Farm Fresh bakal disenaraikan di Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Farm Fresh bakal disenaraikan di Bursa Malaysia

Gambar Facebook Farm Fresh Milk Malaysia

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Pengeluar produk tenusu bersepadu, Farm Fresh Berhad dijangka disenaraikan di Papan Utama, Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Ini selepas kumpulan telah memfailkan draf prospektus bagi tawaran awam awal (IPO) kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang disiarkan kepada umum, semalam.

 

Menurut pendedahan prospektus di laman web SC, Farm Fresh berhasrat untuk menerbitkan IPO sehingga 743.18 juta saham biasa bagi penyenaraian dan sebut harga modal saham terbitan kumpulan di Papan Utama. 

 

Ini terdiri daripada tawaran untuk penjualan sehingga 520.23 juta saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 222.95 juta saham baru. 

 

“(Melibatkan) tawaran institusi sehingga 687.44 juta saham IPO kepada institusi Malaysia dan asing serta pelabur terpilih, termasuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada harga institusi yang akan ditentukan menerusi runding harga.

 

“Tawaran runcit sebanyak 55.74 juta saham terbitan kepada pengarah Farm Fresh dan anak syarikatnya, pekerja kumpulan yang layak, individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan rakyat Malaysia pada harga runcit, dibayar sepenuhnya selepas permohonan dan tertakluk kepada bayaran balik perbezaan antara Harga Runcit dan Harga Runcit Akhir sekiranya Harga Runcit Akhir kurang daripada Harga Runcit,” jelas prospektus itu.

 

Farm Fresh merupakan kumpulan tenusu bersepadu yang terlibat dalam perniagaan pertanian, pembuatan dan pengedaran pelbagai produk tenusu dan berasaskan tumbuhan.

 

Pada awalnya, Farm Fresh diperbadankan pada 24 Mac 2010 sebagai syarikat persendirian di bawah nama The Holstein Milk Company Sdn Bhd yang kini ditukar kepada syarikat awam dan diberi nama Farm Fresh Berhad.

 

Berdasarkan maklumat pemegangan saham kumpulan yang disertakan bersama-sama prospektus tersebut, Khazanah menerusi  Agrifood Resources Holdings Sdn Bhd memiliki 30% kepentingan di dalam Farm Fresh.

 

Pemegang saham lain kumpulan termasuk Rainforest Capital Sdn Bhd (46.67%) dan Farmchoice Foods Sdn Bhd (23.33%) serta pengasasnya, Loi Tuan Ee yang memegang 70% kepentingan tidak langsung. - DagangNews.com