Firma Austria AT&S labur RM8.5 bilion di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Firma Austria AT&S labur RM8.5 bilion di Malaysia

KUALA LUMPUR 10 Jun - AT&S, peneraju pembuatan papan litar bercetak (PCB) global dan substrat litar bersepadu (IC) berpangkalan di Austria memilih Malaysia sebagai lokasi kilang pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara.

 

Kemudahan pengeluaran baharu AT&S di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah yang menghasilkan PCB dan substrat IC berteknologi tinggi dijangka membabitkan pelaburan RM8.5 bilion (€1.7 bilion) dan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan berteknologi serta berimpak tinggi.

 

Pembinaan kilang pengeluaran itu dijangka dimulakan pada separuh kedua tahun ini dengan jangkaan operasi komersialnya pada 2024.

 

Projek berimpak tinggi itu menjadi antara tarikan pelaburan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di bawah Skim Galakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diperkenalkan pada 5 Jun tahun lalu.

 

Mengulas mengenainya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin, berkata negara mengalu-alukan keputusan AT&S melabur di Malaysia dengan pelaburan di KHTP adalah yang terbesar dalam sejarah syarikat Austria itu.

 

"Saya bagi pihak kerajaan Malaysia menyuarakan perasaan sukacita dan amat mengalu-alukan keputusan AT&S untuk melabur di Malaysia.

 

"Projek ini juga adalah antara projek pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke negara ini di bawah Skim Galakan PENJANA.

 

"Dengan pelaksanaan projek itu kelak, ia dijangka akan dapat menjana 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," katanya menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.

 

Perdana Menteri sebelum itu mengadakan mesyuarat secara maya bersama AT&S yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andreas Gerstenmayer.

 

Mesyuarat yang diadakan semalam turut disertai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Operasi AT&S, Ingolf Schröder.

 

Turut serta, Duta Malaysia ke Austria, Datuk Ganeson Sivagurunathan dan Duta Autria ke Malaysia, Michael Postl.

 

PM
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin semasa mengadakan mesyuarat secara maya bersama pengurusan kanan AT&S.

 

Perdana Menteri berkata, pelaburan AT&S jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan walaupun dunia sedang berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.

 

"Trend ini konsisten dengan jumlah pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2021 seperti yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan MIDA berjumlah RM80.6 bilion dalam sektor pengeluaran, perkhidmatan dan industri primer yang menunjukkan peningkatan 95.6 peratus dari suku yang sama tahun lalu.

 

"Syukur Alhamdulillah, trend seperti ini menunjukkan bahawa komuniti pelaburan yakin terhadap prospek pemulihan ekonomi negara.

 

"Kerajaan akan terus meningkatkan usaha untuk menarik pelabur asing dan tempatan untuk terus melabur dan memperbanyak peluang pekerjaan, sekali gus membantu pemulihan ekonomi Malaysia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam berhadapan cabaran ekonomi ketika pandemik," katanya.

 

Muhyiddin berkata, kerajaan yang amat mesra pelabur, sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke Malaysia, lebih-lebih lagi dalam bidang teknologi dan inovasi.

 

Katanya, Malaysia juga sentiasa bersedia untuk menawarkan pelbagai insentif bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan asing ke negara ini.

 

"Saya telah menegaskan bahawa kerajaan menerusi melalui MITI dan MIDA akan memastikan supaya pelaksanaan projek yang telah dirancang oleh AT&S akan berjalan dengan lancar," katanya.

 

Sementara itu, Gerstenmayer berkata, selain menjadi pusat pengeluaran produk berteknologi tinggi, kemudahan di KHTP akan menempatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) AT&S.

 

"Selepas mencari lokasi secara intensif di seluruh dunia, Malaysia muncul sebagai negara di mana kami ingin terus maju dengan strategi AT&S dengan membawa teknologi terkini serta membangunkan teknologi baharu di negara ini.

 

"Malaysia juga dapat memanfaatkan kedudukannya sebagai negara teknologi dan berkemampuan memperkukuhkan rantau ini sebagai hab pembuatan teknologi tinggi di Asia," katanya.

 

Dalam pada itu, Schröder berkata, lokasi di KHTP menawarkan infrastruktur dan rantaian bekalan stabil terbaik, selain keseluruhan ekosistemnya memberi penekanan terhadap industri semikonduktor sejak beberapa dekad lalu.

 

"KHTP adalah lokasi paling sesuai untuk rancangan pengembangan perniagaan kami," katanya. - DagangNews.com