FGV tandatangani 12 CA, bukti komitmen kukuh dan hubungan perusahaan yang baik dengan kesatuan pekerjanya | DagangNews Skip to main content

FGV tandatangani 12 CA, bukti komitmen kukuh dan hubungan perusahaan yang baik dengan kesatuan pekerjanya

Kumpulan FGV telah menandatangani 12 Perjanjian Bersama dengan 12 kesatuan pekerja, di mana 11 daripadanya adalah kesatuan dalaman.
Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 20 Jan - Kumpulan FGV telah menandatangani 12 Perjanjian Bersama (CA) dengan kesatuan pekerjanya bagi tempoh 2022-2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, kejayaan rundingan dengan semua 12 CA walaupun ketika cabaran COVID-19 menunjukkan komitmen yang kukuh dan hubungan perusahaan yang baik antara semua pihak.

 

“FGV mempunyai lebih 40,000 pekerja yang juga merupakan tulang belakang syarikat termasuklah mereka yang di bawah kesatuan pekerja. 

 

"Perjanjian ini membentuk persefahaman yang lebih kukuh antara majikan dan pekerja, sekali gus menggalakkan kerjasama dan sokongan yang lebih baik untuk mencapai aspirasi FGV menjadi syarikat perniagaan agri dan makanan bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

11 daripada kesatuan berkenaan adalah kesatuan dalaman; Kesatuan Pekerja-pekerja FGV Refineries Sdn Bhd (Semenanjung), Kesatuan Pekerja-pekerja FGV Refineries Sdn Bhd (Sabah), Kesatuan Pekerja-pekerja Delima Oil Products Sdn Bhd, Kesatuan Pekerja-pekerja FGV Kernel Products Sdn Bhd (Semenanjung).

 

Selain itu, Kesatuan Pekerja-pekerja FGV Kernel Products Sdn Bhd (Sabah), Kesatuan Pekerja-pekerja FGV Rubber Industries Sdn Bhd, Kesatuan Pekerja-pekerja FGV Transport Services Sdn Bhd (Semenanjung), Kesatuan Pekerja-pekerja FGV Transport Services Sdn Bhd (Sabah), Kesatuan Pekerja-pekerja FGV Bulkers Sdn Bhd (Semenanjung), Kesatuan Pekerja-pekerja FGV Bulkers Sdn Bhd (Sabah) dan Kesatuan Pekerja-pekerja FGV Palm Industries Sdn Bhd (Semenanjung) turut menandatangani CA berkenaan.

 

Kumpulan FGV juga menandatangani CA dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia (NUPCIW).

 

Ujar Mohd Nazrul, di tengah-tengah pelbagai cabaran yang menjejaskan industri sawit dan industri berkaitan sejak beberapa tahun lalu, kesatuan pekerja dan pihak pengurusan harus bekerjasama untuk melindungi Kumpulan serta menyokong satu sama lain untuk memastikan kejayaan berterusan.

 

“Kita harus mengekalkan sikap positif dan melakukan yang terbaik dalam menjalankan tugas setiap hari. Kita semua harus sedar tentang peranan kita dalam syarikat dan cara terbaik untuk menyumbang kepada perniagaan. 

 

"Dalam pada itu, kesatuan pekerja boleh memainkan peranan besar dalam meningkatkan kesedaran mengenai komitmen Kumpulan terhadap Alam Sekitar, Kelestarian dan Tadbir Urus (ESG), yang menjadi prinsip untuk kemampanan syarikat secara bertanggungjawab,” tambahnya.  -DagangNews.com