Felcra peruntuk RM3.5 juta perkasa industri santan sawit | DagangNews Skip to main content

Felcra peruntuk RM3.5 juta perkasa industri santan sawit

Datuk Seri Mahdzir Khalid menunjukkan produk Santan Sawit jenama SURI semasa Majlis Perasmian Kompleks Industri Felcra Processing & Engineering Sdn. Bhd. di Changkat Jong, Teluk Intan pada 23 Jun 2022.

TELUK INTAN 23 Jun – Felcra Berhad melalui anak syarikatnya Felcra Processing & Engineering Sdn. Bhd (FPESB) membangunkan sebuah kilang memproses Santan Sawit jenama SURI dengan kos RM3.5 juta.

 

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kilang pengeluaran secara komersil itu mampu menghasilkan 60 tan metrik santan sawit sebulan.

 

“Memandangkan permintaan tinggi terhadap santan sawit, Felcra mengambil keputusan untuk membuat pelaburan bagi membina kilang baharu ini dengan peningkatan kapasiti pengeluaran sekali ganda berbanding kilang lama. 

 

Pengeluaran santan sawit oleh Felcra ini juga sebagai alternatif kepada santan kelapa yang merupakan idea yang sangat strategik kerana ia dapat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna."

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Industri Felcra Processing & Engineering Sdn. Bhd. di Changkat Jong dekat sini hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria; Pengerusi Felcra Processing & Engineering Sdn. Bhd, Datuk Abdul Shukur Idrus dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Processing & Engineering Sdn. Bhd, Wan Ramlan Wan Abdullah.

 

Jelas Mahdzir, pembinaan kilang pengeluaran santan sawit itu juga sebahagian daripada inisiatif Felcra Berhad dalam membantu pelan jaminan keselamatan makanan negara.

 

Tambahnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan geran berjumlah RM3 juta menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi membina kilang tersebut.

 

Manakala baki kosnya menggunakan sumber dalaman Felcra Processing & Engineering Sdn. Bhd (FPESB).   

 

 

mahadzir

 

mahadzir

 

mahadzir

 

 

"Sebelum ini kita sudah ada sebuah kilang bagi memproses minyak kelapa sawit menjadi santan sawit secara manual sahaja sebagai kilang perintis yang beroperasi sejak 2012, tetapi sekarang kita telah bina kilang baharu dengan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dan operasi kilang adalah automatik sepenuhnya."

 

Kilang seluas lebih 4,000 meter persegi itu tambah Mahdzir, mula beroperasi 21 Jun lalu dengan keupayaan memproses 2.8 tan metrik santan sawit sehari. 

 

Ia menggantikan kilang lama yang hanya mampu menghasilkan santan sawit 1.7 tan metrik sehari atau 30 tan metrik sebulan.

 

Setakat ini produk Santan Sawit Suri mempunyai 5 Pengedar Utama dan dijual di 40 lokasi pasaraya dan peniaga individu di negeri Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Pahang.

 

"Saya yakin kilang baharu ini akan meningkatkan pengeluaran dan bekalan santan sawit di pasaran yang sekaligus akan memenuhi keperluan permintaan terhadap santan sawit yang telah meningkat melebihi 100%", kata Mahdzir. - DagangNews.com