FGV sedang muktamadkan pelantikan CEO kumpulan baharu | DagangNews Skip to main content

FGV sedang muktamadkan pelantikan CEO kumpulan baharu

DZULKIFLI ABD WAHAB berinteraksi secara maya bersama pemegang saham ketika AGM FGV ke-13, hari ini. - Gambar FGV
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Syarikat perladangan, FGV Holdings Berhad sedang memuktamadkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan (GCEO) baharu dan akan membuat pengumuman yang sewajarnya setelah proses berkaitan selesai. 

 

Menurut kumpulan, perkara itu dimaklumkan Pengerusi FGV, Datuk Dzulkifli Abd Wahab pada permulaan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FGV ke-13 yang diadakan secara maya hari ini. 

 

Buat masa ini, tugas dan tanggungjawab GCEO berada di bawah bidang kuasa Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV sebagai Pegawai Bertanggungjawab (Officer-In-Charge), Azman Ahmad.

 

Kemas kini penting yang lain termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan pihak-pihak yang bertindak bersama dengannya (PAC) kini memegang 81% kepentingan syarikat setelah pelancaran tawaran pengambilalihan pada harga RM1.30 sesaham.    

 

“Oleh yang demikian, FGV akan terus bekerjasama secara sinergi bersama FELDA yang merupakan syarikat induk utama dalam setiap keputusan seterusnya demi kebaikan semua pihak berkepentingan, termasuk peneroka FELDA.

 

“Kita harus mengakui bahawa wabak COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelumnya sangat mempengaruhi industri ini, dan FGV, serta semua pemain perladangan lain tidak terkecuali. 

 

“Ketidakpastian dan cabaran yang dihadapi oleh industri sepanjang pandemik ini telah mempengaruhi permintaan domestik dan global, yang semakin mudarat akibat gangguan dalam kegiatan huluan,” jelas Dzulkifli dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Pada AGM tersebut, FGV mengumumkan para pemegang saham telah meluluskan semua resolusi yang dibentangkan di dalam mesyuarat berkenaan.

 

FGV
AZMAN AHMAD menyampaikan prestasi kewangan FY20 semasa AGM FGV ke-13, secara maya hari ini. - Gambar FGV

 

Tambah Dzulkifli, FGV tetap berdaya tahan dan telah membuat rancangan tindakan komprehensif yang dilaksanakan di seluruh operasi perniagaan kumpulan semasa pandemik ini, seterusnya membuahkan hasil dalam prestasi kewangan 2020. 

 

Bagi tahun kewangan FGV yang berakhir pada 31 Disember 2020 (FY20), kumpulan mencatatkan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (PBZT) sebanyak RM353 juta berbanding Kerugian Sebelum Zakat dan Cukai (LBZT), RM338 juta pada tahun 2019. 

 

Disebabkan prestasi kewangan yang positif itu, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 3 sen pada FY20.

 

Pada tahun berkenaan, kumpulan telah melengkapkan rancangan perniagaan tahun kedua yang bermula pada tahun 2019 untuk merealisasikan objektif strategiknya. 

 

Di samping meningkatkan prestasi operasi dan kewangan, FGV telah membangunkan Pelan Pembangunan Strategik untuk memberi lebih penekanan kepada Produk Pengguna dalam memperoleh pulangan yang lebih tinggi, dan menambah kemajuan dalam perniagaan Pertanian Bersepadu.

 

“Walaubagaimanapun, kami menjangkakan bahawa 2021 juga akan menjadi tahun yang mencabar kerana kekangan dalam penawaran tenaga kerja dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang sangat tidak stabil dalam perniagaan perladangan kami. 

 

“Sementara itu, perniagaan gula kami akan terus meningkatkan prestasi operasi dan kewangannya,” ujar Dzulkifli lanjut. - DagangNews.com