FGV jangka formalkan pelantikan juruaudit bebas pada November 2021  | DagangNews Skip to main content

FGV jangka formalkan pelantikan juruaudit bebas pada November 2021 

KUALA LUMPUR 21 Okt - FGV Holdings Bhd (FGV) telah mengenal pasti juruaudit bebas untuk menjalankan kerja-kerja audit kepada operasi FGV terhadap 11 Petunjuk  Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)  berkaitan Buruh Paksa, seperti yang dinasihatkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS).

 

Menurut syarikat perladangan itu,  bagi  memastikan skop dan metodologi audit memenuhi kehendak dan jangkaan CBP, ia menjangka untuk memformalkan pelantikan tersebut pada bulan depan.

 

FGV berkata demikian dalam kenyataan hari ini sebagai merujuk kepada Perintah Pelepasan Tahan  (WRO) yang dikeluarkan oleh CBP AS pada 30 Sept  2020 terhadap minyak sawit dan produk minyak sawit yang dihasilkan oleh FGV dan anak syarikatnya, serta syarikat usaha sama.

 

“FGV telah mengenal pasti juruaudit bebas untuk menjalankan kerja-kerja audit berkenaan dan kini sedang bekerjasama dengan penasihat undang-undang yang berpangkalan di AS untuk memuktamadkan terma dan syarat bagi pelantikan itu.

 

“Syarikat ini komited mengambil semua langkah yang diperlukan untuk membatalkan WRO, termasuk pelantikan firma audit bebas,” katanya.

 

Menurut FGV, ia akan membuat pengumuman selanjutnya sekiranya terdapat perkembangan penting mengenai perkara ini. - DagangNews.com