Farm Fresh bakal 'melangkah' ke Bursa Malaysia suku pertama 2022 | DagangNews Skip to main content

Farm Fresh bakal 'melangkah' ke Bursa Malaysia suku pertama 2022

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Feb - Farm Fresh Bhd.  kini semakin menghampiri penyenaraiannya di Papan Utama Bursa Malaysia Securities apabila menandatangani perjanjian taja jamin hari ini sempena tawaran awam permulaan (IPO).

 

Perjanjian itu ditandatangani bersama CIMB Investment Bank (IB) Bhd., Maybank Investment Bank Bhd., Affin Hwang Investment Bank Bhd., AmInvestment Bank Bhd, Hong Leong Investment Bank Bhd. dan RHB Investment Bank Bhd.

 

Syarikat pengeluar tenusu ini menyasarkan untuk disenaraikan pada suku pertama 2022. 

 

Penyenaraian itu akan menyaksikan IPO sehingga 743.2 juta bagi saham biasa terdiri daripada tawaran jualan sehingga 520.2 juta saham sedia ada (saham tawaran) dan saham awam sebanyak 223 juta saham baharu.

 

Saham IPO itu terdiri daripada tawaran institusi sehingga 687.4 juta saham IPO manakala tawaran runcit pula sebanyak 55.7 juta saham terbitan.

 

 

farm fresh
Farm Fresh (dahulunya dikenali sebagai The Holstein Milk Company Sdn. Bhd.) adalah antara syarikat tenusu tempatan terbesar di Malaysia.- Gambar Facebook

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata, dalam tempoh 12 tahun, syarikat telah berkembang menjadi salah satu pengeluar tenusu terkemuka negara meskipun menghadapi persaingan sengit daripada jenama lain.

 

"Majlis menandatangani perjanjian penaja jamin ini membolehkan kami membuat penampilan sulung di Papan Utama Bursa Securities," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

CIMB IB merupakan penasihat utama tunggal, penyelaras global bersama, bookrunner, penaja jamin pengurusan dan penaja jamin bersama untuk IPO.

 

Maybank IB pula adalah penyelaras global bersama, bookrunner, pengurusan penaja jamin dan penaja jamin bersama.

 

Credit Suisse turut menyertai senarai ini sebagai penyelaras global dan bookrunner bersama bagi penyenaraian Farm Fresh. 

 

Sementara itu, Affin Hwang IB, AmInvestment, Hong Leong IB dan RHB IB adalah penaja jamin bersama bagi IPO ini. 

 

Farm Fresh (dahulunya dikenali sebagai The Holstein Milk Company Sdn. Bhd.) adalah antara syarikat tenusu tempatan terbesar di Malaysia dengan anggaran 18% penguasaan pasaran dalam segmen susu sedia untuk diminum setakat 30 September 2021.

 

Ia mengendalikan lima ladang tenusu di Malaysia dan satu ladang tenusu di Australia, merentasi lebih kurang 5,400 ekar tanah. - DagangNews.com