Fintech Islam dijangka terus berkembang disokong kemudahan serba lengkap di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Fintech Islam dijangka terus berkembang disokong kemudahan serba lengkap di Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Sept - Teknologi kewangan (fintech) Islam dijangka terus berkembang pesat dalam beberapa tahun akan datang disokong ekosistem serba lengkap yang dimiliki Malaysia.

 

Presiden Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Muazzam Mohamed berkata, perkembangan industri itu selaras dengan pembangunan dasar, teknologi dan bakat di peringkat domestik.

 

"Kematangan pasaran Malaysia dilihat yang lebih baik berbanding negara lain berikutan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Perbadanan Digital Ekonomi Malaysia (MDEC).

 

"Malaysia memiliki sumber dan asas yang baik selain perkhidmatan yang dimiliki boleh diketengahkan ke pasaran luar negara," katanya pada sidang media bersempena penganjuran Forum Kewangan Islam Global 2022 (GIFF 2022), hari ini

 

Forum selama dua hari itu akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Oktober 2022. 

 

Forum bertemakan 'Take the Reins' itu dianjurkan oleh AIBIM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) yang antara lain untuk mengukuhkan kedudukan kepimpinan global kewangan Islam.

 

Sementara itu, Pengerusi GIFF2022, Arsalaan Ahmed berkata, Malaysia memiliki tiga perkembangan utama yang berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin kewangan Islam.

 

Beliau berkata, yang pertama merupakan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 yang dijangka dapat memajukan kewangan berasaskan nilai melalui kepimpinan kewangan Islam.

 

"Kedua, pengeluaran lesen perbankan digital akan mempercepatkan penggunaan teknologi baharu untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang tidak mempunyai perbankan serta kurang mendapat perkhidmatan dan fintech Islam berkembang pesat di Malaysia dengan 33% daripada syarikat global beribu pejabat di sini.

 

"Semua faktor asas ini penting dalam pertumbuhan Malaysia dalam industri kewangan Islam dan kami percaya perkembangan positif ini akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang," katanya - DagangNews.com