Fikir sejenak kewajaran rebut RM10,000 dari akaun KWSP kita | DagangNews Skip to main content

Fikir sejenak kewajaran rebut RM10,000 dari akaun KWSP kita

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

BASRI dan isteri, Ani asalnya bekerja di pejabat yang sama. Pada 2019, mereka berdua tersentak bila syarikat tutup mendadak. Tiada pampasan diberikan, janji pengerusi hanya tinggal janji, rasa tertipu tidak terdaya dek mainan orang atasan.

 

Meluat bertambah bila syarikat itu diambil alih pula entiti lain tetapi didapati di dalamnya ada juga orang yang sama terbabit menjual syarikat dulu. Doa kepada Tuhan untuk memberi keadilan di dunia dan akhirat. Itu dipendam di dalam hati Basri dan Ani.

 

Dalam kesempitan hidup, mereka mencuba berniaga. Tidak sampai sebulan, negara dilanda COVID-19. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan pada 18 Mac 2020. Baharu hendak mencuba nasib berjual makanan di hadapan rumah, semuanya tidak dibenarkan.

 

aaa

 

Kisah Basri dan Ani ini bukan rekaan, walaupun nama sebenar mereka ditukar agar tidak disaman oleh pengerusi syarikat yang mungkin membaca artikel ini. Tetapi artikel ini bukan mengisahkan hal pengerusi tersebut. Itu Basri dan Ani sudah doakan kepada Tuhan.

 

Kelonggaran PKP membolehkan aktiviti ekonomi dilangsungkan semula. Ini memberi ruang untuk Basri dan Ani mencuba lagi berniaga. Mereka pinjam sana sini, ada juga sahabat yang sedekahkan dana untuk dijadi modal niaga. Basri dan Ani juga gunakan media sosial untuk memasarkan juadah. Merrepak turut menerima iklan nasi tomato dan sekali sekala iklan pewangi kenderaan dari Basri dan Ani.

 

aaa

 

Maka bila peluang ada untuk mendapatkan dana sebanyak RM10,000 yang dianggap duit sendiri, bukan pinjaman, bukan geran tetapi caruman selama bekerja ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), peluang itu amat melegakan.

 

Basri dan Ani, bakal memperoleh RM20,000 (sebab kedua-duanya dulu bekerja) dan sebagai peniaga gerai, tentunya boleh diguna untuk membayar sedikit hutang awal manakala kebanyakannya untuk menambah modal niaga atau menampung belanja tiga anaknya bersekolah.

 

Kisah Basri dan Ani ini, benar-benar berlaku dan dalam kepala kita akan kata ya mereka sangat layak untuk mendapatkan duit RM10,000 KWSP itu. Duit 10k itu bagi sesetengah orang, mungkin sekadar bayar beg tangan jenama Perancis. Tapi golongan yang benar-benar terkena tempias COVID-19, dan kehilangan kerja ia amat-amat membantu dan dihargai.

 

Cerita Basri dan Ani ini jugalah yang menjadi fokus fikiran bila Merrepak meneliti apa benda isu yang berlegar dengan gesaan pengeluaran wang dari KWSP atau menerusi skim dinamakan i-Sinar (tiada kaitan dengan nama stesen radio atau akhbar).

 

Mereka layak berdasarkan satu daripada dua kategori iaitu ahli yang hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, bekerja sendiri atau di sektor gig, diberikan cuti tanpa gaji, suri rumah, dan juga bagi mereka yang sudah lama tidak mencarum.

 

KWSP

 

Kategori kedua ialah mana-mana ahli yang tidak termasuk dalam Kategori 1, bolehlah memohon melalui Kategori 2, dan ini termasuk ahli yang mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas (jumlah gaji pokok termasuk bayaran lain seperti elaun dan elaun kerja lebih masa).

 

KWSP

 

Meskipun tertera kedua-dua kategori di atas, Merrepak sudah mendapat pengesahan daripada pegawai KWSP bahawa “setiap ahli mempunyai situasi yang unik, dan KWSP memahami keperluan ahli yang berlainan. Oleh itu, KWSP akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya”.

 

Jadi, tidak timbul KWSP akan bersikap rigid atau tegas tidak bertempat dalam memproses permohonan ahli-ahli. Semua boleh dibawa bincang...

 

Skim i-Sinar ini terbuka kepada kita semua yang terjejas pendapatan dan kerja semasa pandemik COVID-19 ini. Percayalah Merrepak tidak terkecuali. Cuma bernasib baik, masih dapat meneruskan kerjaya berdasarkan pengalaman hampir tiga dekad di dalam industri kewartawanan ini.

 

Atas faktor serupa, Merrepak cuba memberitahu kepada siapa yang sudi mendengar atau bertanya: `perlukah saya mengambil duit i-Sinar?’. Sebagai pekerja yang pernah merasai nasib serupa Basri dan Ani iaitu kehilangan kerja dan kemudian dirundung malang COVID-19, tetapi sedikit bertuah kerana masih dapat makan gaji, Merrepak nasihatkan `simpan duit KWSP anda’!

 

aaa
Kepada yang sudi mendengar... SIMPAN DUIT KWSP ANDA!

 

Benar bahawa duit KWSP itu duit anda sendiri. Tiada siapa, bukan KWSP apalagi kerajaan berhak menghalang anda daripada mengeluarkannya tetapi hakikatnya situasi anda sekarang masih boleh `survive’, masih boleh meneruskan kehidupan kerana ada gaji. Maka anda wajar memikirkan lebih jauh. Ini kerana duit KWSP itu nanti, akan dapat juga pada kita bila tiba masanya usia persaraan kita dibenarkan. Bukannya langsung tidak dapat.

 

Asalnya tujuan mencarum wang ke dalam KWSP adalah untuk menjaga kebajikan kita selepas persaraan nanti. Bayangkan duit yang diperoleh nanti, tidak dapat membayar pun pinjaman rumah kerana kita cepat sangat mahu gunakan RM10,000 yang boleh dipohon mudah, tanpa cagaran, tanpa syarat mirip bank.

 

Bila duit hendak bayar pinjaman rumah tidak cukup selepas bersara, mahu tidak mahu kelak kita terpaksa membuat keputusan baharu iaitu bekerja lebih lama. Had umur bersara yang dibenarkan ialah 60 tahun bagi sektor awam. Larat lagikah kita pada usia emas itu?

 

Tambah membimbangkan jika kita tiada baki di dalam Akaun 2 yang boleh digunakan bagi tujuan pra-persaraan yang lain seperti Kesihatan, Perumahan dan Pendidikan kerana kesemua caruman baharu akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 sehingga amaun yang dikeluarkan di bawah i-Sinar digantikan semula.

 

Walaupun tidak salah bila sudah mencapai usia emas ada orang mahu bekerja lagi untuk mencari nafkah tetapi semua ini boleh dielakkan jika kita membuat keputusan bijak sekarang.

 

Kita kena tanya dengan jujur pada diri sendiri, bijakkah untuk kita merebut duit RM10,000 itu? Ambil saja sekarang, esok tua fikir kemudian? Banyak risiko itu.

 

Fikirkan ini: Pada usia persaraan nanti, tergamakkah kita membebankan orang lain waima anak sendiri untuk menyara hidup kita? Tidakkah terfikir anak-anak pun ada komitmen hidup mereka sendiri, masalah kewangan sendiri?

 

aaa

 

Rumusannya, bagi anda yang tergolong dalam kumpulan Basri dan Ani, ambillah. Gunakanlah dengan sebaiknya. Anda benar-benar memerlukannya dan wajar mendapatkannya.

 

Bagi kita yang masih boleh bertahan tetapi ada kemungkinan gunakan duit itu untuk membeli telefon pintar baharu atau barangan lain yang menyeronokkan, eloklah fikirkan semula niat anda. Seronok memang seronok sekarang. Bersara nanti duit tak cukup, sangat-sangat tidak seronok.  - DagangNews.com

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Editor DagangNews.com dan bekas Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Duit oleh KEMBARA berulang-ulang kali. 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud dengan `membebel'.