Fintech Islam : Ruang PKS, pelabur dan pengendali berkembang, kata CMM | DagangNews Skip to main content

Fintech Islam : Ruang PKS, pelabur dan pengendali berkembang, kata CMM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia harus mempertimbangkan kaedah pengumpulan modal alternatif yang lebih mudah diakses melalui penggunaan platform digital daripada syarikat teknologi kewangan (Fintech) Islam iaitu Pengendali Pasaran Berdaftar (RMO).

Dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), RMO itu menawarkan pembiayaan antara rakan setara (P2P) ataupun platform pendanaan ekuiti ramai  (ECF).

Tiga daripada 22 RMO menawarkan penyelesaian pengumpulan modal yang patuh syariah.

“Dengan menyediakan pilihan patuh syariah untuk pengumpulan dana, Fintech Islam berupaya membantu pengembangan syarikat tempatan yang menawarkan produk serta perkhidmatan Halal,” kata Pengurus Besar badan sekutu SC, Capital Markets Malaysia (CMM), Zalina Shamsudin.

 

Zalina Shamsudin
Zalina Shamsudin

 

Potensi pertumbuhan itu adalah sejajar dengan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju selain mempertingkatkan peranannya sebagai pusat antarabangsa yang terkemuka bagi pengurusan dana dan kekayaan Islam.

Ini juga termasuk komitmen untuk menyokong dan mendorong syarikat Fintech Islam.

Tambah Zalina, Malaysia berada di lokasi yang amat sesuai untuk berfungsi sebagai hab Fintech Islam di rantau ini.

Ini disebabkan oleh rangka kerja kawal selia kewangan Islam yang mantap serta infrastruktur kawal selia yang kondusif.

Persetujuan umum mengenai prospek pengumpulan dana dan pelaburan yang patuh syariah dalam kalangan RMO adalah positif disebabkan oleh minat daripada bakal pelabur dan juga penerbit Halal.

Pada masa sama, pasaran modal Islam menawarkan cadangan dan faktor pembezaan unik yang memberikan mereka peluang untuk memasuki pasaran khusus baharu di mana persaingannya lebih rendah pada masa ini berbanding pasaran konvensional yang ‘sesak’.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif platform pembiayaan mikro perangkai padanan P2P, microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, kesedaran dan kecenderungan untuk mengumpul dana di Malaysia melalui platform pembiayaan dana awam berekuiti atau P2P semakin meningkat, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan terutamanya untuk perusahaan mikro.

Beliau percaya bahawa versi konvensional lebih popular dalam pasaran P2P umum kerana sehingga kini, masih belum lagi terdapat pengendali pembiayaan P2P Islam yang aktif.

“microLEAP melancarkan Nota Pelaburan Islam/Pembiayaan Islam pada April 2020 dan sejak itu, dana yang dikeluarkan kepada perusahaan mikro di platform kami telah meningkat lebih 1,000% dalam tempoh lima bulan. Ini hanya menunjukkan permintaan untuk pelaburan P2P Islam pada masa kini.

“Di platform microLEAP, iaitu platform pertama yang berupaya melakukan pembiayaan P2P Islam dan Konvensional, kami melihat bahawa pembiayaan Islam adalah lebih popular. Pembiayaan Islam kami adalah 92% berbanding 8% untuk pembiayaan Konvensional,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng berkata, pembiayaan P2P telah mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan pendekatan digitalnya serta proses pantas yang dapat menangani masalah pendanaan tradisional.

Selain itu, kaedah berkenaan bertujuan membantu segmen PKS yang tidak mendapat perkhidmatan yang mencukupi dan tidak dilayan.

“Kami amat menyokong agenda ini kerana kami yakin tawaran Fintech Islam akan melanjutkan lagi misi kami untuk meningkatkan PKS dan individu melalui akses yang lebih mudah kepada pembiayaan dan pelaburan patuh syariah, justeru merealisasikan visi lebih besar kami iaitu keterangkuman kewangan di Asia Tenggara,” tambah Kah Meng. – DagangNews.com