FGV salur RM5 juta setiap tahun untuk program tanggungjawab sosial | DagangNews Skip to main content

FGV salur RM5 juta setiap tahun untuk program tanggungjawab sosial

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Sept. - FGV Holdings Berhad (FGV) menyumbang sebanyak RM5 juta setiap tahun ke dalam Yayasan FELDA (YF) sebagai usaha tanggungjawab sosial kumpulan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, menerusi sumbangan itu, pihaknya memperoleh peluang untuk menawarkan bantuan terutamanya bagi tujuan pendidikan, kebajikan dan kesihatan.

“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab dan prihatin, FGV sedar akan keadaan mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19. Kami menghargai pengorbanan dan dedikasi barisan hadapan yang memberikan terbaik walaupun berdepan situasi berisiko tinggi.

 

Datuk Haris Fadzilah Hassan
Haris Fadzilah Hassan

 

“Kami berharap menerusi sumbangan ini akan membantu meringankan beban kewangan pesakit dan staf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sebahagian daripada sumbangan itu diperuntukkan untuk Pusat Hemodialisis Felda (PHF) yang dikendalikan oleh YF.

Pusat itu menyediakan rawatan dialisis buah pinggang bagi kumpulan B40 termasuk pesakit yang tidak mempunyai pembiayaan dan perlindungan insurans. 

Terbuka kepada rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan, PHF boleh mengendalikan sebanyak 120 pesakit dan mempunyai 20 unit mesin dialisis serta 15 orang staf.

Dalam pada itu, FGV juga mengedarkan sumbangan zakat sebanyak RM52,000 secara langsung kepada pesakit dan staf di pusat itu pada awal minggu ini. 

Pada bulan April, FGV juga mengembalikan dana zakat wakalah sebanyak RM100,000 kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan RM26,434.75 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk membantu pekerja barisan hadapan.

“Ini merupakan niat FGV untuk bekerjasama dalam membantu meringankan beban mereka yang memerlukan. Kami ingin menzahirkan rasa syukur kepada semua rakyat Malaysia yang terus menunjukkan sokongan terhadap jenama kami. 

“Menerusi sokongan tersebut, FGV dapat terus menyalurkan sumbangan pada masa akan datang,” tambah Haris Fadzilah. - DagangNews.com