Felda luluskan 67 projek tanaman dan ternakan bernilai RM10.7 juta | DagangNews Skip to main content

Felda luluskan 67 projek tanaman dan ternakan bernilai RM10.7 juta

Felda

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) meluluskan sebanyak 67 projek tanaman dan ternakan dengan nilai RM10.7 juta hingga akhir Oktober 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kesemua projek tanaman dan ternakan itu melibatkan rancangan Felda di seluruh negara.

"Sebahagian projek berkenaan telah dimulakan menerusi pembekalan input pertanian atau peralatan yang telah mula dibekalkan oleh Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebagai ejen perolehan Felda untuk PPP (Program Pembangunan Peneroka).

"Di samping itu, sebanyak 46 projek lagi melibatkan 32 projek individu dan 14 projek koperasi dengan nilai RM4.5 juta akan diluluskan dalam sedikit masa lagi," jelas beliau ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-SIK) di Dewan Rakyat hari ini.

Penjelasan tersebut diberikan selepas Ahmad Tarmizi meminta Perdana Menteri menyatakan projek tanaman kontan bagi memulihkan prestasi Felda bernilai RM1 billion dalam tempoh lima tahun sepertimana diumumkan dalam Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) pada tahun 2019.

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

Wang berkenaan disalurkan kepada Felda melalui Program Pembangunan Peneroka (PPP) bagi meningkatkan pendapatan peneroka dan membantu usaha-usaha kerajaan menjamin keselamatan makanan negara (food security). 

Pelaksanaan program ini adalah melalui projek-projek pertanian dan ternakan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan ruminan, unggas, akuakultur dan ternakan eksotik.

Felda turut memberi perhatian kepada jenis tanaman dan ternakan yang kadar kecukupan sara diri (self sufficient level) masih rendah seperti produk tenusu, daging lembu atau kerbau, daging kambing atau biri-biri, kelapa, akuakultur dan cili. 

Fokus turut diberikan kepada projek bernilai tinggi seperti projek arnab, herba, sayuran fertigasi, halia, roselle, nanas, dan buah tin.

Tambah beliau, bagi memastikan kelancaran PPP, Felda telah melaksanakan model baru pelaksanaan PPP bersama Agrobank iaitu program Quick Win untuk 10 koperasi dan 40 projek individu sedang dijalankan dengan anggaran nilai menghampiri RM11 juta yang dibiayai oleh FELDA melalui dana PPP.

 

Ahmad Tarmizi Sulaiman
Ahmad Tarmizi Sulaiman 

 

Sebagai contoh, RM7 juta telah diperuntukkan bagi menjayakan tanaman nanas MD2 di Besout yang memanfaatkan 1,501 peserta.

 

Selain itu, projek Rintis FELDA Bukit Rokan yang pertama telah dilaksanakan pada November 2019 di atas tanah seluas 50.7 ekar dan dijangka memanfaatkan seramai 240 peneroka.

 

Selain daripada penglibatan peneroka dan generasi baharu sebagai peserta program individu melibatkan tanaman cili, cendawan, sayursayuran dan ternakan arnab, mereka juga digalakkan untuk bekerja di tapak projek.

 

Sehingga kini, terdapat 43 orang warga FELDA telah mula bekerja di tapak projek.

 

"Dalam usaha meningkatkan lagi produktiviti dan pendapatan peneroka melalui program PPP, FELDA juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pertanian pintar (smart farming).

 

"Bagi tujuan berkenaan, FELDA telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membangunkan teknologi yang bersesuaian seperti teknologi internet of things (IoT) dan drone," tambah beliau lagi. - DagangNews.com