Felda tidak berhasrat kekalkan penyenaraian FGV | DagangNews Skip to main content

Felda tidak berhasrat kekalkan penyenaraian FGV

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Felda tidak berhasrat untuk meneruskan status penyenaraian FGV Holdings Berhad di Bursa Malaysia. 

 

Sebaliknya, FGV akan diterajui secara syarikat persendirian sekiranya Felda berjaya mengambil alih 90% atau lebih pemegangan ekuiti dalam syarikat berkenaan.

 

Dalam notis pemberitahuan oleh Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) bagi pihak Felda, apabila ekuiti itu berjaya diserahkan, FGV perlu membuat pengumuman segera.

 

Seterusnya, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bakal menghentikan urus niaga saham FGV di Bursa Malaysia dalam tempoh lima hari sebelum tarikh tutup. 

 

“Justeru, Felda akan menghantar surat permintaan kepada FGV untuk melaksanakan prosedur tertentu bagi menarik balik status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi mengikut Bab 16 dalam Keperluan Penyenaraian.

 

Bursa Securities boleh mengikut budi bicaranya untuk mengenakan syarat tambahan bagi penarikan status penyenaraian FGV daripada Senarai Rasmi.

 

“Sekiranya penarikan FGV dari Senarai Rasmi berjaya, saham FGV tidak lagi akan disebut harga dan didagangkan di Pasaran Utama Bursa Securities,” kata notis itu. 

 

Mengikut syarat Pasaran Utama Bursa Securities, syarikat yang tersenarai perlu memastikan bahawa sebanyak 25% daripada ekuiti syarikat dipegang oleh pelabur awam. 

 

Syarikat tersenarai yang gagal untuk mematuhinya perlu memohon untuk memberi penjelasan ke atas situasi berkenaan. 

 

Di dalam konteks pembelian pemegangan ekuiti sehingga 90% oleh Felda ini, FGV perlu membuat pengumuman segera berhubung perkembangan berkenaan.

 

Pada 8 Disember lalu, Felda berhasrat untuk mengambil alih kepentingan dalam FGV sebanyak 506,190,800 atau 13.88% ekuiti dengan nilai sebanyak RM658 juta.

 

Agensi itu bercadang untuk meningkatkan pegangannya dengan membeli keseluruhan kepentingan yang dimiliki Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), 6.1% dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., 7.78%. 

 

Pengambilalihan kepentingan ini dengan RM1.30 sesaham akan meningkatkan pegangan Felda dalam FGV kepada 35.12% daripada 21.24% atau 775,029,80 saham. 

 

Ini bermakna, apabila langkah pengambilalihan itu selesai, Felda dan pihak yang bertindak bersama (PAC) dengannya, akan mempunyai pegangan terkumpul sehingga 50.49% dalam FGV. 

 

Dalam notis pemberitahuan sama, Maybank IB menjelaskan bahawa Felda mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk mengambil alih kepentingan itu. 

 

Dalam masa sama, agensi itu memberi jaminan bahawa cadangan pembelian ekuiti berkenaan tidak akan gagal disebabkan oleh kapasiti kewangan yang tidak cukup.

 

“Setiap pihak berkepentingan dalam FGV yang mahu menerima cadangan itu akan dibayar sepenuhnya dalam bentuk tunai,” tambah Maybank IB. 

 

Setakat 11.07 pagi, harga saham FGV melonjak sehingga 7.63%, menokok RM0.09 kepada RM1.27 daripada harga yang ditutup semalam, RM1.18. - DagangNews.com