FGV tubuh Jawatankuasa Kelestarian, perkukuh tanggungjawab ESG | DagangNews Skip to main content

FGV tubuh Jawatankuasa Kelestarian, perkukuh tanggungjawab ESG

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - FGV Holdings Berhad (FGV) telah menubuhkan Jawatankuasa Kelestarian yang berperanan untuk membantu Lembaga Pengarah kumpulan dalam memenuhi tanggungjawab pengawasannya berhubung polisi, strategi dan inisiatif kelestarian. 

 

Sebelum ini, hal ehwal kelestarian FGV berada di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tadbir Urus dan Pengurusan Risiko (BGRMC), menurut FGV.

 

Jawatankuasa ini dipengerusi oleh Pengerusi FGV, Datuk Dzulkifli Abd Wahab, dan dianggotai oleh empat ahli Lembaga Pengarah yang lain iaitu Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Datuk Amiruddin Abdul Satar, Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin dan Kasmuri Sukardi.

 

“Keputusan ini memperkukuh komitmen tinggi FGV terhadap kelestarian, dan mencerminkan tekad FGV dalam memastikan pertimbangan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) terus menjadi keutamaan dalam hal ehwal FGV.

 

“Dalam merumuskan tanggungjawab dan fungsi Jawatankuasa, FGV juga telah mempertimbangkan pelbagai dokumen panduan termasuk Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) 2021.

 

“Pembentukan Jawatankuasa, yang akan bersidang sekurang-kurangnya empat kali dalam setahun, juga akan menyediakan platform yang sesuai untuk pertimbangan yang lebih tertumpu kepada hal-hal yang berkaitan dengan kelestarian seperti hak asasi manusia, piawaian buruh, kesihatan dan keselamatan, tindakan iklim, kepelbagaian biologi, kebolehkesanan dan rantaian bekalan, serta ekonomi pusingan, antara lain,” jelas kumpulan dalam satu kenyataan.

 

FGV percaya bahawa Jawatankuasa ini akan meningkatkan usaha sedia ada FGV dan akan meletakkan kumpulan di kedudukan yang lebih baik dalam menangani cabaran berkaitan kelestarian. 

 

Dalam masa sama, ia memberikan sumbangan yang lebih signifikan terhadap pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dan kemajuan agenda keseluruhan kelestarian.

 

FGV akan membuat pengumuman lebih lanjut sekiranya terdapat perkembangan material yang berkaitan dengan perkara ini, tambah kumpulan. - DagangNews.com