Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Apa Kata Media Cina - 15 January 2022

FIRE: APA YANG PERLU ANDA TAHU

Nanyang Siang Pao, 10 Januari 2022

 

 

 

SELAMA dua tahun yang lalu, kita bertungkus lumus memerangi wabak pandemik.

 

Walaupun terdapat tanda-tanda pemulihan dalam ekonomi, tetapi mereka yang kehilangan pekerjaan masih kekal dalam dilema kesempitan.

 

Bagi yang lain pula, wabak ini telah mengubah perspektif mereka tentang pendapatan dan kebebasan kewangan.

 

Lantaran itu, pandemik Covid-19 telah mencetuskan perhatian kepada topik Financial Independence, Retire Early atau FIRE.

 

Gerakan yang dipanggil FIRE adalah bertujuan untuk mencapai kebebasan kewangan dalam  jangka masa yang singkat.

 

Meskipun ramai yang menjelaskan gerakan ini sebagai persaraan awal, matlamat sebenar adalah mempunyai pendapatan pasif yang mencukupi untuk melakukan apa saja tanpa perlu bimbang mengenai wang tersebut.

 

Mereka yang ingin mencapai FIRE akan berusaha untuk menyimpan secukupnya bagi menampung perbelanjaan hidup selama bertahun-tahun.

 

 

apa

 

 

Bagaimanapun ia tidak semudah yang disangka kerana perlu menuruti 2 strategi persaraan iaitu peraturan 25 kali ganda dan 4%.

 

1. Peraturan 25 kali ganda

Apabila seseorang ingin bersara, mereka perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya 25 kali ganda pendapatan tahunan.

 

Sebagai contoh, jika pendapatan tahunan adalah RM60,000, dan mengikut  peraturan 25 kali ganda maka anda mesti mempunyai sekurang-kurangnya RM1.5 juta dalam akaun bank.

 

2. Peraturan 4%

Pada tahun pertama persaraan, anda boleh menjalani hidup selesa dengan mengeluarkan 4% daripada dana pelaburan, ia kemudian diselaraskan setiap tahun mengikut kadar inflasi.

 

Jika menurut data yang lepas, 4% ini adalah mencukupi untuk menampung perbelanjaan persaraan anda.

 

 

Kedua-dua peraturan ini boleh membawa anda ke arah matlamat FIRE, tetapi adalah lebih baik jika melihat ia sebagai rujukan tentang cara untuk mencapai kebebasan kewangan.

 

Ini kerana konsep ini akan sentiasa berkembang dan berubah, pandangan mengenainya pasti berbeza mengikut kelas.

 

Konsep FIRE belum tentu sesuai dengan semua orang kerana ada yang ingin memiliki wang untuk sara hidup diri dan ada juga yang memang cenderung untuk persaraan awal.

 

 

apa

 

 

Berapa banyak yang anda sanggup simpan setiap tahun, perkara yang anda mahu lakukan dan jenis kehidupan selepas bersara akan menentukan matlamat FIRE yang berbeza.

 

Satu daripada tanggapan salah yang paling biasa mengenai FIRE adalah keinginan untuk bersara awal.

 

Tetapi sebenarnya ada yang melihat FIRE sebagai motivasi untuk melakukan apa yang diingini. Contohnya untuk memulakan sesuatu perniagaan, menjadi sukarelawan atau bekerja sambilan sahaja.

 

Gerakan FIRE sebenarnya lebih kepada memberi semangat untuk kepada individu untuk mencapai matlamat peribadi dan bukannya memencilkan diri daripada masyarakat.

 

Bagi yang telah menjalani kehidupan FIRE, mereka mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas kehidupan sendiri, mahu mengambil cuti panjang atau goyang kaki sahaja tanpa membuat apa-apa.

 

 

apa

 

 

Mencapai matlamat FIRE bukan sesuatu yang mudah, tetapi ada cara untuk memudahkannya iaitu:

 

1. Membuat senarai

Tujuannya adalah untuk mengetahui berapa banyak duit yang anda perlukan untuk bersara, anggaran kos setiap tahun perlu dibuat sebagai titik permulaan.

 

Antaranya, pinjaman gadai janji; kos perubatan jangka panjang; perbelanjaan makanan dan barangan runcit; kos pengangkutan; kos pelancongan dan kos perbelanjaan haiwan peliharaan.

 

Senarai di atas mungkin berbeza mengikut keperluan dan gaya hidup persaraan yang diingini. 

 

Bagaimanapun adalah penting untuk membuat senarai terperinci terlebih dahulu untuk mengetahui perkara yang diperlukan semasa bersara nanti.

 

2.Perbelanjaan tambahan

Selalu ada banyak kejutan yang tidak dijangka dalam kehidupan yang memerlukan kita untuk mengeluarkan duit.

 

Jadi, selepas mengira potensi perbelanjaan tahunan, pastikan dana kecemasan disenaraikan untuk perbelanjaan tambahan. 

 

3. Insurans

Untuk mengurangkan perbelanjaan tidak dijangka semasa persaraan, maka adalah berbaloi untuk membeli insurans seperti perubatan, nyawa atau polisi persaraan.

 

4. Membuat pelaburan

Pelaburan memberi hasil dalam jangka panjang. lebih cepat anda mula melabur maka lebih besar pulangan pada masa hadapan.

 

Namun, pelaburan perlu pelbagai dan berbeza seperti dalam bentuk saham, bon, mata wang kripto dan projek kewangan terdesentralisasi (DeFi).

 

5. Usaha keras

Oleh kerana matlamatnya adalah untuk bersara awal, maka anda harus bekerja keras daripada orang lain.

 

Mencari kerja sampingan atau memulakan perniagaan untuk meningkatkan pendapat agar matlamat boleh dicapai.

 

Kaedah FIRE mungkin sesuai untuk individu yang inginkan kebebasan dalam kehidupan, tetapi jika anda seorang yang sederhana dan suka bekerja, jadi tiada keperluan untuk bersara awal.

 

Semuanya bergantung kepada apa yang menggembirakan kehidupan anda. - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 10 Januari 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags