Farouk Kamal dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu AirAsia X Bhd | DagangNews Skip to main content

Farouk Kamal dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu AirAsia X Bhd

Farouk Kamal
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun - AirAsia X Bhd (AAX) telah melantik Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), Farouk Kamal sebagai pengarah bebas bukan eksekutifnya berkuat kuasa serta-merta.

 

UJSB ialah kenderaan tujuan khas kerajaan yang ditubuhkan untuk mengambil alih aset Lembaga Tabung Haji (LTH) yang kurang berprestasi.

 

Pelantikan tersebut sejajar dengan strategi baharu syarikat itu dalam mentransformasikan perkhidmatan penerbangan jarak jauh dengan tambang rendah, selain mencerminkan era baharu AAX untuk memacu strategi baharunya untuk masa depan yang berdaya maju.

 

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan dan Ahli Jawatankuasa Pencalonan AAX, Datuk Fam Lee Ee berkata, mereka berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Farouk, yang membawa pengalaman luas tadbir urus korporat dalam bidang kewangan, pelaburan, pembangunan ekuiti, transformasi dan kepakaran dalam kepelbagaian korporat. 

 

"Beliau juga akan menyuntik perspektif baharu bagi hala tuju strategik AAX yang telah melancarkan perkhidmatannya semula dan menyokong pelbagai inisiatif yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas AAX, Tan Sri Tony Fernandes pula berkata, kehadiran Farouk sebagai ahli lembaga pengarah AAX baharu adalah tepat pada masanya kerana AAX juga telah merekodkan jualan yang memberangsangkan pada minggu ini. 

 

"Kami percaya beliau akan memberi sumbangan yang berharga sebagai ahli lembaga pengarah yang berpengalaman. AAX merupakan bahagian yang penting dalam keseluruhan strategi pengembangan kumpulan kami di mana ia akan melengkapkan ekosistem semua syarikat portfolio dan matlamat transformasi kami sebagai sebuah platform perjalanan dan gaya hidup pilihan terkemuka global," katanya.

 

Farouk berkata, beliau amat berbesar hati untuk menyertai AAX sejajar dengan penyambungan semula operasi baharu mereka dan merevolusikan perkhidmatan penerbangan jarak jauh dengan tambang rendah bernilai hebat merentasi Asean dan seterusnya, ke Asia Pasifik, Timur Tengah dan Eropah. 

 

"Saya yakin permulaan baharu AAX sebagai sebuah syarikat penerbangan gabungan kargo dan penumpang akan menjadikan perkhidmatan penerbangan jarak jauh berdaya maju secara komersial dan berpatutan untuk para tetamu kami.

 

“Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Lembaga Pengarah AAX, Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail dan barisan kepimpinan kanan yang lain untuk membawa syarikat penerbangan ini ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

 

Beliau mempunyai pengalaman pekerjaan lebih daripada 15 tahun dalam urusan bank pelaburan, kewangan korporat, penyelidikan ekuiti dan perdagangan ekuiti. Beliau memulakan kariernya dengan Credit Suisse sebagai sebahagian daripada pasukan perdagangan ekuiti dan penyelidikan. 

 

Pada tahun 2008, beliau menyertai pasukan urusan bank pelaburan di J.P Morgan dan kemudiannya dengan pasukan urusan bank pelaburan di Deutsche Bank pada tahun 2013.

 

Farouk juga telah bekhidmat sebagai penasihat kepada pelbagai syarikat mengenai penggabungan dan pengambilalihan, penstrukturan semula korporat, ekuiti dan urusniaga berkaitan ekuti, serta urusniaga pasaran modal hutang dan telah terlibat dalam beberapa urus niaga penting di Malaysia. 

 

Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Kewangan daripada London School of Economics and Political Science serta memegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari institusi yang sama. - DagangNews.com