Faktor penting membayangkan OPR mungkin kekal | DagangNews Skip to main content

Faktor penting membayangkan OPR mungkin kekal

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Mac - Penanda aras kepada kadar faedah di Malaysia atau kadar dasar semalaman (OPR) menjadi antara tumpuan utama hari ini, terutamanya bagi firma kewangan dan institusi berkaitan. 

 

Fungsi OPR menjangkaui hanya sebagai penanda aras kadar faedah, tetapi ia merupakan kayu ukur kepada prestasi keseluruhan ekonomi negara termasuk dari aspek pengambilan pekerjaan, inflasi dan sistem perbankan. 

 

Menanti keputusan OPR hari ini, faktor-faktor penting yang ada ketika ini membayangkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengekalkan kadar itu pada 1.75%. 

 

Ini termasuklah permulaan program vaksinasi, jumlah kes jangkitan COVID-19 yang kian berkurangan selain kelonggaran sekatan pergerakan mencetuskan prospek ekonomi Malaysia yang lebih baik. 

 

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Bloomberg, seramai 18 daripada 28 ahli ekonomi percaya BNM akan kekalkan OPR pada kadar terendah itu, manakala selebihnya mengunjurkan pemotongan 25 mata asas (bps).

 

Perdana Menteri umum kedudukan ekonomi Malaysia lebih baik

 

Malah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin pada 1 Mac lalu memberitahu: “Keadaan ekonomi negara kita juga kian bertambah baik."

 

Walaupun kes jangkitan melonjak dengan mendadak sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Januari lalu, namun kebenaran operasi penuh di sektor perkhidmatan, runcit dan pembinaan meletakkan ekonomi negara pada landasan pemulihan. 

 

Dari segi pelaburan, Muhyiddin memberi jaminan bahawa pasaran Malaysia tetap teguh terutama daripada pelabur asing berdasarkan pemerolehan pelaburan bon sehingga RM23.1 bilion setakat Ogos 2020. 

 

Dalam pada itu, ringgit Malaysia turut muncul antara mata wang paling kukuh di Asia Tenggara, sekali gus meletakkan prospek ekonomi negara lebih baik, mungkin menjadi pemangkin penting kepada keputusan OPR hari ini. 

 

Dalam nota kajian HSBC Global Research pada 1 Mac lalu, Ketua Ahli Ekonomi ASEAN di firma itu, Joseph Incalcaterra melihat penurunan kes COVID-19, kelonggaran sekatan pergerakan, pengedaran vaksin dan ‘janji’ kerajaan untuk menyuntik bantuan membayangkan OPR akan dikekalkan. 

 

Bagaimanapun, terdapat juga penganalisis yang mengutarakan pandangan mereka bahawa bank pusat mempunyai ruang yang cukup untuk menurunkan lagi OPR. 

 

Baca : Potongan OPR: Apakah kesannya kepada anda? 

 

Mengambil kira teras inflasi yang dilihat masih lemah, CGS-CIMB Research menjangkakan OPR boleh dikurangkan 25 bps lagi kepada 1.50%. 

 

Berbeza bagi UOB Research yang mengubah sasaran inflasi kepada 2.1% daripada 2.5% pada tahun ini, didorong oleh harga minyak mentah lebih tinggi, meramalkan pengekalan OPR pada kadar 1.75%. 

 

BNM telah mengekalkan kadar itu sejak September tahun lalu, ketika kebanyakan firma penyelidikan menjangkakan pemotongan lanjut OPR ekoran gelombang ketiga kes COVID-19 menjejaskan landasan pemulihan negara. 

 

Secara umumnya, BNM melihat kadar itu kekal akomodatif dengan pelbagai bantuan serta suntikan fiskal diberikan kerajaan cukup untuk membawa ekonomi Malaysia ke arah pemulihan. 

 

Ini mencetuskan andaian dalam kalangan firma penyelidikan bahawa bank pusat itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat. 

 

Dari segi prospek pertumbuhan negara, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus baru-baru ini berkata, bank pusat itu berhasrat untuk mengkaji semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021, iaitu pertumbuhan 6.5% hingga 7.5%. 

 

Jelasnya, ini berdasarkan penguncupan ekonomi ketika suku terakhir 2020 ekoran lonjakan semula kes COVID-19 dan beberapa pelaksanaan sekatan pergerakan, menyebabkan KDNK negara menguncup pada kadar 5.6%, tersasar daripada unjuran dibuat kerajaan (-3.5% hingga -5.5%).

 

Pada tahun lalu, selain daripada pemotongan OPR sebanyak empat kali, BNM turut mengurangkan nisbah keperluan rizab bank sebanyak 100 mata asas. 

 

Langkah-langkah ini membantu dalam menyalurkan mudah tunai berbilion ringgit kepada sistem perbankan. - DagangNews.com