FGV teroka pasaran beras wangi | DagangNews Skip to main content

FGV teroka pasaran beras wangi

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. -  FGV Holdings Bhd (FGV) kini giat menerokai pasaran beras wangi bagi merancakkan pasaran produk berkenaan menerusi anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, ia berikutan kejayaan pelaksanaan program Beras Wangi Fortified Field (3FR) FGVIF yang berupaya mengoptimumkan penanaman padi wangi tempatan melalui amalan dan teknologi pertanian pintar serta berkesan.

 

Katanya, kumpulan menyasarkan untuk menguasai kira-kira 3.5% pasaran beras wangi tempatan menjelang akhir 2025 di bawah jenama SAJI.

 

"Matlamat kami adalah supaya beras wangi SAJI menjadi pilihan rakyat Malaysia dan dunia pada masa akan datang. Dengan kemampuan dalaman, sumber daya dan pelbagai aplikasi teknologi FGV, beras wangi tempatan yang dihasilkan adalah berkualiti tinggi dan setanding dengan beras import dari Thailand," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambah beliau,  FGV komited untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) industri beras di Malaysia dan ia dapat dilakukan menerusi program 3FR FGV yang menyokong program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), yang dimulakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

 

Katanya, SMART SBB dijangka dapat membantu negara mencapai 75 peratus tahap SSL beras seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

"Melangkah ke hadapan, FGV merancang untuk mengembangkan lagi kawasan penanaman padi wangi kepada 10,000 hektar dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

 

Program 3FR itu menggabungkan kepakaran FGV dalam peningkatan prestasi sawah menerusi Pertanian 4.0 dan ketepatan perladangan yang menjimatkan dan lestari. 

 

Ia termasuk menerapkan penggunaan teknologi dalam perladangan seperti mekanisasi, dron, Internet Kebendaan (IoT), sensor sawah, kawalan makhluk perosak dan penyakit, serta mesin penanaman padi automatik. 

 

Semua produk sampingan yang terhasil dari perladangan sawah padi dan kilang beras wangi seperti dedak dan sekam padi tidak dibazirkan, dan digunakan sebagai komponen dalam makanan ternakan FGV di bawah jenama ALMA. -DagangNews.com