Favelle Favco raih kontrak baharu, mencerminkan pemulihan sektor O&G - MIDF | DagangNews Skip to main content

Favelle Favco raih kontrak baharu, mencerminkan pemulihan sektor O&G - MIDF

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Ketidaktentuan pandemik COVID-19 dan rantaian bekalan minyak dalam kalangan anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) masih berisiko kepada persekitaran operasi Favelle Favco Bhd. 

 

Bagaimanapun, MIDF Research mengekalkan pandangan positif terhadap kumpulan setelah memperoleh kontrak terbaharu bernilai RM121.1 juta, sekali gus menandakan pemulihan dalam sektor minyak dan gas.

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikatnya, Favelle Favco Cranes Pte Ltd, Favelle Favco Cranes (M) Sdn Bhd, Favelle Favco Cranes Pty. Limited, Kroll Cranes A/S dan Exact Automation Sdn. Bhd.

 

Ia membabitkan 8 tempahan pembelian bagi kren luar pesisir, kren menara, sistem pemampat, sistem solar dan kerja-kerja menaik taraf.

 

Dengan pemerolehan kontrak ini, firma penyelidikan itu menganggarkan nilai projek syarikat meningkat kepada kira-kira RM637 juta.

 

MIDF Research juga melihat, ia akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan seterusnya.

 

"Kami percaya, dengan tambahan kontrak ini, Favelle Favco mampu mengekalkan pendapatannya dengan baik sehingga tahun kewangan 2022.

 

"Malah, kami juga berpendapat, permintaan minyak dalam kalangan pengguna dan industri akan memulih secara berperingkat dalam tempoh terdekat," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Favelle Favco dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.00.

 

Menurutnya, kumpulan akan terus berhati-hati terhadap pemulihan ekonomi, terutama bagi sektor kren.

 

"Bagaimanapun, kami bersetuju dengan pendirian Favelle Favco yang positif mengenai pemulihan daripada pandemik ini menerusi pelancaran vaksin di seluruh dunia," tambahnya. - DagangNews.com