT.

 

Perkara yang merujuk kepada pengumuman Serba Dinamik berhubung pelantikan satu firma penilai bebas pada 14 Jun 2021 itu, disahkan syarikat menerusi makluman di Bursa Malaysia lewat petang ini. 

 

“Keputusan ini diambil susulan perbincangan yang diadakan antara syarikat dan Bursa Malaysia di mana EY sesuai untuk keterlibatan (berhubung penilaian isu yang berbangkit) memandangkan mereka dari firma pengaudit ternama ‘Big 4’.

 

“Pelantikan EY juga dibuat berdasarkan arahan daripada Bursa Malaysia mengikut perenggan 2.23 dan 2.24 dari Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Malaysia,” jelas Serba Dinamik.

 

Terdapat empat skop kerja bagi penilaian bebas khas yang telah disemak dan diluluskan oleh Bursa Malaysia itu termasuk:

 

SkopPenerangan
1

 

a) Menilai kesahihan dan kebenaran urus niaga serta baki melibatkan 11 pelanggan yang dikenal pasti berhubung transaksi penjualan, perdagangan yang belum diterima dan material di tapak

 

b) Mengukur sebarang kemungkinan kesan kewangan, jika ada

 

2

Menilai kesahihan dan kebenaran pembelian dari enam pembekal tempatan

 

3a) Menilai kesahihan dan kebenaran kontrak atau transaksi IT yang dilakukan dengan enam pelanggan yang dikenal pasti dan dua pembekal

 

b) Menilai kesesuaian hasil dan kos yang disahkan pada tahun kewangan terbabit

 

4

Menilai kewujudan (jika boleh); dan kesahihan transaksi dan baki daripada seorang pelanggan dan seorang pembekal yang berada di Bahrain


 

Pada 14 Jun lalu, Serba Dinamik mengumumkan bahawa syarikat pada dasarnya bersetuju untuk melantik EY sebagai penilai bebas serta akan memuktamadkan terma dan syarat pelantikan berkenaan.

 

Menerusi satu sidang media khas pada 22 Jun, Serba Dinamik mengumumkan syarikat telah memfailkan saman terhadap KPMG atas dakwaan cuai di dalam pengauditannya sehingga kerugian hampir RM5 bilion dari segi permodalan pasaran.

 

Writ saman tersebut telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan Serba Dinamik melantik peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili syarikat.

 

Dalam pada itu, Serba Dinamik mengemukakan empat sebab KPMG didakwa cuai dalam pengauditannya ke atas syarikat.

 

Setakat 5 petang ini, saham Serba Dinamik ditutup 1.32% atau 0.005 sen lebih tinggi kepada 0.385 sen. - DagangNews.com